Siang hari sebagai pakar percikan darah di balai polis Miami Police Department, tetapi malam berubah menjadi pembunuh bersiri. Beliau adalah Dexter, individu yang ada nafsu membunuh tetapi atas didikan bapa beliau – nafsu membunuh ini boleh dikawal dengan hanya membunuh mereka yang “layak” pada fikiran si pembunuh.

Selepas tujuh tahun siri TV Dexter disiarkan di Showtime, musim kesembilan diumumkan. Michael C. Hall akan kembali sebagai pelakon utama, manakala Clyde Phillips pula kembali sebagai penulis dan penerbit. Video acah pertama bulan April lalu mencadangkan yang Dexter belum insaf. Terkini, video acah penuh pertama telah dikongsi – ia memperlihatkan ada individu yang menyasarkan Dexter yang mungkin ingin mendedahkan identiti beliau.

Musim kesembilan berlaku 10 tahun selepas musim kelapan, di mana Dexter larikan diri dan menyamar dengan identiti baharu sambil anak beliau dan kekasih Yvonne Strahovski lari keluar negara. Dexter dilihat sudah berjaya mengawal nafsunya selepas sekian lama cuba tahan. Tetapi, di bandar Iron Lake, NY ini ada individu misteri yang tahu identiti sebenar Dexter termasuk kisah silam beliau.

Persoalannya, siapa? Adakah Dexter akan kembali membunuh? Kenapa selepas 10 tahun baru individu misteri ini muncul? Dexter: New Blood nama rasmi bagi musim kesembilan ini akan disiarkan pada 7 November akan datang. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini