Skip to main content

Transformers: Rise of the Beasts merupakan filem ketujuh di dalam siri filem Transformers dan merupakan susulan kepada Bumblebee yang dikeluarkan pada tahun 2018 dan merupakan prekuel kepada lima filem yang diarahkan oleh Michael Bay. Walaupun begitu, seperti filem Bumblebee sebelum ini, Transformers: Rise of the Beasts juga boleh dianggap sebagai filem kendiri dan boleh ditonton tanpa menonton semula filem-filem sebelum ini.

Rise of the Beasts bermula dengan memperlihatkan bagaimana Unicron telah menghancurkan planet yang didiami oleh Maximals. Selain ingin menjadikan planet tersebut sebagai bahan api, Unicron juga inginkan Transwarp Key yang membolehkan portal interdimensional dibuka untuk dia pergi ke mana-mana planet sahaja. Ketua Maximal pada waktu itu Apelinq menjadi pertahanan terakhir untuk membolehkan Optimus Primal bersama dengan beberapa lagi Maximal melarikan diri ke bumi untuk membawa lari Transwarp Key daripada Unicron.

Beberapa ratus tahun kemudian iaitu pada tahun 1994 yang juga 7 tahun selepas filem Bumblebee, Autobots masih lagi berada di bumi dan didapati yang mereka tidak mempunyai cara untuk pulang ke planet Cybertron, selepas melarikan diri di dalam filem sebelum ini. Ini sehinggalah Transwarp Key yang tersembunyi di dalam satu artifak dibuka oleh Elena Wallace lakonan Domique Fishback iaitu seorang pengkaji artifak.

Menyedari kewujudan Transwarp Key di bumi, Optimus Prime telah memanggil kesemua Autobots yang sedang bersembunyi untuk berkumpul, salah satunya adalah Mirage iaitu Autobots yang menggunakan kereta Porsche 964 Carrera RS 3.8. Semasa Mirage dipanggil oleh Optimus Prime, Noah Diaz lakonan Anthony Ramos berada di dalamnya kerana cuba untuk mencuri kereta tersebut. Ditambah lagi dengan mereka dikejar oleh polis, Mirage telah membawa Noah Diaz ke tempat perjumpaan Autobots.

Pada awalnya kehadiran Noah Diaz tidak disukai oleh Optimus Prime, akan tetapi kemudian Mirage mencadangkan mereka menghantar Noah Diaz untuk mengambil Transwarp Key kerana jika Autobots sendiri yang melakukannya akan mencetuskan keadaan huru-hara. Optimus Prime bersetuju, dan Noah Diaz dihantar untuk mengambil Transwarp Key.

Semasa cuba untuk mendapat kunci itulah dia berjumpa dengan Elena Wallace dan pada masa sama Scourge iaitu robot suruhan Unicron juga telah menyedari kedudukan kunci tersebut. Scourge tidak berfikir panjang dan terus menyerang tempat kunci itu berada, yang memaksa untuk Autobots mempertahankan Noah Diaz dan Elena Wallace bagi memastikan kunci itu tidak jatuh ke tangan Scourge.

Selepas pertempuran ini, mereka gagal untuk menghalang Scourge daripada mengambil kunci tersebut, tetapi kemudian salah satu Maximals iaitu Airazor mengatakan yang Scourge hanya mendapat separuh sahaja Transwarp Key dengan separuh lagi berada dengan kumpulan Maximals yang lain. Bermulalah pengembaraan Autobots bersama dengan Noah Diaz dan Elena Wallace untuk mencari bahagian lain kunci tersebut.

Bagi saya penceritaan adalah baik-baik sahaja, mempunyai beberapa elemen yang menjadi cabang yang menarik seperti Noah Diaz yang inginkan Transwarp Key itu dihancurkan agar dapat menghalang daripada Unicron datang ke bumi, manakala Optimus Prime pula inginkan kunci tersebut untuk kembali ke planetnya sendiri. Manakala terdapat pula Maximals, yang selepas beratus tahun di bumi, telah menjadi keazaman mereka untuk menyelamatkan bumi dari segala ancaman.

Perbezaan motif ataupun motivasi ini menjadi konflik utama penceritaan, ini termasuk juga dengan ancaman Scourge dan Unicron. Setiap-nya dilakukan dengan memuaskan tetapi bagi saya kelemahan utama untuknya adalah bagaimana penceritaan ingin menjadikan watak Noah Diaz dan Elena Wallace bahagian yang penting.

Kedua-dua watak ini dihasilkan dengan gopoh yang membuatkan saya tidak sempat untuk mengenali ataupun menjiwai mereka tetapi tiba-tiba adegan memaksa saya untuk mempunyai emosi dengan kisah silam mereka. Filem ini cuba untuk membentuk perwatakan Noah Diaz melalui keluarganya, dan juga perhubungan dengan Mirage tetapi saya merasa tidak mencukupi.

Saya merasakan yang jika filem ini bermula dengan Noah Diaz telah mengenali Mirage untuk lebih lama, tetapi tanpa pengetahuan oleh Optimus Prime, ini akan lebih membantu perwatakan untuk kedua-dua watak tersebut. Manakala Elena Wallance pula saya rasa disertakan sekadar untuk menggerakkan plot sahaja kerana dia secara tiba-tiba mahir di dalam kisah mengenai Maximals yang tidak diketahui oleh manusia untuk sekian lama.

Selain itu, akibat terdapat pelbagai cabang ataupun konflik berlainan, penceritaan ini juga terasa tidak tersusun dengan baik yang menjadikan penceritaan sedikit bercelaru. Ini membuatkan sesetengah bahagian sepatutnya menjadi bahagian penting, terasa bosan dan tidak bermakna. Walaupun filem ini adalah lebih kurang 2 jam sahaja tetapi saya terasa lebih panjang daripada itu.

Bahagian yang lebih penting bagi peminat-peminat Transformers sudah semestinya adalah bahagian pertempuran, dan saya boleh katakan ia dilakukan dengan mencukupi. Tidak terlalu melampau sepertimana yang dilakukan oleh filem-filem Michael Bay. Namun, selepas melalui enam filem sebelum ini, mungkin magis itu sudah berkurangan dan apa yang disampaikan di dalam filem ini tidak terlalu mengagumkan.

Akhir kata, jika anda peminat Transformers, filem ini mungkin satu tontonan yang mencukupi, manakala bagi sekadar yang meminati filem aksi, penyusunan penceritaan dan juga pembawaan watak-watak di dalam filem ini akan membuatkan filem ini sedikit membosankan.

Pengenalan dua watak manusia baharu di dalam filem ini adalah kelemahan utama untuknya kerana kedua-dua watak tidak diberikan ruang mencukupi untuk memberi sebab yang baik bagi penglibatan mereka. Saya tidak mengatakan yang Transformers perlukan olahan semula sekali lagi, akan tetapi mereka perlu melakukan sesuatu untuk filem-filem seterusnya agar kisah yang disampaikan lebih menarik.

Penafian: Tayangan untuk Transformers: Rise of the Beasts disediakan oleh UIP Malaysia bagi tujuan ulasan ini.

Transformers: Rise of the Beasts
Transformers: Rise of the Beasts mempunyai pelbagai plot yang menarik tetapi penyampaian yang kurang memuaskan. Mungkin masih satu filem menarik untuk peminat tetapi tidak lebih daripada itu.
Positif
Beberapa Adegan Pertempuran Yang Baik
Pelbagai Cabang Plot
Negatif
Perwatakan Dua Manusia Kurang Menjadi
Susunan Penceriaan Bercelaru Dan Kurang Menarik
7

Leave a Reply