Ulasan Ant-Man And The Wasp Quantumania

Selepas 7 filem dan 8 siri TV MCU Fasa 4 ditayangkan sejak 2021-2022, fasa yang paling mengecewakan ini tamat dan tahun ini – Ant-Man and The Wasp Quantumania memulakan MCU Fasa 5. Fasa baharu ini dikatakan akan memberikan harapan yang lebih dengan musuh yang lebih hebat serta pelbagai filem yang diumumkan nampak gah bagi menembus kembali kekecewaan pada Fasa 4.

Aku sudah pun tonton filem ini semalam untuk tayangan khas kepada para media. Pada aku ini adalah pembukaan fasa yang baik sekali dengan binaan dunia baharu yang sebelum ini hanya sekali imbas sahaja. Serta pengenalan watak baharu yang lebih menarik dan watak sampingan dari musim lepas diberikan peluang masa skrin untuk lebih memainkan peranan.

Tetapi adakah Ant-Man and The Wasp Quantumania ini sebuah filem MCU terbaik dan berbaloi untuk habiskan amsa 2 jam 4 minit (124 minit) masa menonton?


Apa Kisahnya?

Plot filem yang amat ringkas, di mana sekeluarga Ant-Man iaitu Paul Rudd sebagai Scott Lang/Ant-Man, Evangeline Lilly sebagai Hope van Dyne/Wasp, Michelle Pfeiffer pula sebagai Janet van Dyne, Michael Douglas sebagai Hank Pym dan Kathryn Newton sebagai Cassie Lang terperangkap ke dalam Quantum Realm dan mula mengembara. Janet yang berpuluh tahun terperangkap dalam dunia asing ini selama ini menyimpan banyak rahsia di sebalik Quantum Realm – akhirnya terdedah satu demi satu apabila suami, anak dan cucu menyedari apa yang ada sebenarnya dalam dunia asing yang penuh misteri ini.

Dalam usaha untuk pulang ke dunia asal, mereka bertemu dengan pelbagai makhluk baharu serta musuh yang sangat mengerikan iaitu – Kang the Conqueror lakonan Jonathan Majors. Tanpa bantuan pasukan Avengers, adakah Ant-Man, Wasp dan Cassie Lang mampu menyelamatkan dunia Quantum Realm dari Kang dan membebaskan diri?

Pengalaman Menonton

Aku tonton filem ini di GSC IOI City Mall Putrajaya (East Wing), di dewan IMAX with Laser dan datang dengan harapan tinggi ini adalah filem MCU terbaik selepas filem-filem dalam Fasa 4. Syukur, apa yang aku harapkan itu tercapai. Filem ini menarik ditonton seperti apa yang aku ramal dan bayangkan. Tetapi percaya atau tidak, filem Ant-Man ketiga ini mungkin bukan untuk semua orang, kerana penceritaan filem ini mungkin akan rasa perlahan dan klise.

Filem ini adalah filem yang aku panggil pesta CGI, kerana penuh dengan CGI dari lokasi ke watak-watak sampingan. Walaupun begitu, aku masih berpuas hati dengan kualiti visual yang dipaparkan. Suntingan yang bagus, elemen tenaga yang standard MCU, prop yang nampak realistik serta pelbagai watak aneh yang direka dengan baik. Tetapi, jika anda mengikuti perkembangan Star Wars – visual dalam filem ini adalah mirip dengan dunia Star Wars. Kerana Ant-Man and the Wasp Quantumania adalah filem aksi pengembaraan ke dunia asing.

Dari segi penceritaan, filem ini jelas sekali memfokuskan kepada pengenalan watak Kang the Conqueror selepas kali pertama kita lihat varian watak ini dalam siri TV Loki sebagai He Who Remains. Sekali lagi watak ini dilakonkan oleh Jonathan Majors dan apa yang aku boleh katakan beliau sungguh hebat. Penyampaian watak sebagai musuh utama MCU Fasa 5 ini cukup menggerunkan. Nasib baik filem ini tidak diberi rating ganas, jika tidak aku boleh bayangkan apa yang Kang mampu lakukan. Pengenalan watak ini dilakukan dengan baik sekali, kerana sambil Ant-Man dan keluarga cuba menyelamatkan diri dengan pelbagai cabaran dan konflik – asal usul Kang masih mudah faham.

