Indonesia tidak lekang dengan filem-filem berbentuk biografi dan sejarah. Terbaru, filem berkenaan Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama Hamka, seorang ulama dan penulis terkemuka, telah mula ditayangkan di Malaysia bermula hari ini, 15 Jun 2023.
Untuk makluman, filem ini terbahagi kepada tiga bahagian, dan bahagian pertama sahaja yang ditayangkan buat masa ini. Bahagian kedua untuk filem Buya Hamka ini dijadualkan untuk ditayangkan di Indonesia pada Hari Raya Aidiladha – dan mungkin menyusul ke Malaysia tidak lama selepas itu. Secara keseluruhan, filem ini adalah sepanjang hampir 7 jam lamanya (apabila digabungkan ketiga-tiga bahagian). Filem bahagian pertama ini mempunyai tempoh tayangan selama 106 minit di Malaysia.
Filem biografi ini dilakonkan oleh pelakon-pelakon Indonesia yang tidak asing lagi, termasuk Vino Bastian sebagai Hamka, dan juga Laudya Cynthia Bella sebagai isteri Hamka.
Seperti ramai sedia maklum, Hamka atau atau Haji Abdul Malik Karim Amrullah merupakan salah seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia. Filem bahagian pertama ini melihat kepada latar masa ketika Hamka menjadi pengurus Muhammadiyah di Makassar, dan membawa kemajuan kepada organisasi berkenaan. Pada masa yang sama, Hamka juga mula menulis, dan seterusnya berpindah ke Medan dalam menjadi ketua editor akhbar Pedoman Masyarakat. Namun, penerbitan akhbar tersebut dihalang oleh pihak Jepun, selain Hamka turut dikatakan sebagai tali barut Jepun. Filem ini juga secara ringkas melihat kepada tempoh pengenalan Hamka bersama presiden Indonesia, Soekarno.
Walaupun ia merupakan sebuah filem biografi memfokuskan Buya Hamka, bagi saya, pengembangan watak berkenaan sendiri tidak dilakukan secara mendalam dan menyeluruh membuatkan saya kecewa dengan filem ini.
Pengembangan watak seperti tidak menyeluruh untuk sebuah filem biografi, membuatkan mereka yang tidak mengetahui atau mengikuti kisah Buya Hamka tidak akan memahami apakah perjuangan yang dilakukan, mengapakah penerbitan akhbar dihalang dan sebagainya. Ia juga tidak diceritakan bagaimanakah Hamka berjaya membentuk diri dalam pengembangan kaedah dakwah kepada orang lain. Mungkin pengembangan watak juga akan lebih baik sekiranya penceritaan dimulakan dari ketika zaman muda Hamka sendiri, termasuk bagaimana proses pembelajaran yang membentuk kepada jati diri Hamka, bagaimana boleh menyertai Muhammadiyah, permulaan penulisan, dan lain-lain perkara utama yang menjadi topik utama dalam filem ini.
Malah pada masa yang sama juga, filem Buya Hamka ini kurang memaparkan babak konflik – yang mana akan memberikan lebih kesan kepada penonton dalam menghayati watak berkenaan. Penceritaan juga kadang-kala tidak menyentuh begitu menyeluruh dan membuatkan penonton tertanya apakah babak disebaliknya. Sebagai contoh apakah berlaku sebelum Jepun menutup penerbitan? Ia hanya dipaparkan dengan papan tanda telah diturunkan dan akhbar dibakar di luar bangunan sahaja, dan tiada sebarang konflik sebelumnya dipaparkan. Babak bagaimana isteri Hamka menangani kesedihan kematian anak turut tidak diolah, disamping bagaimanakah watak Hamka terkesan apabila dituduh sebagai tali barut Jepun, dan lain-lain.
Dari segi penggambaran secara menyeluruh, rakaman dan pewarnaan filem adalah sangat kemas. Kebanyakan masa kamera lebih tertumpu kepada watak-watak, dan saya berharap ia mungkin lebih menarik sekiranya turut menyertakan beberapa rakaman landskap yang cantik yang menjadi persekitaran ketika penggambaran. Sedikit mendukacitakan adalah terdapat beberapa babak yang dipotong untuk tayangan di Malaysia – dimana potongan berkenaan tidak dilakukan dengan kemas, membuatkan ia sedikit mengganggu tontonan. Kredit juga turut perlu diberikan dalam membangunkan prop yang selari dengan zaman pra-merdeka di Indonesia, disamping solekan untuk watak yang merentasi usia.
Akhir kata, sebagai sebuah filem biografi, saya berharap ia dapat diolah dengan lebih baik terutamanya dalam garapan yang membawa kepada jati diri watak berkenaan. Ini juga mungkin menarik lebih ramai mengikuti kisah hidup dan perjuangan Buya Hamka – dan bukan ditujukan kepada peminat yang sedia mengenali Buya Hamka sahaja. Walaupun saya kecewa dengan filem ini, akan tetapi saya masih menantikan filem kedua dan ketiga Buya Hamka untuk menonton kesinambungannya. Saya mungkin akan membaca Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Di Bawah Lindungan Ka’bah sementara menantikan filem kedua dan ketiga Buya Hamka ini yang bagi saya sudah semestinya satu karya yang lebih baik berbanding filem ini sendiri.
Penafian: Tayangan untuk filem Buya Hamka disediakan oleh TGV.