Filem aksi nyata terkini Disney adalah The Little Mermaid iaitu olahan semula daripada animasi klasik tahun 1989 mengenai Ariel seekor ikan duyung yang inginkan kehidupan seorang manusia. Tetapi biasanya sambutan bagi filem seperti ini kurang memuaskan. The Little Mermaid sejak diumumkan dan menerima treler memberikan reaksi yang agak seimbang.
Aku sudah pun tonton filem ini. Pertama sekali aku memang suka kalau ada filem animasi yang pernah aku tonton ketika kanak-kanak kini boleh tonton semula dalam format baharu. Untuk filem ini aku tonton yang animasi dahulu mengejutkan penceritaan, perwatakan, lokasi dan banyak lagi hampir 90% salinan 1:1 dengan animasi.
The Little Mermaid turut bijak bermain dengan emosi. Aku pun hampir menitiskan air mata ketika menontonnya. Adakah ini filem untuk anda atau anda lebih gemar filem aksi nyata Disney yang lain?
Memandangkan filem ini menggunakan penceritaan lebih kurang sama agak mudah untuk aku kongsi dan jelaskan. The Little Mermaid terkenal dengan watak Ariel iaitu ikan duyung remaja yang gemar bermimpi di siang hari dan mempunyai hasrat untuk menerokai kehidupan di darat dan kehidupan manusia.
Tetapi ayah beliau iaitu King Triton tidak membenarkannya. Ini menyebabkan kemunculan Ursula iaitu keluarga jauh Ariel yang dikatakan adalah ahli sihir lautan. Dalam pertemuan ini Urusla menawarkan kehidupan manusia kepada Ariel jika beliau sanggup mengorbankan suara merdu yang dimilikinya.
Ariel merupakan antara ikan duyung yang terkenal dengan suara merdu. Kerana masih marahkan ayah beliau dan berdegil Ariel pergi ke darat bertemu dengan Prince Eric. Di sinilah pengembaraan cinta mereka bermula dengan Ariel yang turut ditemani oleh rakan-rakan seperti Flounder si ikan, Sebastian si ketam dan Scuttle si burung.
The Little Mermaid turut mempunyai banyak elemen muzikal yang mengimbau kembali zaman kanak-kanak. Ada penambahan lagu serta ada juga perubahan lirik untuk kesesuaian zaman.
Okay, aku jujur tidak sangka keluar dewan panggung wayang dengan senyuman. The Little Mermaid adalah sebuah filem yang baik. Bukan itu sahaja ini adalah antara filem olahan semula animasi klasik ke aksi nyata terbaik Disney selepas The Jungle Book. Aku suka cara kisah filem ini disampaikan, aku suka muzik-muziknya, suka watak-wataknya dan paling penting prestasi lakonan masing-masing yang mantap.
Disebabkan malam sebelum aku menonton filem ini aku tonton semula versi animasi jadi memori aku masih segar dengan butiran filem-filem asal. Perubahan paling drastik dalam filem aksi nyata adalah pilihan pelakon yang memfokuskan keseimbangan perkauman. Di mata aku nampak aneh, tetapi dengan bakal lakonan hebat dan skrip yang baik perkara ini tidak menjadi masalah untuk aku.
Filem berlaku pada tahun 1830-an di sebuah kawasan Mediteranean. Filem ini dihasilkan dengan niat untuk nampak cantik dan penuh sinematik. Semasa menonton aku tidak rasa penat, bosan malah rasa tenang sahaja. Cuma sayang sekali Disney tidak menggunakan teknologi sama pada Avatar untuk filem ini jadi kualiti kesan visual khas akan nampak sedikit aneh dan janggal dari semasa ke semasa.
Setiap perbualan antara watak pun Disney cuba mengekalkan skrip sama dengan filem animasi. Perubahan yang kecil menjadikan pengalaman menonton filem ini lebih seronok. Sudah semestinya filem ini tidak 100% asli atau unik kerana ada sahaja bahagian aku boleh ramalkan dan ianya tepat. Misalnya aku ramalkan akan ada lagu asli baharu dan Eric akan menyanyi. Dalam animasi Eric tidak pernah menyanyi. Perubahan lain adalah seperti biasa menambah, membuang adegan atau mengubah semula adegan sedia ada.
