Shrinking adalah salah satu siri TV yang aku nanti-nantikan. Antara sebabnya adalah siri ini mempunyai Jason Segel iaitu Marshall dari siri How I Met Your Mother dan Harrison Ford yang sangat jarang berlakon dalam siri TV terlibat dengan Shrinking.
Selepas menonton kesemua 10 episod (masih sedang disiarkan, baki 3 episod lagi) melalui akses yang Apple berikan untuk tujuan ulasan, aku terkejut yang siri ini memberi aku satu kepuasan menonton. Akun terhibur, aku sedih dan juga gembira dalam masa yang sama.
Shrinking adalah sebuah drama komedi yang tidak begitu berat yang padat dengan pengajaran mengenai hubungan antara anak dan bapa, hubungan bersama rakan serta rakan sekerja. Siri ini adalah siri yang aku boleh tonton berulang kali kerana mempunyai penyampaian yang bagus dan cerita yang akan membuat anda teringat kepada kedua ibu bapa.
Apa Kisahnya?
Kisah yang ringkas, iaitu Jimmy Laird (Jason Segel) adalah seorang ahli terapi yang sedang meratapi kematian isteri. Ini menyebabkan anak tunggal beliau terpinggir dan kepakaran beliau dalam mengubati pesakit yang perlukan terapi tercemar. Sepanjang siri, Laird menyedari melakukan apa yang pesakit beliau elak boleh mengubati mereka dan diri dan sepanjang perubahan cara kerja ini beliau cuba semula mengeratkan hubungan bersama anak beliau Alice (Lukita Maxwell).
Dalam Shrinking, Jimmy Laird turut ditemani oleh seorang pesakit yang menjadi kawan rapat iaitu Sean (Luke Tennie). Selain Sean, Dr. Paul Rhoades (Harrison Ford) dan Gaby (Jessica Williams) adalah rakan kerja yang saling membantu dan bersama-sama dengan mereka adalah Liz (Christa Miller) seorang jiran atau makcik Karen yang mengambil berat mengenai Alice serta Brian (Michael Urie) kawan baik lama yang sentiasa mencuit hati.
Pengalaman Menonton
Sebelum aku lupa, lebih baik aku ceritakan sahaja pengalaman menonton siri ini dan kongsi sebab kenapa aku suka sangat Shrinking. Pertama adalah Jason Segel sendiri, watak Jimmy lakonan beliau mengingatkan aku kembali kepada watak Marshall dalam How I Met Your Mother. Boleh aku katakan 99% hampir sama dengan 1% lagi pergi ke tahap kematangan beliau.
Apa yang beliau lakukan semuanya menggelikan hati dan ada juga saat menyentuh hati apabila beliau terkenang akan kisah silam. Menonton Segel sebagai Laird dalam Shrinking adalah seakan menonton Marshall dalam sekuel How I Met Your Mother, kerana beliau sudah semakin tua. Bercakap mengenai usia adalah Dr. Paul lakonan Harrison Ford yang pasti akan memerangkap mata aku melekat pada skrin kerana beliau sedang beraksi.
Perwatakan beliau yang nampak garang dan bersahaja ini menjadikan aura siri lebih meriah. Walaupun masa skrin dan jumlah dialog (aku rasakan) tidak begitu banyak, tetapi peranan beliau dalam Shrinking mengikat semua menjadi satu. Beliau adalah seorang pakcik tua atau seorang atuk yang nampak gerun dan degil tetapi masih sayang kepada semua pekerja, keluarga dan orang di sekeliling.
Dua watak ini antara yang benar-benar mengambil perhatian aku. Watak kegemaran aku yang lain adalah Gaby rakan satu pejabat Jimmy yang juga merupakan watak yang menjadikan keadaan tegang ke ringan. Gelagat beliau akan membuatkan anda ketawa kerana tidak berhenti bercakap dan seorang wanita yang mempunyai semangat berkobar-kobar.
Watak Sean, Brian dan Liz baik sahaja, masih menceriakan keadaan – tetapi Liz kadangkala apabila mod Karen aktif terlampau menjengkelkan. Brian pula kadangkala menarik, kadangkala sakit hati, sementara Sean adalah seorang dewasa muda yang penuh trauma tetapi sukar menerima keadaan dunia sekarang. Sean adalah watak yang biasa, tetapi penting untuk melihat bagaimana orang yang ada trauma baiki diri sendiri dengan menerima bantuan orang sekeliling.
Sebanyak 10 episod dalam Shrinking, satu pun aku rasa tidak meleret dan mengantuk untuk tonton. Tetapi aku masih sukar untuk hadam menonton kesemuanya dalam satu malam, kerana ia adalah cerita yang aku ingin nikmati satu episod demi satu episod untuk memahami setiap watak dan kisah yang ingin disampaikan.
Penulis siri iaitu Bill Lawrence (Ted Lasso), Jason Segel sendiri dan Brett Goldstein (Ted Lasso) tahu apa yang patut diceritakan dan bijak menyelitkan komedi di saat bila perlu. Kerjasama dengan pengarah James Ponsoldt, Randall Winston dan Ry Russo-Young yang tahu apa patut ada pada skrin dan mana patut potong adalah pilihan terbaik Apple lakukan pada siri TV. Kerjasama mereka ada rentak, mengikut arus yang lancar dan berani aki katakan berjaya hadir dengan kandungan berkualiti.
Setiap watak yang mempunyai prestasi lakonan yang mantap mampu meluahkan perasaan masing-masing dengan penuh realistik. Setiap emosi yang sedih benar-benar membuatkan aku mengalir air mata dan air mata aku turut mengalir apabila ada lawak yang disampaikan lucu.
Siri ini juga dihasilkan dengan baik, memperlihatkan bagaimana setiap watak hidup dalam satu kejiranan sama, sama pejabat dan dalam satu bandar. Penggunaan kamera yang baik, pergerakan peralihan transisi animasi yang lancar, dan paling penting, runut bunyi yang merdu dan sentiasa sesuai dengan setiap adegan.
Kesimpulan
Shrinking pada aku adalah sebuah drama komedi yang semua wajib tonton. Siri TV Apple TV+ ini bukan sahaja untuk berhibur, tetapi turut memberi penonton pengajaran penting baik kepada si bapa atau si anak atau juga kepada kawan-kawan satu pejabat. Drama seperti inilah yang aku mahukan pada lebih banyak platform penstriman. Sebuah kisah yang nampak ringan, tetapi isinya penuh dengan perkara baik untuk dihadamkan.
Shrinking adalah siri TV asli Apple TV+ yang mempunyai 10 episod. Ketika ulasan ini dikeluarkan, baru 7 episod sahaja disiarkan. Anda kini boleh tonton Shrinking di platform Apple dan nantikan episod akhir pada 24 Mac akan datang.