Skip to main content

Filem SHAZAM! pertama ditayangkan pada tahun 2019 dan aku sukakannya. Filem ini berbeza dengan banyak filem DC lain dan selepas tiga tahun menantikan kehadiran filem ini akhirnya pagi semalam aku diberi peluang untuk menontonnya.

Filem sekuel iaitu SHAZAM! Fury of the Gods adalah filem yang terus-terang. Dari judul ke treler semuanya jelas sekali yang apakah kisah yang ingin disampaikan.

Filem ini juga adalah sebuah filem yang terus berkait dengan dunia filem DC baharu James Gunn iaitu DC Universe (DCU). Bagaimana Shazam boleh termasuk, itu anda perlu tonton kerana cara studio menyertakan filem ini ke dalam dunia atau mesta filem besar ini adalah bijak.


Apa Kisahnya?

Shazam! Fury of the Gods mengisahkan Billy Batson dengan adik-beradik angkat yang masih mempunyai kuasa luar biasa SHAZAM. Mereka terima kuasa ini pada filem lepas dan terus menjadi adiwira untuk bandar kediaman mereka. Disebabkan mereka masih kanak-kanak dan remaja, banyak tindakan tidak matang yang membawa kepada elemen komedi menarik.

Dalam pada itu, mereka bertembung dengan Daughter of Atlas yang ingin merampas kuasa SHAZAM kerana mendakwa ia adalah magis ciptaan bapa mereka. Ini menyebabkan mereka berang dan melepaskan naga dan raksasa minotaur serta unicorn untuk menghuru-harakan lagi keadaan. Ketika ini jugalah Billy Batson belajar menjadi lebih matang kerana ingin buktikan beliau layak menjadi adiwira dan sudah bersedia.

Pengalaman Menonton

Filem kedua Shazam banyak fokus kepada Daughter of Atlas lakonan Helen Mirren sebagai Hespera, Rachel Zegler sebagai Anne/Anthea dan Lucy Liu sebagai Kalypso. Mereka seperti kebanyakan penjahat filem adiwira lain sebenarnya mempunyai niat yang baik, tetapi cara mereka yang ganas dan kejam membuatkan orang semua marah.

Tiga orang wanita ini hanya ingin menuntut hak bapa mereka sahaja, iaitu dikatakan adalah pencipta kepada tongkat sakti yang memberikan kuasa SHAZAM.

Lakonan mereka bertiga pada aku sekadar mencukupi untuk aku terhibur menonton filem ini. Gelagat mereka adalah seperti banyak drama melayu yang melibatkan adik-beradik perempuan. Kerap bergaduh, ada yang baik dan ada yang jahat. Filem ini seimbang dari segi drama kekeluargaan dan adiwira.

Bercakap mengenai keluarga dan drama, kisah di sebalik keluarga Billy juga menarik. Penglibatan ibu bapa angkat mereka sedikit sahaja, tetapi memainkan peranan yang cukup menceriakan lagi filem. Ibarat Aunt May mengetahui Peter Parker adalah Spider-Man, cuma dalam filem ini ada ramai kanak-kanak dan remaja yang menjadi wira. Kisah romantik turut berjaya diselitkan dalam filem ini dan ia ringan sahaja, cuma terlampau fiksyen kerana masih menggunakan konsep cinta pandang pertama.

Kembali pada kisah wira, Shazam sejak filem pertama lagi adalah sebuah filem aksi komedi. Aku pula memang minat lakonan Zachary Levi, yang mana beliau sangat bagus memainkan watak remaja di dalam badan orang dewasa. Sebagai individu yang memberi kuasa kepada adik-beradik, beliau cuba menjadi ketua kumpulan wira dan banyak cabaran perlu dihadapi. Tetapi jelas sekali dalam filem ini beliau semakin matang dan lebih berani.

