Ulasan The Super Mario Bros. Movie

Tidak salah jika saya katakan menghasilkan filem berdasarkan satu IP terbesar di dalam permainan video akan mempunyai cabaran tersendiri tetapi pada masa sama, potensi kejayaan untuknya adalah besar dan The Super Mario Bros. Movie adalah bukti terbaru untuknya. Sebelum saya kongsikan ulasan saya untuk filem ini, terlebih dahulu saya ingin katakan dengan kutipan melebihi $700 juta setakat ini, filem ini merupakan satu kejayaan untuk Universal Pictures, Illumination dan juga Nintendo sendiri.

Adakah filem ini mempunyai kualiti yang bersesuaian dengan kejayaan Box Office? Di kebanyakan aspek saya boleh katakan ya. Illumination telah melakukan satu kerja yang baik untuk membawa dunia Mario ke medium yang baharu, walaupun membuang alat kawalan dari tangan pemain, dan sekadar memberikan pengalaman melalui skrin besar, The Super Mario Bros. Movie masih lagi memberi perasaan keseronokan yang sama dengan bermain permainan ini.

Perkara pertama yang saya ingin katakan “well done” kepada Illumination adalah bagaimana setiap dunia dihasilkan tidak kira di New York, Mushroom Kingdom ataupun di Jungle Kingdom, membuatkan saya berharap ini seharusnya menjadi kualiti untuk permainan seterusnya bagi permainan Mario. Benar, Illumination mempunyai sumber asal yang mencukupi untuk membantu mereka menghasilkan dunia ini, akan tetapi saya masih merasakan mereka melakukan kerja yang baik untuk mengambil inspirasi daripada sumber tersebut dan menghasilkan dunia rekaan tersendiri.

Animasi di dalam filem ini juga adalah berkualiti sesuatu yang kita sudah boleh jangkakan daripada Illumination, adegan awal memperlihatkan Bowser menghancurkan istana menggunakan api, benar-benar memperlihatkan kekejaman Bowser walaupun di dalam filem ini, dia masih lagi mempunyai satu lapisan watak komedi. Pelbagai lagi animasi lain, seperti semasa berlumba Kart di atas Rainbow Road memberi kepuasan kepada saya setelah sekian lama melihat litar tersebut di dalam Nintendo Switch dan kini dapat melihatnya dengan lebih besar dan epik.

Penceritaan untuk The Super Mario Bros. Movie pula bagi saya adalah biasa-biasa sahaja, mudah untuk dijangka dan terasa sudah menjadi formula biasa untuk filem-filem oleh Illumination. Mario dan Luigi merupakan seorang tukang paip di New York yang baru sahaja membuka syarikat mereka sendiri iaitu Super Mario Bros. semasa menyiasat mengenai banjir yang berlaku di Brooklyn, Mario dan Luigi telah memasuki satu paip yang membawa Mario ke Mushroom Kingdom manakala Luigi ke Dark Lands.

Mushroom Kingdom yang diterajui oleh Princess Peach di dalam keadaan bahaya kerana Bowser yang baru sahaja mendapat Super Star dikatakan ingin menghancurkan Mushroom Kingdom agar dia dapat mengawal dunia. Di dalam usaha untuk melawan Bowser, Peach ingin meminta bantuan daripada raja Cranky Kong yang mempunyai tentera sendiri. Pada waktu ini jugalah Mario tiba ke istana, dan melihat seperti dirinya iaitu seorang manusia, Peach telah meminta bantuan Mario. Mario bersetuju kerana dia juga ingin menyelamatkan Luigi yang berkemungkinan besar telah ditangkap oleh Bowser.

Bermulalah pengembaraan Mario untuk bukan sahaja menyelamatkan Luigi tetapi juga untuk mengelak daripada Bowser menghancurkan Mushroom Kingdom. Penceritaan yang ringkas dan mencukupi tetapi mempunyai banyak bahagian yang saya rasa boleh dikembangkan lagi terutama untuk menjadikan dunia Mario yang lebih menarik.

