Dungeons & Dragons (DnD) adalah permainan tabletop role playing yang telah hadir sejak tahun 1972 menjadikan permainan ini merupakan antara yang terawal dan juga masih lagi yang utama sehingga sekarang. Namun, jika anda seperti saya, yang sering melihat dan mendengar mengenai DnD, akan tetapi tidak tahu bagaimana ingin bermula, Wizards of the Coast ada mengeluarkan beberapa set untuk membantu, antaranya adalah Starter Set.
Wizards telah menyediakan saya Dungeons & Dragon Starter Set – Dragons of Stormwreck Isle untuk mencuba dan melalui artikel ini saya akan berkongsi apa yang disertakan di dalam set ini dan bagaimana set ini boleh membantu untuk saya memulakan bermain DnD.
Seperti nama untuk set ini, DnD Starter Set dikeluarkan oleh Wizards untuk membantu pemain baharu seperti saya untuk memulakan pengalaman bermain dengan setiap set ini akan menyertakan barangan berikut;
Buku pengembaraan adalah buku yang akan membantu Dungeon Master (DM), iaitu pemain yang bertanggungjawab untuk menceritakan pengembaraan kepada semua pemain. Melalui starter set ini ia membawa penceritaan Dragons of Stormwreck Isle yang mempunyai empat bab dan melibatkan sehingga lima pemain.
Di dalam buku ini juga disertakan tips-tips untuk menjadi DM, walaupun anda tidak berpengalaman, di dalam buku ini akan membantu anda untuk menjadi DM dengan berkesan, kerana setiap bahagian akan dinyatakan apa yang perlu dilakukan oleh DM.
Buku ini akan berkongsi apa yang akan dijumpai oleh pemain di sesuatu tempat, penjahat apa yang perlu bertempur, maklumat lanjut mengenai penjahat juga akan dinyatakan di dalam buku ini. Oleh itu, tugas DM adalah menggunakan segala informasi ini dan menjadikan satu pengembaraan yang menarik.
Manakala di dalam buku peraturan pula mengandungi segala peraturan dan juga maklumat lanjut mengenai terma-terma yang digunakan di dalam permainan ini. Buku ini perlu dibaca oleh DM dan juga pemain, ataupun DM juga boleh membacanya dan menerangkan sesuatu perkara kepada pemain sambil bermain.
Penerangan yang diberikan adalah sangat terperinci dan akan membantu untuk menyelesaikan segala kekeliruan semasa bermain, terutama bagi pemain yang baharu mencuba permainan ini. Buku ini mempunyai tiga bahagian yang dibahagikan kepada perkara umum mengenai cara untuk bermain, kelengkapan yang boleh digunakan oleh pemain dan juga mengenai spells.
Bagi khusus untuk yang akan menjadi pemain pula, Starter Set ini juga menyediakan lembaran untuk lima watak yang sudah direka oleh Wizards untuk digunakan di dalam pengembaraan ini. Lima watak yang disertakan adalah Wizards (High Elf), Cleric (Hill Dwarf), Rogue (Lightfoot Halfling), Paladin (Human) dan Fighter (Wood Elf)
Lembaran ini antaranya menyertakan segala ciri-ciri bagi watak tersebut seperti Strength, Dexterity, Consitution, kemahiran lain, bahasa dan juga serangan-serangan yang boleh dilakukan. Latar belakang mengenai watak tersebut juga diceritakan dan sebelum bermula bermain, pemain hanya perlu memilih nama, bagaimana watak tersebut kelihatan dan personaliti serta alignment boleh merujuk kepada buku peraturan.
Akhir sekali adalah dadu yang akan memainkan peranan penting di dalam sesi permainan DnD, terdapat 6 dadu berbeza iaitu d4, d6, d8, d10, d12 dan juga d20 yang setiapnya mempunyai kegunaan berbeza dan jika mengikut sesi permainan seperti di dalam Starter Set ini, kesemua dadu ini akan digunakan.
Dengan setiap dadu mempunyai jumlah nombor yang berlainan, kegunaan juga adalah berlainan dan cara penggunaan adalah mengikut yang tertulis di buku pengembaraan dan juga di dalam lembaran watak. Contohnya apabila watak Paladin ingin melakukan serangan ‘Battleaxe’, pemain perlu menggunakan dadu d20 untuk menentukan jika serangan itu berjaya, jika berjaya kekuatan serangan akan ditentukan oleh dadu d8.
Jika ingin memulakan sesi permainan menggunakan Starter Set ini, sekurang-kurangnya memerlukan dua pemain untuk seorang menjadi DM dan juga seorang menjadi mana-mana daripada lima watak. Permainan ini secara teknikalnya boleh dimainkan secara solo akan tetapi keseronokan tidak mengetahui apa yang berlaku seterusnya akan kurang kerana anda akan menjadi DM dan juga pemain secara sendiri.
Selain Starter Set ini, Wizards juga menyertakan pelbagai sumber lain lagi untuk bermula dan anda boleh bacanya melalui pautan ini.