MALBATT: Misi Bakara adalah filem baharu daripada Adrian Teh pengarah filem Paskal, Wira dan The Assistant. Filem ini adalah kisah benar di sebalik misi menyelamatkan Pasukan Delta Amerika Syarikat yang terperangkap selepas dua helikopter mereka terhempas ketika Pertempuran Mogadishu pada tahun 1993. Filem yang cukup dinantikan ini dilihat sebagai filem Black Hawk Dawn dari perspektif pasukan MALBATT yang langsung tidak dipaparkan dalam filem Ridley Scott tersebut.
Filem ini juga menelan belanja RM20 juta menjadikannya antara filem dengan kos tertinggi dalam sejarah Malaysia. Hari ini filem ini telah dilancarkan secara rasmi dengan treler dan poster dikongsi kepada umum.
Tidak dinafikan treler mencadangkan yang filem ini mungkin menjadi filem paling epik tempatan. Aksi nampak hebat, kualiti produksi nampak dahsyat dan dengan barisan pelakon hebat ini menjadi umpan untuk menarik penonton ke pawagam.
Adrian Teh hari ini turut mendedahkan yang MALBATT: Misi Bakara ingin dijadikan sebagai filem tempatan pertama dalam sejarah ditayangkan dalam format IMAX. Tetapi buat masa ini proses ini masih dalam perbincangan lagi dengan IMAX dan keputusan hanya akan didedahkan kelak.