Ahsoka Tano akan menerima siri TV aksi nyata tersendiri pada bulan Ogos nanti di Disney+. Siri ini akan berlaku selepas The Mandalorian Musim 2 dan The Book of Boba Fett di mana Ahsoka dalam misi mencari Grand Admiral Thrawn sambil membantu Luke Skywalker melatih Grogu.
Terbaru Empire berkongsi imej daripada siri Star Wars: Ahsoka yang memperlihatkan watak Inquisitor memakai perisai hitam dan memiliki senjata Ligthsaber dwi-bilah yang dilengkapi gegelung boleh-putar. Siapakah watak misteri ini?
Kemunculan Inquisitor menjadi tanda tanya kerana sepatutnya garis masa siri Ahsoka tiada lagi pasukan Jedi Dark Side ini. Mereka kali terakhir dipercayai aktif ketika zaman kegemilangan Darth Vader sahaja dan selepas itu lenyap.
Agak menarik untuk melihat kemunculan Inquisitor misteri dalam siri Ahsoka ini. Adakah ini watak baharu atau yang sedia ada dalam animasi? Adakah ini Inquisitor yang terselamat atau mungkin Inquisitor generasi baharu?
Inquisitor adalah Jedi yang jahat atau telah terhasut dengan Dark Side. Setiap Inquisitor ditugaskan untuk memburu semua Jedi yang masih hidup di bawah Order 66. Pada ketika ini Inquisitor perlu melaporkan diri terus kepada Darth Vader. Mereka juga mempunyai kuasa Force serta mampu mengendalikan Lightsaber berwarna merah.
Apabila zaman Darth Vader memimpin Empire tamat, dipercayai yang setiap Inquisitor telah dibunuh oleh Vader dan ejen-ejen Imperial. Ini mencadangkan yang dalam Ahsoka, Inquisitor ini adalah antara yang terselamat atau ada “Jedi” lain yang telah ke sisi gelap. Inquisitor dalam bentuk aksi nyata kali pertama muncul dalam siri Obi-Wan Kenobi melalui watak seperti Inquisitor Reva atau turut digelar Third Sister lakonan Moses Ingram, Fifth Brother lakonan Sung Kang dan The Grand Inquisitor lakonan Rupert Friend.
Jika anda tertanya kenapa siri Ahsoka ini penting untuk watak Inquisitor? Ini kerana watak-watak Jedi sisi gelap ini muncul kali pertama dalam siri animasi Star Wars Rebels. Dengan siri Ahsoka merupakan sekuel untuknya, penampilan Inquisitor ini pasti menarik. Lebih-lebih lagi dalam Rebels watak popular seperti Ezra Bridger pernah bertempur dengan Fifth Brother dan Seventh Sister.
Sementara Ahsoka pula pernah membunuh Sixth Brother yang turut dikenali sebagai Bil Valen. Sama-sama kita nantikan kehadiran siri Ahsoka di Disney+ Hotstar pada bulan Ogos. Selain Bridger, Sabine Wren, dan Thrawn turut akan memainkan peranan dalam siri ini untuk memuaskan hati peminat.