Dexter adalah siri TV Showtime mengenai pembunuh bersiri yang pada mulanya hanya membunuh penjenayah. Dexter lakonan Michael C. Hall mempunyai sifat kejam dan ganas sejak kecil dan dilatih oleh bapa beliau untuk melepaskan segala rasa ingin bunuh dan dera kepada penjenayah sahaja.
Dua tahun lepas, selepas lapan musim – Dexter: New Blood diperkenalkan sebagai musim kesembilan yang memperlihatkan kisah Dexter selepas bertahun menyamar dan anak beliau Harrison yang sudah membesar.
Kini Showtime akan mengembangkan lagi francais Dexter kepada siri sampingan dan musim kedua New Blood. Dalam musim kedua New Blood, siri ini akan memfokuskan anak Dexter iaitu Harrison yang melarikan diri ke New York dan perlu melawan sifat ganas dalam diri dari membunuh kerana tidak ingin menjadi seperti bapa beliau. Siri ini akan cuba mengembalikan tema sama pada siri Dexter yang asal tetapi dari arah yang baharu.
Siri sampingan pula adalah Dexter: Origin iaitu kisah asal-usul Dexter ketika usia muda. Siri ini akan berlaku di Miami dan menceritakan Dexter Morgan versi muda bagaimana beliau berubah menjadi pembunuh bersiri yang sukar dicari. Turut akan disertakan dalam siri ini adalah watak-watak terkenal dalam siri Dexter versi muda termasuk Deb versi remaja (kakak beliau). Siri ini turut akan menceritakan latar belakang pembunuh lain yang terkenal seperti Trinity yang menjadi satu obsesi kepada Dexter.
Buat masa ini, kedua-dua siri ini hanya dalam peringkat pembangunan awal dan tidak pasti lagi bila tarikh siaran, siapakah pengarah dan pelakon yang bakal terlibat.