Ini membawakan kepada aksi mantap yang dipersembahkan. Aksi beliau yang lucu masih nampak hebat dan pengarah bijak menyusun atur koreografi aksi. Selain beliau, adik-beradik lain turut semakin handal dalam mengendalikan kuasa masing-masing. Cuma sayang sekali, aksi mereka beramai-ramai tidak cukup banyak untuk memberi aku satu menjerit dan tepuk tangan. Mereka juga tidak begitu beraksi dengan raksasa-raksasa yang ada dalam filem.

Akan tetapi, filem tidak lupa memberi sinar kepada Billly Batson lakonan Asher Angel. Judul filem pun nama beliau jadi kekurangan perlawanan bersama adik-beradik aku boleh maafkan kerana memberi peluang kepada watak utama untuk terus menyerlah.

Pada masa sama, pengarah dan penulis turut tidak lupa kepada watak sampingan seperti Djimon Hounsou yang menjadi ahli sihir. Entah kenapa setiap kali Hounsou muncul dalam filem DC atau Marvel aku rasa teruja, sedangkan watak beliau biasa sahaja – mungkin kerana watak ringkas yang mempunyai gelagat mencuit hati ini kadangkala berjaya menarik perhatian orang.

Pertempuran dengan musuh pada aku baik sahaja. Cuma CGI dalam filem ini masih boleh lihat yang kadangkala mengganggu pengalaman menonton aku. Tapi sekurang-kurangnya tidak banyak melibatkan kesan tembakan tenaga klise yang Marvel selalu gunakan.

Penggunaan kamera dalam filem, susun atur cerita, suntingan dan lain-lain dalam filem ini pada aku baik sahaja. Ia membuktikan yang filem DC boleh berwarna-warni dan gelap dalam satu filem sama. Lagi-lagi pengarah David F. Sandberg yang terkenal dengan filem seram Annabelle: Creation dan Lights Out, boleh nampak cara beliau mengintegrasikan elemen seram dengan baik dalam filem ini.

Oh ya, walaupun filem ini sudah diberi rating P13 masih ada adegan yang dipangkas (crop) atau sengaja dizum. Filem ini bukannya filem seram ngeri dengan darah yang banyak, aku masih boleh dengar suara watak menjerit tetapi tidak nampak. Jadi aku tidak faham kenapa LPF masih perlu ganggu pengalaman menonton.

Kesimpulan

Seperti aku katakan tadi, filem ini adalah di dalam dunia DC Universe atau DCU yang secara tidak langsung membuat aku teruja kerana tidak sabar untuk lihat apakah rancangan James Gunn di bawah DC Studios dan Warner Bros. Discovery untuk watak Shazam. Aku yakin ada banyak potensi lagi. Walaupun pada aku sebenarnya DC untuk mula semula sudah terlambat, tetapi kali sekurang-kurangnya nampak seakan menjadi.

SHAZAM! Fury of the Gods turut ada dua adegan tambahan iaitu pertengahan kredit dan pasca-kredit. Adegan ini ditulis dengan baik dan membuatkan aku rasa teruja. Jadi, filem ini aku sangat cadangkan kepada semua untuk tonton.

SHAZAM! Fury of the Gods
Tayangan Bermula 16 Mac
Adik-beradik Billy Batson kembali beraksi dengan kuasa SHAZAM! mereka. Tetapi kali ini satu demi satu kuasa mereka dirampas oleh anak-anak perempuan Atlas kerana mendakwa kuasa luar biasa ini milik bapa mereka. Untuk itu, raksasa dilepaskan dan menguji Billy untuk menjadi adiwira sebenar. Filem ini penuh dengan aksi menarik, komedi yang mencukupi dan drama kekeluargaan yang cukup seimbang.
Positif
Filem adiwira yang seimbang
Aksi menarik dengan komedi mencuit hati
Dunia DCU semakin berkembang
Negatif
Mudah ramal apa yang akan berlaku
Tiada keunikan
8

Leave a Reply

Final Score