Elemental adalah filem animasi baharu Pixar yang mengambil masa selama 7 tahun untuk dihasilkan. Filem ini menggunakan konsep antropomorfik alam semula jadi di mana watak-watak mempunyai elemen tersendiri iaitu air, angin, api dan tanah dan juga mempunyai sifat seakan manusia.
Filem yang diarahkan oleh Peter Sohn ini mengisahkan watak api Ember Lumen lakonan suara oleh Leah Lewis dan air iaitu Wade Ripple lakonan suara oleh Mamoudou Athie yang jatuh cinta tetapi sukar untuk bersama kerana perbezaan elemen mereka. Filem ini juga turut menyentuh mengenai kehidupan golongan minoriti.
Melalui Elemental, Pixar telah membina dunia animasi baharu yang sangat cantik, unik dan sedap mata memandang yang sudah menjadi satu kebiasaan untuk Pixar di dalam filem-filem mereka. Elemental turut dihasilkan untuk mempunyai kisah yang boleh dikaitkan dengan kehidupan orang-orang Asia, sesuatu yang saya boleh kaitkan dengan diri sendiri.
Elemental adalah sebuah filem romantik komedi yang ringkas. Ia bukannya jalan cerita yang asli dan unik, tetapi penyampaian yang bagus membuatkan filem ini cukup menghiburkan. Apa yang membuatkan filem ini wajib ditonton di pawagam adalah bentuk animasi yang lain daripada yang lain. Dunia Elemental ini diperbuat daripada elemen alam semula jadi termasuk pada bangunan, kenderaan, makanan dan watak-watak.
Selain bentuk animasi 3D, elemen 2D dan seakan aksi nyata turut disertakan bersama, menjadikan Elemental ini lebih hidup berbanding animasi lain. Durasi filem adalah 1 jam 42 minit iaitu satu durasi yang bagi saya terisi dengan baik ditambah lagi dengan rekaan animasi yang menarik seperti saya nyatakan sebelum ini.
Perkara yang mengejutkan bagi saya mengenai filem ini adalah bagaimana penceritaan mengenai Wade dan Ember adalah sesuatu yang saya faham dan pernah alami sebelum ini. Mungkin disebabkan saya dapat menjiwai kebanyakan adegan emosi sehingga menitiskan air mata. Manakala bagi babak komedi pula, ia adalah melucukan namun adalah beberapa jenaka di dalam filem ini kadangkala terasa memaksa yang menjadikan ia cringe.
Elemental cuba sampaikan isu semasa yang berlaku di dunia moden dalam bentuk animasi yang boleh diterima oleh semua orang. Isu yang jelas adalah bagaimana golongan minoriti dilayan oleh masyarakat lain, seperti bagaimana pergaulan antara dua elemen berbeza dengan adat-adat keluarga yang berlainan. Secara umumnya saya boleh katakan penyampaian adalah baik sekali.
Prestasi lakonan suara oleh Mamoudou Athie sebagai Wade juga sangat baik. Beliau adalah seorang jejaka yang nerda, nampak lemah tetapi dalam hati ada taman. Watak beliau yang cukup melucukan ini sangat berkesan di dalam filem ini. Sementara Leah Lewis sebagai Ember pula memperlihatkan bagaimana hidup beliau dikongkong oleh ibu bapa dan tidak mempunyai kebebasan termasuk larangan untuk bergaul. Cara beliau mempertahankan diri untuk bersemuka dengan ayah sendiri untuk meneruskan kehidupan amat menyentuh hati.
Saya juga menyukai pilihan runut muzik untuk filem ini dengan muzik campuran India dan Arab yang sangat menarik. Setiap adegan mempunyai muzik yang akan membuatkan saya fokus kepada skrin dan sukar untuk toleh ke tempat lain. Di dalam filem ini ada dua adegan yang paling saya suka iaitu adegan pertama adalah melibatkan belon udara panas dan kedua melibatkan buih di dalam air di sebuah muzium. Dua adegan ini dilakukan dengan sangat baik tidak mengejutkan kedua-dua ini juga adalah adegan kegemaran untuk pengarah filem ini
Jika anda ingin tonton filem animasi yang nampak unik dan lain, Elemental ini adalah filem yang saya boleh syorkan dan saya cadangkan tonton di pawagam untuk pengalaman menonton yang lebih memuaskan. Elemental turut membawa kisah kehidupan yang mirip dengan budaya di Asia menjadikan ia lebih mudah untuk diterima. Saya sangat berharap yang Disney dan juga Pixar kembangkan lagi dunia Elemental ini.
Penafian: Tayangan Elemental disediakan oleh Disney Malaysia untuk tujuan ulasan ini. Elemental akan ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 22 Jun.