Shameik Moore Ingin Menjadi Miles Morales Aksi Nyata

Filem Spider-Man Across The Spider-Verse sedang ditayangkan di pawagam dan hangat dibincangkan di arena web. Sekali lagi Sony Pictures Animation berjaya hadir dengan filem animasi yang hebat, gempak dan menarik.

Sony juga telah mengesahkan yang filem aksi nyata Miles Morales turut dalam pembangunan dan masih di peringkat awal, mereka juga tidak mengumumkan barisan pelakon terutama yang akan membawa watak Miles Morales.

Semasa melakukan promosi untuk Across the Spider-Verse, pelakon suara Miles Morales iaitu Shameik Moore telah menyatakan kepada Men’s Health yang beliau sangat ingin memakai topeng Spider-Man. Moore yakin boleh membawa perwatakan Miles ke diri sebenar beliau dan turut boleh menjadi pelakon aksi nyata Spider-Man terbaik yang pernah orang ramai saksikan.

Bukan itu sahaja Hailee Steinfield yang menjadi pelakon suara Gwen Stacy atau Spider-Woman turut mendedahkan yang beliau juga berminat untuk memainkan watak ini dalam bentuk aksi nyata. Beliau turut menyatakan yang ia akan lebih mencabar, tetapi akan cuba membawa perwatakan yang sama dengan sedikit tambahan untuk menjadikan watak ini lebih realistik.

Namun, perkara ini mungkin sedikit sukar andai kata filem aksi nyata berkait dengan Gwen Stacy atau Spider-Woman mempunyai perhubungan dengan MCU, kerana Hailee Steinfield sudah mempunyai watak di dalamnya iaitu Kate Bishop.

Setakat ini Gwen Stacy telah dibawa oleh dua pelakon berbeza tetapi bukan sebagai Spider-Woman. Pertama adalah dalam Spider-Man 3 lakonan Bryce Dallas Howard dan kemudian dalam The Amazing Spider-Man oleh Emma Stone.

Sohor Kini