Semasa acara Disney+ Content Showcase tahun lepas, Disney ada mengumumkan banyak kandungan Indonesia baharu. Ada beberapa siri TV seram, antaranya adalah Teluh Darah. Kini, Disney+ Hotstar Malaysia mengumumkan yang Teluh Darah akan disiarkan di platform penstriman ini pada 25 Februari akan datang.
Siri ini mengisahkan Wulan dan Esa, dua anak muda dari keluarga yang berbeza yang kehidupan mereka menjadi kucar-kacir selepas diserang sumpahan ilmu hitam. Demi melindungi keluarga masing-masing, Wulan dan Esa berusaha mencari siapa yang bertanggungjawab atas serangan ilmu hitam ini untuk membalas dendam.
Teluh Darah adalah siri 10 episod dengan setiap episod mempunyai durasi 45 minit. Ia juga adalah siri pertama oleh Kimo Stamboel, salah seorang pencipta filem yang pakar dalam genre seram ngeri.