Halle Bailey sebagai Ariel pada aku adalah pilihan yang bijak. Aku tidak pernah tonton mana-mana filem atau siri TV pelakon ini tetapi aku teruja dengan amat yakin dengan prestasi beliau dalam filem ini. Suara yang sungguh merdu menyebabkan Part of Your World menjadi lagu kegemaran baharu aku sekarang. Bailey juga bijak bermain dengan emosi dan cukup handal berbual dengan objek hijau (Flounder, Sebastian, Scuttle).
Watak Eric pula yang dilakonkan oleh Jonah Hauer-King pula membuatkan aku teringat kepada hero-hero filem Disney seperti di zaman High School Musical. Lakonan yang biasa tetapi masih meyakinkan. Untuk kebolehan menyanyi pula beliau ada menyanyi lagu asli dalam filem ini pada aku ia agak cringe. Tetapi dengan kejayaan filem ini Hauer-King ada potensi untuk nama beliau muncul dalam lebih banyak projek filem box office.
Watak-watak sampingan yang rapat dengan Ariel adalah Flounder (Jacob Tremblay), Sebastian (Daveed Diggs) dan Scuttle (Awkfina). Masalah yang sama dengan The Lion King di mana watak haiwan nampak realistik jadi tidak memahami emosi pada wajah dan nampak aneh. Tetapi kali ini Disney banyak menggunakan pergerakan tubuh untuk emosi. Flounder yang paling janggal sekali pada aku, Sebastian dan Scuttle pula kegemaran aku kerana dua watak ini paling lucu dan mereka ada lagu baharu yang anda WAJIB DENGAR iaitu The Scuttlebutt.
Watak lain yang aku turut suka adalah Sir Grimsby pembantu kepada Aric lakonan Art Malik. Watak yang ringkas tetapi mencuit hati. Tetapi sepanjang aku menonton filem ini Ursula adalah satu-satunya watak yang pada aku paling hebat, paling realistik dan fokus penting filem ini. Watak ini dilakonkan oleh Melissa McCarthy. Aku senyum dan rasa teruja sahaja sepanjang beliau menyanyi Poor Unfortunate Soul. McCarthy berjaya menjadikan Ursula nampak ngeri dan menakutkan.
Lagu-lagu dalam filem ini agak menarik. Masih banyak lagu-lagu lama dikekalkan seperti “Part of Your World”, Fathoms Below” dan Under the Sea”. Sementara lagu lama seperti “Poor Unfortunate Souls” dan “Kiss the Girl” liriknya diubah agar sesuai untuk keadaan semasa. Dua lagu dibuang iaitu “Daughters of Triton” kerana Disney mengubah nama-nama watak dan yang turut tiada adalah “Les Poissons”.
Terdapat tiga lagu baharu “Wild Uncharted Waters”, “For the First Time”, dan “The Scuttlebutt” yang mana Scuttlebutt akan menjadi satu-satunya lagu anda ingin dengar berkali-kali selepas menonton filem ini.
Jika anda ingin tonton filem muzikal dengan drama yang ringan tetapi masih menarik The Little Mermaid adalah untuk anda. Filem ini pada aku hanyalah satu langkah Disney untuk peminat-peminat Disney zaman sekarang mengenali IP Disney pada suatu ketika dahulu. Dengan penceritaan sama penonton turut boleh tonton semula yang animasi dan memberi penilaian masing-masing.
Untuk aku filem ini sebuah filem ringkas yang tidak membosankan. Aku terhibur dengan filem ini dan jika ia ditawarkan di Disney+ nanti aku pasti tonton sekali lagi. Isu aku dengan filem ini hanyalah kualiti CGI yang tidak begitu memberangsangkan, lain-lain aku yakin jika anda tonton anda akan kata “boleh tahan!”
The Littler Mermaid telah pun tiba ke pawagam tempatan sejak 26 Mei lepas.