Ulasan Cocaine Bear

Siapa sangka filem dengan nama dadah boleh ditayangkan di Malaysia. Bukan itu sahaja, filem ini adalah sebuah filem komedi ganas yang ngeri. Filem yang aku sebutkan ini adalah Cocaine Bear, sebuah filem yang mengambil inspirasi kisah benar yang berlaku pada tahun 1985 – di mana Andrew C. Thornton II iaitu seorang bekas pegawai narkotik dan juga pengedar dadah sedang menyeludup masuk dari Columbia ke Amerika Syarikat menggunakan pesawat kecil.

Thorton kemudian mencampak dadah tersebut kerana muatan lebihan dalam pesawat dan dalam cubaan terjun dengan payung terjun, beliau gagal lalu mati. Dadah yang dicampak itu adalah kokain dan telah dimakan oleh beruang hitam di dalam hutan.

Kisah ini ditulis semula oleh Jimmy Warden (francais The Babysitter) untuk filem yang diarahkan oleh Elizabeth Banks (Pitch Perfect, Charlie’s Angels 2019). Fakta menarik, bangkai beruang hitam yang mati kerana memakan kokain ini turut diawet. Beruang ini turut digelar sebagai Pablo Eskobear.


Apa Kisahnya?

Seperti yang aku katakan di awal artikel, filem ini adalah inspirasi kisah benar. Kokain yang Thorton seludup ini kini berada dalam hutan di Georgia. Dalam filem terdapat penjenayah yang digelar Syd (Ray Liotta), sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap kokain ini dan menyuruh konco-konco beliau Eddie (Alden Ehrenreich) dan Daveed (O’Shea Jackson Jr.) mendapatkan semula dadah ini.

Tetapi di dalam hutan ini, turut ada pelancong, kanak-kanak yang merayau, ibu yang ingin mencari anak beliau, renjer hutan dan sekumpulan remaja nakal. Dengan ada beruang yang khayal dengan kokain, haiwan buas ini menyerang semua orang tanpa rasa belas kasihan.

Pengalaman Menonton

Sinopsis filem memang mengerikan, tetapi filem ini adalah sebuah filem komedi yang ringkas. Untuk aku, Cocaine Bear adalah Palate Cleanser aku selepas tonton banyak filem yang lebih rumit, terlibat dengan banyak kerja berat – filem ini adalah untuk aku berhibur dan hilangkan penat sahaja. Dua kali aku tonton dan kali kedua aku ketawa lebih kerana filem ini lucu dan memberi kepuasan kepada aku.

Watak-watak dalam filem ini juga semuanya lucu, pertama adalah pasangan pelancong dengan dialog aneh dan terlampau yakin bernasib baik – tetapi kita boleh tahu apa yang terjadi pada watak yang selalunya yakin. Interaksi mereka ini mencuit hati aku dan ramai penonton lain lagi. Watak dua orang kanak-kanak lakonan Christian Convery dan Brooklynn Prince dalam filem ini juga cukup bijak dengan prestasi masing-masing hebat menjadikan filem ini lebih seronok untuk ditonton kerana gelagat mereka yang mudah membuatkan aku ketawa.

Dua kanak-kanak nakal ini menyebabkan Sari iaitu ibu kepada salah seorang daripada mereka lakonan Keri Russell risau sehingga meminta bantuan renjer untuk menyelamatkan mereka. Di sini bermula aksi lebih ganas kerana beruang hitam yang khayal ini menyerang semua orang. Aksi yang mengerikan membuatkan orang rasa geli, tetapi pada masa sama cara aksi ini disampaikan adalah dengan bersahaja membuatkan pengalaman menonton lebih menarik.

Pada masa yang sama Daveed dan Eddie yang sedang mencari kokain ini bertembung dengan sekumpulan remaja yang nakal yang menjadikan keadaan lebih huru-hara, menyebabkan pergaduhan yang dahsyat. Remaja ini adalah Stache lakonan Aaron Holliday adalah seorang lagi watak yang menambah rencah dalam filem untuk memberi lebih elemen komedi. Mereka tidak menyedari yang ada polis turut memburu Syd, Daveed dan Eddie iaitu Bob lakonan Isiah Whitlock Jr..

Setiap interaksi antara watak adalah menarik, tidak bosan dan berjalan dengan lancar. Filem juga seimbang antara perbualan manusia dan aksi ganas beruang yang khayal. Terdapat beberapa adegan komedi yang melibatkan watak menarik yang berlaku dalam sekelip mata sahaja. Pada aku ini adalah arahan yang bijak kerana tidak menjadikan cerita meleret dan komedi yang ingin disampaikan itu menjadi.

Aku turut suka cara filem ini disunting, kerana apabila ada babak lucu yang memang kelakar pasti akan ada adegan imbas kembali atau imaginasi watak yang pasti akan membuat sesiapa sahaja terkejut atau terus ketawa. Filem ini benar-benar membuatkan aku lupa segala penat lelah kerja, memang aku rasa tenang dan badan aku juga rasa lega.

Beruang dalam filem ini sudah semestinya adalah CGI, tetapi CGI yang direka dan render yang cukup baik. Nampak cukup realistik dari segi bulu, pergerakan, warna dan aksi. Ada beberapa adegan yang aku akan kata kantoi CGInya – tetapi secara keseluruhan masih lagi seekor haiwan digital yang dihasilkan dengan penuh perhatian.

Masalah aku dengan filem ini adalah sekali lagi LPF. Filem in sudah menerima rating 18, kerana mengandungi bahasa kesat, dadah dan aksi ngeri. Tetapi masih ditapis dan ada yang dipotong. Apa tujuan diberi rating untuk tontonan mereka berusia di atas 18 tahun tetapi masih perlu dikawal? Sudahlah tidak konsisten, seperti tunjuk jari tengah dikaburkan tetapi sebut perkataan F**k dibenarkan. Aku keliru, menjadi buntu arah yang LPF ingin tuju!

Kesimpulan

Cocaine Bear adalah sebuah filem komedi yang sesuai untuk sesiapa sahaja pada aku kerana disampaikan dengan baik. Interaksi watak yang lucu, mempunyai aksi ganas yang mengerikan yang pasti akan membuat anda rasa sama ada takut, geli atau sorak kerana teruja beruang ini menyerang watak yang dungu. Seperti aku katakan tadi, filem ini adalah untuk sesiapa sahaja ingin bertenang dan rehat menikmati hiburan yang akan meringankan segala beban hidup untuk durasi 1 jam 35 minit.

Cocaine Bear akan ditayangkan bermula hari ini, 23 Februari. Jika anda ingin tonton filem ini, pastikan tiada kanak-kanak atau mereka yang bawah 18 tahun tonton bersama. Nikmati hiburan yang menarik ini dan hari anda pasti akan lebih ceria.

Cocaine Bear
Tayangan Bermula 23 Februari
Sebuah filem yang mengambil inspirasi kisah benar. Seorang penyeludup dadah naik pesawat, campak kokain ke hutan. Seekor beruang hitam makan dan menjadi khayal, lalu mula menyerang manusia dengan aksi ganas dan ngeri. Filem ini disampaikan dengan penuh komedi yang pasti akan buat semua tergelak.
Positif
Prestasi pelakon yang bersahaja.
Beruang khayal yang mencuit hati.
Negatif
Tidak semua komedi menjadi.
Tiada pengajaran.
7

Sohor Kini