Skip to main content

Semasa zaman belajar iaitu zaman saya aktif mengikut perkembangan K-drama apa yang saya tonton banyak daripada Lee Min-ho atau Kim Woo-bin. Saya biasa bergilir tonton drama mereka. Tetapi antara yang saya masih ingat adalah lakonan Woo-bin dalam The Heirs, The Con Artists dan Uncrontrollably Fond.

Tiga ini adalah kegemaran saya yang saya tonton berulang kali ketika diperkenalkan. Untuk Kim Woo-bin sudah lama saya tidak melihat beliau beraksi. Alienoid yang dikeluarkan pada tahun lepas pun saya terlepas dan terkini beliau ada dalam siri TV Netflix baharu Black Knight.

Black Knight adalah satu kisah dunia distopia futuristik Korea Selatan di mana berlaku pada tahun 2071 dan bumi telah dilanda meteor yang menyebabkan pencemaran udara. Populasi pun kini hanya 1% dan wujudnya pengasingan mengikut kelas. Siri ini percaya atau tidak memfokuskan kepada kisah posmen. Ia mempunyai cerita yang baik, konsep yang menarik dan aksi yang hebat.


Apa Kisahnya?

Di dunia fiksyen Korea yang udara tercemar, kebanyakan manusia tidak kerap keluar rumah kerana pencemaran udara yang teruk dan membenarkan mereka bernafas untuk beberapa minit sahaja. Ini menjadikan hidup semua orang bergantung kepada the Deliverymen iaitu posmen yang menghantar keperluan harian.

Posmen-posmen ini ada yang terdiri daripada kumpulan sendiri iaitu Black Knight yang menjadi pasukan vigilante yang membantu orang-orang yang memerlukan oksigen untuk bernafas dan melindungi mereka yang tidak bersalah daripada perompak yang ingin merampas bekalan keperluan harian.

Dunia Black Knight ini terdapat seorang legenda iaitu 5-8 lakonan Kim Woo-bin. Ramai menjadikan beliau sebagai tokoh dan ingin menjadi posmen berjaya. Pada masa sama di Korea turut terdapat ramai pelarian. Pelarian yang layak diberi peluang menjadi posmen berjaya seperti the Deliverymen yang asal-usul mereka adalah pelarian juga.

Kisah siri TV turut memfokuskan kepada Yoon Sa-Wol lakonan Kang You-Seok seorang pelarian yang ingin menjadi seakan 5-8 yang ada rahsia misteri dan dilindungi dan dijaga oleh Seol-Ah lakonan Esom iaitu seorang pegawai seakan askar yang digelar Defense Intelligence Command.

Pengalaman Menonton

Aku sudah lama tidak menonton k-drama yang penuh dengan aksi. Hanya sejak bukan Ramadan lepas aku mula menonton kembali k-drama dan aku pilih Taxi Driver. Sebelum itu adalah Money Heist yang hanya biasa sahaja. Jadi aku tidak letak harapan tinggi pada Black Knight kerana aku tidak tahu drama mana patut aku bandingkan atau boleh jadikan sebagai penanda aras.

Dengan selamba aku terus tonton akses awal yang Netflix berikan pada dua minggu lepas. Aku mula tonton dan tidak boleh berhenti sehingga selesai kesemua enam episod dalam satu hari.

Black Knight bukannya drama terbaik, tetapi mempunyai konsep yang menarik yang berjaya membuat mata aku melekat dan ingin tonton dengan penuh fokus. Siri TV ini mempunyai persekitaran seakan Mad Max Fury Road, ada perasaan seakan menonton Terminator dan ada juga elemen manusia mutasi.

Penjenayah utama dalam filem ini adalah satu wakil syarikat korporat besar yang percaya kepada diskriminasi iaitu Ryu Seok lakonan Song Seung-heon. Jadi beliau tidak hiraukan pelarian yang ramai dan hanya pentingkan golongan elit. Syarikat ini berhasrat membangunkan dunia baharu di mana ia seakan satu utopia yang merupakan idaman ramai termasuk 5-8.

Siri ini turut menceritakan mengenai seorang pelarian iaitu Yoon Sa-Wol lakonan Kang You-Seok yang ingin menjadi Black Knight dan telah dilatih oleh 5-8. Sa-Wol dijaga dan dilindungi oleh Seol-Ah laknan Esom. Bersama-sama mereka membina hubungan yang baik dan turut membantu antara satu sama lain bagi merungkai rahsia Ryu Seok agar orang ramai hilang kepercayaan kepada korporat besar yang kejam dan tidak adil.

Menonton siri ini akan memberikan satu pengalaman menonton yang baik. Untuk aku ia kurang memuaskan kerana CGI yang lucu dan tidak realistik. Lakonan seakan berlaku di studio sepenuhnya. Black Knight mempunyai konsep yang menarik memperlihatkan bagaimana dunia masa hadapan di mana orang ramai masih wajib memakai pelitup muka untuk kekal sihat.

Keseimbangan penceritaan dan aksi dalam siri TV ini akan pasti membuat orang ramai tonton sehingga tamat. Pembinaan dunia dan perkembangan watak menarik siri TV ini turut memberi potensi untuk Black Knight dikembangkan kepada sekuel. Malah jika ada prekuel aku turut akan tonton ingin melihat bila dan bagaimana bumi dilanda meteor merbahaya. Mana tahu ada siri sampingan memfokuskan kepada manusia mutasi dan Black Knight sahaja?

Kesimpulan

Jika anda minat akan Kim Woo-bin dan sudah lama tidak melihat beliau beraksi Black Knight adalah siri TV anda. Dengan penceritaan seimbang, konsep menarik dan hanya enam episod ia adalah sebuah drama yang anda boleh tonton sekali jalan. Penyampaian yang pantas dan tidak meleret, aksi yang mantap dan perwatakan yang bagus. Untuk aku enam episod agak pendek dan kurang memuaskan. Paling banyak aku merungut hanya pada kualiti produksi yang nampak cool dan hebat pada prop tetapi CGI yang teruk.

Black Knight sudah pun disiarkan di Netflix Malaysia bermula hari ini 12 Mei 2023 sejak 3PM tadi.

Black Knight
Siaran bermula 12 Mei
Sebuah kisah abang posmen pada tahun 2071 yang turut menjadi hero. Siri TV ini mempunyai konsep yang menarik seakan gabungan Mad Max Fury Road untuk lokasi dan turut ada elemen seakan Terminator dan manusia mutasi. Aksi yang gempak, drama yang menarik dan satu cerita yang menarik jika anda tolak tepi kualiti CGI.
Positif
Konsep penceritaan yang menarik, unik dan ada potensi besar.
K-drama yang seimbang dengan aksi gempak dan drama menarik.
Prestasi lakonan yang memuaskan dari semua pelakon utama.
Negatif
Kualiti CGI yang tidak sedap mata memandang.
6 episod tidak memuaskan.
7

Leave a Reply