Filem Ant-Man baharu ini turut menjadi menarik dengan penglibatan banyak watak baharu. Walaupun hanya sampingan, masing-masing memainkan peranan yang cukup hebat. Ada yang lucu, ada yang aneh – tetapi paling menarik untuk aku adalah Cassie Lang. Pelakon watak ini adalah Kathryn Newton yang mana aku kenal beliau melalui filem Freaky dan Newton dalam filem ini hebat sekali dan bersungguh-sungguh. Beliau adalah pelakon ketiga memainkan watak ini dan aku harapkan adalah yang terakhir. Ant-Man and the Wasp Quantumania turut melibatkan Janet dan Hank secara lebih mendalam sebagai watak yang penting menjayakan lagi filem ini.

Aksi dalam filem ini juga hebat belaka. Nampak ganas, tetapi tidak melampau, nampak menakutkan tetapi masih boleh ditonton dan paling penting tiada adegan dipotong. Aksi dipersembahkan dengan cukup menarik. Aku setuju yang sesetengah orang katakan filem ini mempunyai tahap epik seakan sebuah filem Avengers, cuma cerita yang disampaikan adalah ringkas dan perjalanan filem ini rasa sedikit perlahan walaupun hanya sekitar 2 jam sahaja. Aku boleh katakan, Ant-Man 3 adalah filem Avengers versi pendek yang sedikit meleret tetapi seronok untuk aku.

Filem ini turut mengacah apakah masa depan seterusnya untuk MCU Fasa 5. Dengan pengenalan kepada dunia asing baharu dan watak antagonis yang menggerunkan, Fasa baharu ini ada masa hadapan yang cerah dan kali ini penting untuk peminat filem TERPAKSA tonton siri TV kerana Marvel Studios akan kaitkan filem dan siri dengan lebih mendalam lagi – pada pendapat aku.

Kesimpulan

Walaupun bukan filem MCU yang terbaik, aku masih berpuas hati lagi dengan filem ini. Dari watak yang menyeronokkan, kualiti CGI yang mantap, aksi yang padu dan perkembangan dunia MCU yang semakin luas. Aku juga galakkan filem ini ditonton dalam panggung IMAX. Tidak perlu 3D pun tidak mengapa, IMAX with Laser atau biasa sudah memadai kerana akan memberikan pengalaman menonton yang lebih memuaskan dengan audio yang lebih imersif. Turut jangan lupa, Ant-Man and the Wasp Quantumania ada dua adegan tambahan satu di pertengahan kredit dan satu lagi pasca kredit.

Ant-Man and the Wasp Quantumania akan ditayangkan bermula hari ini di 15 Februari di lokasi terhad, sementara tayangan umum adalah pada esok 16 Februari. Tonton jika anda ingin saksikan bagaimana MCU Fasa 5 bermula dan apakah seterusnya akan berlaku dalam fasa baharu ini.

Ant-Man And The Wasp Quantumania
Tayangab bermula 15 Februari 2023
Ant-Man, Wasp, Cassie, Janet dan Hank terperangkap dalam Quantum Realm dan perlu berdepan dengan Kang the Conqueror - mungkin musuh paling menggerunkan dalam sejarah MCU. Filem ini adalah pembukaan MCU Fasa 5 yang baik dengan cerita yang memuaskan, watak yang hebat dan pengenalan dunia baharu yang lebih mendalam.
Positif
Penceritaan yang menarik
Prestasi lakonan yang hebat oleh semua watak
Musuh yang menggerunkan dan dahsyat setakat ini
Negatif
Sedikit meleret untuk cerita yang ringkas
Masih ada formula MCU yang klise
8

Sohor Kini