Tahun lepas telah kami laporkan yang filem Dodgeball: A True Underdog Story ada potensi untuk menerima sekuel. Pelakon utama filem tersebut iaitu Vince Vaughn yang memainkan watak Peter Lafleur menyatakan idea sekuel telah ada dan hanya menantikan restu daripada Ben Stiller sahaja.
Terkini Deadline telah melaporkan yang Vaughn disahkan akan berlakon dalam filem sekuel dan beliau turut akan menjadi penerbit.
Ini juga bermakna filem ini telah diluluskan dan akan dibangunkan. Jordan VanDina akan menulis skrip filem dan ia akan menjadi projek di bawah 20th Century Studios. Pengarah dan penulis filem asal iaitu Rawson Marshall Thurber masih tidak pasti beliau akan terlibat atau tidak.
Dalam filem asal yang ditayangkan pada tahun 2004, Ben Stiller berlakon sebagai White Goodman. Goodman dan LaFleur adalah pemilik gim dan mereka bertanding untuk menjadi gim terbaik melalui perlawanan dodgeball.
Selain Justin Long yang telah menyatakan minat untuk kembali, Ben Stiller, Christine Taylor, Stephen Root, Alan Tudyk, Joel David Moore, Chris Williams, Missi Pyle, Gary Cole, Jason Bateman dan William Shatner masih tidak disahkan akan kembali ataupun tidak. Filem ini adalah antara filem yang berjaya kerana bajet $20 juta berjaya mengutip $168 juta.