Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves berdasarkan treler yang diperlihatkan saya mempunyai jangkaan yang rendah untuknya, saya boleh katakan treler sekadar memperlihatkan satu lagi penceritaan fantasi yang dipenuhi dengan jenaka yang tidak sampai dan juga cringe, namun apabila saya tontonnya secara sendiri – filem ini melangkaui jangkaan saya dan memberikan satu pengalaman tontonan yang bukan sahaja menarik tetapi mempunyai jiwa dengan pengembaraan yang epik.
Filem ini memfokuskan kepada watak Edgin lakonan Chris Pine yang merupakan bekas Harpes iaitu penjaga keamanan yang tidak mengharap upah. Salah satu tangkapan yang dilakukannya adalah menangkap seorang Red Wizard, tetapi ini telah menjadi penyebab kepada Red Wizard lain membalas dendam dengan membunuh isterinya, tetapi anak perempuannya yang masih bayi pada waktu itu terselamat.
Pada awalnya dia hilang arah, sehinggalah berjumpa dengan Holga lakonan Michelle Rodriguez, Holga bukan sahaja menjaga anak Edgin yang membesar menjadi Kira lakonan Chloe Coleman tetapi memberi hala tuju baharu kepada Edgin untuk membentuk sekumpulan yang mencuri harta-harta orang kaya. Kumpulan itu terdiri daripada Simon lakonan Justice Smith yang merupakan seorang ahli sihir, dan Forge lakonan Hugh Grant.
Mereka boleh dikatakan sekumpulan pencuri yang berjaya sehinggalah mendapat tugasan dari seorang perempuan misteri iaitu Sofina yang ingin merompak tempat barangan rampasan Harpes. Pada awalnya Edgin tidak ingin melakukannya tetapi apabila diberitahu yang tempat itu juga terdapat ‘Resurrection Tablet’ yang membolehkan dia untuk menghidupkan semula isterinya, dia bersetuju.
Semasa mereka melakukan rompakan, Edgin dan Holga telah ditangkap dan terpaksa berada di dalam penjara, sehinggalah mereka berjaya melarikan diri 2 tahun kemudian dan mendapati yang Forge telah menjadi Lord of Neverwinter dengan bantuan Sofina, dia juga menjadi penjaga kepada Kira. Edgin kemudian meminta untuk Forge memberikan semula Resurrection Tablet dan juga Kira akan tetapi Forge telah mengarah untuk Edgin dan Holga ditangkap semula, dia juga menipu kepada Kira mengatakan Edgin meninggalkannya.
Edgin dan Holga kemudian berjaya melarikan diri dan mula merancang untuk mendapatkan semula Kira dari Forge, untuk melakukannya Edgin telah mendapatkan bantuan Simon, Doric lakonan Sophia Lillis iaitu seorang Druid yang boleh berubah bentuk menjadi binatang dan Xenk lakonan Rege-Jean Page yang merupakan seorang paladin.
Penceritaan yang disampaikan di dalam filem ini adalah ringkas sahaja dan mudah untuk dijangka, tetapi tidak bermakna yang penceritaan tidak menarik. Saya masih lagi mempunyai masa yang baik menonton, ini ditambah lagi dengan perhubungan di antara watak-watak dilakukan dengan sangat baik. Setiap watak juga diberi masa untuk berkembang secara sendiri. Oleh itu, walaupun penceritaan ringkas sahaja, tetapi masih lagi dapat memberikan segala emosi, gelak tawa, kesedihan, geram dan bangga.
Di dalam usaha untuk mendapatkan Kira inilah penceritaan mula dikembang dengan pelbagai misi, pelbagai lokasi dan tempat yang setiapnya dihasilkan dengan berkualiti, tidak kira kawasan hutan ataupun kawasan mewah, rekaan dunia di dalam filem ini sangat menawan walaupun ada tempat yang dilewati sekejap sahaja, tetapi efektif untuk memperlihatkan pengembaraan mereka memerlukan pergi ke pelbagai sudut dunia yang memberikan pengalaman fantasi dan pengembaraan yang mengujakan.
Mereka juga perlu bertempur dengan pelbagai penjahat dengan rekaan penjahat adalah berdasarkan Dungeons & Dragons yang dihasilkan dengan baik. Manakala pertempuran pula adalah baik, terutama Simon dan Doric yang mempunyai kemahiran seperti magis dan juga dapat bertukar bentuk menjadi binatang. Kesemua ini dilakukan dengan baik, manakala pertempuran lain seperti Holda dan Xenk yang menggunakan senjata biasa sahaja turut mempunyai koreografi yang menarik.
Akhir kata, treler untuk Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves tidak memberikan promosi yang baik kepada filem ini, di dalam treler filem ini kelihatan murahan dengan jenaka yang tidak menjadi, akan tetapi selepas menontonnya kualiti filem ini adalah lebih baik berbanding saya jangkakan. Melalui penceritaan ringkas, mereka berjaya membawa perwatakan yang menarik dan mendalam, rekaan dunia dan penjahat juga dilakukan dengan baik terutama melalui penggunaan CGI dan kesan visual yang berkesan.
Filem ini mungkin tidak akan menjadi ‘filem klasik’ di dalam genre pengembaraan fantasi, tetapi jika anda ternanti-nanti filem fantasi yang baik, Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves adalah filem yang harus ditonton.
Penafian: Tayangan awal untuk Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves disediakan oleh UIP untuk tujuan ulasan ini.