Dua tahun lepas, telah kami laporkan yang Disney akan hadir dengan filem Tron ke-3 selepas 10 tahun tiada sebarang sekuel. Ketika itu, filem ini dilaporkan akan diarahkan oleh Garth Davis seorang pengarah Indie dan Jared Leto adalah salah seorang pelakon utama.
Selepas dua tahun tiada sebarang kemaskini, Deadline hari ini melaporkan yang filem ketiga Tron dengan judul Tron: Ares akan diteruskan bersama Jared Leto dan Joachim Rønning akan menjadi pengarah. Jika perjanjian dengan Rønning selesai, Tron 3 akan menjadi projek ketiga beliau bersama Disney selepas Maleficent: Mistress of Evil dan Pirates of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales.
Tron adalah filem sains fiksyen klasik yang ditayangkan pada sekitar tahun 1980-an mengisahkan seorang pembangun permainan video berjaya, Kevin Flynn. Suatu hari Flynn terperangkap dalam permainan video Tron, di mana dunia permainan ini digelar sebagai Grid. Dalam filem pertama, Flynn dilakonkan oleh Jeff Bridges.
Pada tahun 2010, sekuel filem ditayangkan iaitu Tron: Legacy yang menceritakan kisah Sam Flynn anak kepada Kevin Flynn lakonan Garrett Hedlund. Dalam filem sekuel ini, Sam dalam misi mencari bapa beliau yang terperangkap dalam permainan ini dan mendapati bapa beliau masih hidup dan turut beliau turut bertemu dengan Quorra – watak permainan yang juga merupakan pahlawan lakonan Olivia Wilde.
Kini selepas 13 tahun, apa pula kisah Tron: Ares masih belum dikongsi dan siapakah Jared Leto dalam filem ini? Adakah watak Sam dan Quorra akan kembali? Apa terjadi dengan ENCOM syarikat permainan video gergasi serta apa pula telah terjadi pada permainan arked TRON ini? Sama-sama kita nantikan.