Di acara Disney+ Content Showcase hari ini, Disney mengumumkan beberapa kandungan Indonesia baharu. Antaranya adalah Tira dalam BCU oleh pengarah Malaysia. Tetapi dua kandungan lain menarik perhatian kami, iaitu Teluh Darah dan Jurnal Risa.

Teluh Darah

Teluh Darah adalah filem seram memfokuskan kepada watak Wulan. Hidup gadis ini menjadi huru-hara selepas keluarga beliau terkena serangan ilmu hitam. Untuk melindungi keluarganya, Wulan mencari individu yang bertanggungjawab dan sanggup melakukan apa sahaja.

Dalam treler di acara hari ini, filem ini dilihat mempunyai kualiti produksi yang tinggi serta menggunakan elemen seram seakan filem seram Hollywood. Ia juga dilihat cukup seram dan mungkin boleh menarik perhatian ramai peminat filem seram. Antara pelakon yang terlibat adalah Mikha Tambayong dan Deva Mahenra.

Jurnal Risa

Jika anda mengikuti filem seram Indonesia, antara francais besar adalah Danur Universe di mana terdapat enam filem yang berkait iaitu Danur (2017), Danur 2: Maddah (2018), Danur 3: Sunyaruri (2019), empat filem sampingan Asih (2018), Silam (2018), Asih 2 (2020) dan Ivanna (2022). Terkini mereka hadir dengan siri TV pula iaitu Jurnal Risa.

Setiap filem dunia Danur akan melibatkan watak Risa Saraswati iaitu berdasarkan nama penulis francais filem ini yang mendakwa boleh berhubung dengan alam ghaib dan semua filem adalah pengalaman beliau semasa zaman muda. Dalam siri Jurnal Risa, ia memfokuskan sekumpulan saudara-mara yang cuba melakukan ritual terlarang sehingga salah seorang daripadanya dirasuk.

Misi utama sekumpulan kanak-kanak yang berkait antara satu sama lain adalah menyelamatkan ahli keluarga tersayang sebelum lebih ramai nyawa diragut. Siri ini akan diarahkan oleh Awi Suryadi, iaitu pengarah KKN Di Desa Penari.

Dalam treler ia dilihat seakan gabungan Stranger Things dan It.

Sohor Kini