PlayStation VR2 adalah generasi seterusnya untuk set kepala realiti maya (VR) oleh Sony Interactive Entertainment dan PlayStation. PS VR2 ini dikeluarkan secara khusus untuk PlayStation 5 yang juga konsol generasi terkini untuk mereka. PS VR2 akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 22 Februari 2023 dengan harga RM2,799.
SIE Singapura telah menyediakan kami PS VR2 ini untuk dicuba dan sebelum kami mencuba dengan lebih mendalam dan berkongsi ulasan dengan lebih lanjut, terlebih dahulu kami ingin kongsikan nyah-kotak untuknya, di mana kami akan berkongsi apa di dalam kotak dan juga serba sedikit mengenai set kepala baharu ini.
Di dalam kotak untuk PlayStation VR2 ini, bagi set biasa akan menyertakan set kepala VR itu sendiri bersama dengan alat kawalan PS VR2 Sense iaitu alat kawalan baharu yang diperkenalkan bersama dengan set kepala ini bagi menggantikan PS Move untuk PS VR generasi lepas.
Seterusnya turut disertakan kabel USB-C untuk digunakan bagi pengecasan, dan juga untuk memasang alat kawalan. Satu lagi Kabel USB sedia terpasang di set kepala dan tidak boleh dicabut, kabil ini satu-satunya yang diperlukan untuk menggunakan PS VR2 yang merupakan satu keunikan bagi set kepala ini kerana menjadikannya lebih mudah untuk digunakan berbanding set kepala VR lain termasuk juga PS VR generasi lepas.
Selain itu, terdapat juga set kepala stereo bersama dengan dengan 6 earpieces untuk digunakan bersama dengan rekaan adalah bersesuaian untuk digunakan bersama dengan set kepala PS VR2.
Bagi set kepala PS VR2 untuk paparan di dalam, set kepala ini menggunakan panel OLED dengan resolusi 2000×2040 untuk setiap mata dan kadar segar semula 90Hz ataupun 120Hz. Jarak di antara dua lensa boleh diubah untuk memastikan keselesaan terbaik semasa penggunaan.
Bagi sensor untuk menjejak pergerakan, PS VR2 menggunakan sistem jejak gerakan 6-paksi iaitu 3-paksi gyroscope dan 3-paksi accelerometer. PS VR2 juga menyertakan sensor IR kedekatan untuk digunakan bagi menentukan kedudukan pemain dengan barangan sekitar dan juga pergerakan pemain.
PS VR2 juga menyertakan beberapa kamera yang diperlukan untuk pelbagai kegunaan. Terdapat 4 kamera untuk set kepala dan juga untuk digunakan bagi menjejak alat kawalan dan juga kamera IR untuk menjejak pergerakan mata.
Set kepala ini menyokong kesan getaran dan bagi audio mempunai mikrofon yang terbina dan juga palam jack audio untuk penggunaan perkakas audio tambahan.
Alat kawalan PS VR2 Sense yang hadir bersama dengan pembeli PS VR2 ini mempunyai dua iaitu bahagian kanan dan juga bahagian kiri.
Bagi bahagian kanan, alat kawalan mempunyai butang PS, butang Option, butang O dan X, butang R1, butang R2, kayu analog Kanan (butang R3). Bagi bahagian kiri, alat kawalan mempunyai butang PS, butang Create, butang segi tiga dan segi empat, butang L1, butang L2, kayu analog kiri (butang L3).
Bagi menyokong fungsi untuk menjejak, alat kawalan ini mempunyai sensor gerakan seperti set kepala sendiri iaitu sistem jejak gerakan 6-paksi iaitu 3-paksi gyroscope dan 3-paksi accelerometer. Selain itu terdapat sensor kapasitif untuk mengesan sentuhan jari dan IR LED untuk menjejak kedudukan.
Seperti alat kawalan DualSense, PS VR2 Sense juga menyokong teknologi picu penyesuai di butang R2 dan L2 serta getaran haptik dan juga penggunaan bateri terbina yang boleh dicas dengan sambungan USB-C. Alat kawalan ini boleh digunakan sepenuhnya secara nirwayar menggunakan Bluetooth.
Pengalaman awal saya memakai set kepala PS VR2 (tanpa mencuba dengan mana-mana permainan lagi), saya boleh katakan set kepala yang disertakan mempunyai lapisan yang mencukupi untuk memastikan penggunaan yang selesa. Lapisan ini disertakan di bahagian mata dan juga di sekeliling bahagian kepala. Ini ditambah lagi dengan set kepala itu sendiri adalah ringan menjadikan pengalaman awal penggunaan yang positif.
Memakai dan mengetatkan set kepala adalah mudah, dengan pemusing untuk mengetatkan terdapat di bahagian belakang dan boleh dibuka dengan menekanya sahaja. Pengendalian pengetat ini semasa sedang memakai set kepala PS VR2 adalah mudah dan saya juga tidak tercari-cari walaupun pertama kali memakainya.
Bagi alat kawalan pula, sekali lagi saya masih tidak mengujinya dengan bermain tetapi sekadar memegang dan mencuba butang-butang yang hadir. Butang dan juga kayu analog boleh dikatakan seperti menggunakan DualSense, setiap butang terasa timbul dan senang untuk dikesan walaupun semasa sedang bermain.
Strap yang terpasang pada alat kawalan boleh digunakan untuk memastikan alat kawalan selamat di tangan. Seperti dinyatakan di atas, setiap alat kawalan PS VR2 sense ini hadir dengan butang L1/L2 serta R1/R2 berbanding kedudukan butang atas dan bawah, butang L2 dan R2 terletak di bahagian tepi tetapi penggunaan masih lagi sama seperti alat kawalan biasa dengan butang tersebut akan ditekan menggunakan jari tengah.
PS VR2 Sense ini juga selesa untuk dipegang dan ringan yang saya jangkakan tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk digunakan buat satu jangka masa yang panjang. Bagi pengecasan untuk alat kawalan ini, terdapat UBS-C di bahagian bawah, oleh itu akan memerlukan dua kabel melainkan pembeli turut dapatkan dembaga pengecas.
Saya sudah semestinya akan mencuba lanjut PS VR2 ini dan menyasarkan untuk mengeluarkan ulasan penuh sekitar minggu depan bersama dengan beberapa contoh permainan yang akan dikeluarkan untuk PS VR2 ini.
Sementara itu anda boleh layari laman rasmi PlayStation VR 2 untuk maklumat lanjut dan PlayStation VR2 juga sudah boleh di pra-tempah di mana-mana pengedar rasmi PlayStation dengan harga RM2,799 ataupun RM2,999 untuk berkas bersama permainan Horizon Call of the Mountain.