Contohnya, pertama kali Peach berjumpa dengan Mario, Peach meminta untuk Mario melalui halangan yang kelihatan seperti satu peringkat di dalam permainan Mario. Bagi saya, bahagian ini dijadikan dengan terlalu ringkas dan boleh dikembangkan lagi untuk menjadikannya lebih menarik. Begitu juga semasa perlumbaan di Rainbow Road, apa yang diperlihatkan sudah cukup baik, tetapi saya juga merasakan yang mereka boleh meluangkan lebih masa untuk menambah pelbagai perkara menarik semasa adegan tersebut.

Satu yang lebih jelas adalah apabila Luigi sampai di Dark Land, ia benar-benar membawa perasaan seperti permainan Luigi’s Mansion akan tetapi sekali lagi, bahagian ini tidak dikembangkan dan dilakukan dengan ringkas sahaja. Saya faham, keputusan ini dibuat kerana tidak ingin terlalu bercabang daripada penceritaan utama, tetapi saya merasakan dengan memberi peluang yang lebih untuk Luigi berkembang di bahagian ini, akan memberikan lapisan baharu kepada penceritaan. Saya akan memaafkan perkara ini, jika mereka mengumumkan Luigi’s Mansion akan menjadi filem tersendiri.

Lakonan suara pula, saya boleh menerima penjelasan yang disertakan di dalam filem ini mengenai mengapa Mario tidak mempunyai loghat seperti di dalam permainan video, sekurang-kurangnya mereka sudah mengetahui yang ini akan menjadi tanda tanya, dan mereka menjelaskannya dengan memuaskan. Namun, tanpa loghat tersebut, ataupun dengan persembahan Chris Pratt sebagai Mario saya rasakan biasa-biasa sahaja.

Saya masih boleh menerima lakonan suara olehnya akan tetapi pada masa sama merasakan yang Chris Pratt tidak membawa identiti yang mencukupi untuk menjadikan ini adalah Mario yang berlainan. Jika Chris Pratt digantikan dengan sesiapa sahaja, saya boleh katakan akan membawa pembawaan yang sama, dan mungkin sekadar kurang ‘kuasa bintang’ berbanding Chris Pratt yang merupakan pelakon A-Lister. Masalah sama juga untuk Anya Taylor-Joy yang membawa Princess Peach, masih pembawaan yang baik dan memuaskan tetapi tidak terasa unik.

Ini berbeza dengan tiga lagi watak iaitu Jack Black sebagai Bowser yang saya rasakan Jack Black benar-benar menjadikan watak Bowser ini seperti dirinya sendiri dan pembawaan ini sangat berkesan. Bagi saya, Bowser adalah highlight utama untuk filem ini. Charlie Day sebagai Luigi, Keegan-Michael Key sebagai Toad dan Seth Rogen sebagai Donkey Kong juga membawa perwatakan mereka dengan baik walaupun mempunyai penglibatan yang terhad.

Akhir kata, The Super Mario Bros. Movie adalah satu filem yang baik, mencukupi untuk satu filem berdasarkan antara IP terbesar di dalam permainan video. Kualiti grafik serta rekaan dunia adalah memuaskan, penceritaan adalah baik walaupun terasa terlalu ringkas dengan banyak bahagian tidak dikembangkan lagi. Lakonan suara juga adalah baik tetapi dua watak utama tidak membawa identiti yang unik dengan Bowser menjadi watak yang paling berkesan dengan pembawaan yang baik oleh Jack Black.

Oleh itu, filem ini adalah cukup baik bukan sahaja untuk peminat Super Mario Bros. ataupun yang baru sahaja mengenali mengenai mereka.

Penafian: Tayangan awal untuk The Super Mario Bros. Movie disediakan oleh UIP Malaysia untuk tujuan ulasan ini. Filem ini akan tiba di pawagam bermula pada 20 April 2023.

The Super Mario Bros. Movie
The Super Mario Bros. Movie adalah satu filem yang cukup menarik dan memberikan pengalaman yang baik untuk peminat Super Mario dan juga sekadar penonton filem animasi. Sedikit mengecewakan kerana beberapa bahagian tidak dikembangkan lagi.
Positif
Animasi dan Rekaan Dunia Yang Baik
Penceritaan Yang Menyeronokkan
Negatif
Watak Utama Seperti Mario Terasa Terlalu Biasa
Beberapa Bahagian Tidak Dikembangkan Dengan Mencukupi
8

Sohor Kini