Skip to main content

Sony Pictures dan filem seram bukan satu gandingan yang selalu kita lihat jika dibandingkan dengan studio lain. Dalam ingatan saya pun filem seram Sony terakhir saya tonton adalah The Unholy. Filem seram mereka yang terkini adalah The Pope’s Exorcist lakonan Russell Crowe.

Filem ini diadaptasi berdasarkan buku An Exorcist Tells His Story dan An Exorcist: More Stories nukilan paderi Fr. Gabriele Amorth yang mana filem ini memfokuskan Amorth sebagai watak utama.

Kebiasaannya filem seram berkonsepkan “exorcist” atau halau hantu/setan menggunakan konsep sama. Tetapi filem ini berbeza sedikit dengan melibatkan penyiasatan, rahsia politik, konspirasi dan komedi. Apa yang pengarah filem iaitu Julius Avery lakukan adalah berani kerana berjaya membina dunia filem seram Amorth.


Apa Kisahnya?

Seperti yang aku katakan tadi filem ini mengisarkan paderi Fr. Gabriele Amorth sendiri ketika beliau berkhidmat di bawah Pope sebagai Chief Exorcist of the Vatican. Dalam satu kes seorang budak lelaki dirasuk Amorth menemui rahsia yang mengejutkan mengenai Vatican. Rahsia ini dilihat telah cuba disembunyikan selama beratus-ratus tahun daripada semua orang.

Jadi dalam filem ini ia mempertontonkan bagaimana Amorth menghalau hantu, memulihkan pesakit yang dirasuk sambil merungkai misteri di sebalik Vatican yang penuh dengan misteri yang mengerikan. Amorth dalam filem ini dibantu oleh Father Esquibel lakonan David Zovatto.

Filem ini juga penuh dengan komedi di mana ia lebih kepada perwatakan Amorth yang di dunia sebenar dikatakan paderi ini suka berjenaka. Setiap kali misi menghalau setan/hantu beliau pasti akan mengejek makhluk berkenaan. Ramai orang yang mengikuti Amorth memberitahu aku apa yang Russell Crowe bawakan dalam filem ini adalah sama.

Pengalaman Menonton

Setiap kali aku tonton filem seram Sony aku tidak meletakkan harapan yang tinggi. The Unholy misalnya pada aku adalah sebuah filem yang baik tetapi ia underrated. The Pope’s Exorcist walau bagaimanapun berbeza. Aku masuk dengan tidak mengharapkan apa sangat, tetapi aku keluar panggung dengan harapan filem ini akan ada sekuel.

Filem ini bermula dengan adegan menghalau hantu yang merasuk manusia seperti yang kita biasa lihat dalam mana-mana filem seram. Ia mempunyai penceritaan yang agak perlahan tetapi mempunyai penyampaian yang bijak dan secara terus agar orang ramai mudah faham apa yang penulis dan pengarah inginkan. Mereka yang tidak boleh sabar pasti akan katakan ini adalah filem yang membosankan.

Aku tidak nafikan yang filem ini memang bukan untuk semua orang. Tidak semua orang boleh tonton filem seram begini. Tetapi selepas adegan demi adegan melihat lakonan Russell Crowe yang sangat meyakinkan aku menjadi lebih bersemangat untuk tonton filem ini sehingga tamat.

Amorth adalah seorang yang lucu tetapi pada masa yang sama menggerunkan kerana tegas dan handal melakukan tugas beliau. Kerja-kerja yang beliau kendalikan kadangkala berada di luar etika tetapi menjadi dan ramai orang telah berjaya diselamatkan.

Dalam filem ini beliau berganding bahu dengan Father Esquibel lakonan David Zovatto. Beliau adalah seorang paderi muda yang menghormati Amorth dan seorang yang mendengar kata. Walaupun tidak berpengalaman Amorth masih mempercayai beliau dan gandingan mereka ini menjadikan filem seram menghalau setan seakan sebuah filem Buddy Cop.

Kes paling besar dan penuh misteri dalam filem ini adalah Henry yang dirasuk. Henry dilakonkan oleh Peter DeSouza-Feighoney dan pergerakan beliau sebagai kanak-kanak yang dirasuk adalah baik sekali. Cuma suara setan beliau yang dibawakan oleh Ralph Ineson kedengaran seakan hantu filem komedi. Tambahan pukla CGI hantu-hantu dan makhluk lain yang mengganggu menggunakan kesan khas yang agak melampau.

Apa-apa pun, setan yang mengganggu Henry ini secara spesifiknya meminta Amorth sebagai Paderi yang akan menguruskan kes rasukan beliau. Di sinilah filem mula menjadi semakin menarik. Makhluk apa yang ada di dalam budak ini agak kuat dan sukar untuk Amorth menewaskannya.

Rahsia yang Amorth temui juga membuatkan aku terkejut. Filem ini membina dunia seram yang menarik dan pertama kali aku nampak Sony lakukan perkara ini pada filem seram. Filem ini mendedahkan yang di kalangan paderi-paderi Vatican ada setan yang menyamar melakukan kerja-kerja keagamaan demi tuhan dan orang atasan Vatican menyembunyikan perkara ini.

The Pope’s Exorcist adalah sebuah permulaan baik untuk Sony Pictures terus mempunyai filem seram. Ia juga adalah permulaan bagus untuk mesta filem seram di Eropah. Dengan banyak rahsia yang ditemui dan telah mempertontonkan betapa dahsyatnya sejarah Vatican bersama paderi-paderi mereka filem ini tiada masalah untuk dikembangkan dengan sekuel dan/atau siri/filem sampingan.

Dari segi kualiti produksi The Pope’s Exorcist bukanlah yang terbaik tetapi banyak yang kelakar. Pada aku ada beberapa suntingan tidak menjadi kerana tidak sesuai tetapi dengan penceritaan yang bukan selalu kita boleh lihat dalam filem seram kekurangannya boleh diterima.

Kesimpulan

Bagi yang sukakan filem penyiasatan, pengembaraan, filem seram, filem ngeri dan komedi ini adalah filem yang baik untuk anda tonton. Dengan The Conjuring Universe yang akan tamat dan mesta filem seram James Wan baharu masih tidak jelas – The Pope’s Exorcist adalah peluang baharu untuk studio, penulis dan pengarah filem seram lain mengembangkannya kepada kandungan yang menarik.

Filem ini bukanlah yang terbaik, tetapi cukup menghiburkan. Ia seimbang antara semua aspek seperti drama, seram dan komedi. Ia juga tidak rasa aneh untuk ditonton dan pasti akan membuka mata penonton untuk menerima konsep filem seram sebegini. Dengan rating LPF baharu, The Pope’s Exorcist turut mempunyai banyak adegan seram ngeri yang tidak dipotong menjadikan pengalaman menonton lebih menarik.

The Pope's Exorcist
Tayangan Bermula 6 April
Sebuah filem seram yang unik dengan memfokuskan kepada watak paderi yang berbakat. Satu adaptasi kisah benar yang dicampur adukkan dengan dunia fantasi yang menjadikan filem ini lebih seronok untuk ditonton walaupun elemen seramnya klise. Russell Crowe membawakan watak paderi yang paling menarik pernah aku tonton dalam mana-mana filem seram dan filem ini membuka peluang dan potensi untuk Pope's Exorcist terus mempunyai masa depan.
Positif
Perwatakan yang menarik
Konsep filem seram penyiasatan yang unik
Ada potensi untuk berkembang jauh
Negatif
Ada beberapa adegan mudah diramal
Tidak menyeramkan
7

Leave a Reply

Final Score