Aku jarang sekali mengulas kandungan Malaysia kerana secara lazimnya kualiti yang dipaparkan di skrin OLED (aku dah lama tak menonton wayang kerana pandemik) tidak melepasi piawaian peribadi. Kali terakhir aku memberanikan diri mengulas kandungan Melayu ialah Frontliner di Netflix yang sangatlah mengecewakan ia membuatkan aku berhenti mengulas filem selama beberapa bulan di Aksiz.

Minggu ini Special Force Anarchy (SFA) muncul pula di Disney+ Plus sebagai kandungan asli yang menerima dana daripada platform penstriman antarabangsa ini. Apabila sesebuah projek mempunyai kaitan dengan House of Mouse, palang standard yang perlu dilepasi adalah lebih tinggi daripada slot Samarinda yang dipenuhi kisah cinta yang “realistik”.

Expectation aku juga agak tinggi kerana treler yang dikeluarkan memaparkan babak aksi yang mantap, tiada elemen cinta cintun yang menggelikan, pembabitan Syafiq Yusof dan paling penting sekali adanya M Nasir yang buat pertama kalinya membintangi siri TV dalam kerjaya lakonan yang bermula pada tahun 1986.

Di atas kertas (SFA) ialah sebuah karya yang sepatutnya menjadi big deal kerana pembabitan Disney, Syafiq Yusof dan M Nasir. Tetapi selepas menonton episod pertama aku boleh katakan Special Force Anarchy tiada daya anarki yang istimewa untuk membuatkan orang ramai menontonnya. Izinkan aku menjelaskan sebab-sebabnya.

Berdasarkan tajuk siri ini, ramai mungkin menyangka SFA mempunyai kesinambungan dengan filem KL Special Force arahan Syafiq dari tahun 2018. Jika anda inginkan siri spin-off anda akan kecewa kerana persamaan terletak pada nama Special Force sahaja. SFA ialah sebuah siri polis memburu penjenayah dalam negara fiksyen Republik Tenggara.

Secara lazimnya episod pertama akan digunakan untuk menceritakan sedikit latar belakang watak-watak utama dan dunia yang cuba dibina. Dalam Bahasa Inggeris terma world building digunakan. Tetapi dari minit sulung hingga ke minit ke-45, penonton tidak diterangkan mengenai Republik Tenggara.

Yang kita tahu hanyalah ia sebuah kota yang mirip Kuala Lumpur dengan beberapa bangunan ikonik seperti Menara Berkembar Petronas, Merdeka 118 dan banyak lagi dipadam menggunakan kesan khas. Mungkin ini akan diterangkan kemudian dalam episod-episod akan datang tetapi aku hanya mempunyai akses kepada episod pertama sahaja pada waktu ini.

Episod bermula dengan penjenayah bernama Man Jerung ingin membeli dadah yang dijual di dalam kontena. Kenapa penjualan berkotak-kotak kokain dalam kontena dilakukan secara terbuka? Hanya Man Jerung boleh menjawab soalan ini. Mungkin kerana ini ialah trope wajib untuk filem jenayah moden.

Man Jerung ialah penjenayah paling terkemuka dan oleh sebab itu beliau mahukan potongan harga dari penjual bagi menunjukkan betapa pailangnya beliau. Dari segi perwatakan dan gaya, Man Jerung nampak seperti watak Tuco Salamanca yang dimelayukan yang ditambah rambut. Baju, gaya bercakap dan barang kemas dipakai memang sama macam watak daripada siri Breaking Bad dan Better Call Saul.

Adakah ini disengajakan atau tidak aku tahu kerana soalan tidak sempat pula ditanyakan pada Syafiq Yusof dan barisan penulis siri SFA ketika sidang media. Yang aku tahu Syafiq Yusof pernah terpalit dengan isu plagiarisme kerana plot filem Misteri Dilaila mirip filem Vanishing Act tanpa beliau memberikan sebarang kredit kepada pengkarya asal.

Sedang Man Jerung (nama macam watak komik Pendekar Laut) bertengkar untuk mendapatkan diskaun dalam urusniaga membeli dadah, mereka diserbu oleh pihak polis Republik Tenggara. Berlaku pula adegan tembak-menambak yang dipenuhi dengan beberapa keputusan yang tidak masuk akal.

Sniper polis di atas kontena yang dilengkapi senapang Barrett M82 menembak orang jahat dan bukan blok enjin kenderaan yang boleh dinaiki penjenayah untuk melarikan diri dari serbuan. Penjahat yang rata-ratanya hanya memiliki pistol 9mm dan 2 laras AK-47 dengan mudah melarikan diri daripada gerombolan polis SWAT yang bersenjatakan Colt M4, HK MP5, HK UMP dan perisai balistik.

Seterusnya penonton disajikan dengan babak kejar mengejar yang juga mencampakkan logik ke luar tingkap. Tetapi ini tidak mengapa kerana jika ramai boleh memaafkan filem RRR yang bukan sahaja mencampakkan logik ke dalam lombong malahan hukum fizik juga ke dalam tangki septik, aku boleh maafkan babak kejar mengejar SFA yang klise.

Cerita diteruskan dengan dinamik Komander Qabil dan Iman yang diterangkan dengan lebih jelas. Sepanjang episod ini hanya watak Qabil dan Iman sahajalah yang dikembangkan dengan baik. Watak-watak lain masih lagi sekadar potongan kadbod. Ini episod pertama maka juga boleh dimaafkan.

Tumpuan kini diberikan kepada dua pencuri profesional yang paling badut pernah aku lihat. Mungkin ini disengajakan kerana dalam siri serius perlu ada watak badut sebagai comic relief. Siri Fast and Furious tidak akan sama tanpa watak Roman dan Tej misalnya. Yang tak boleh dimaafkan ialah dua orang perompak ini menggunakan bahan letupan sewenang-wenangnya.

Sebagai contoh bahan letupan digunakan pada manga pagar ketika cuba melarikan diri daripada pengawal peribadi. Ia diletupkan oleh pencuri yang berdiri kurang dua meter tanpa mencari tempat berlindung terlebih dahulu. Mungkin di Republik Tenggara bahan meletup tidak menghasilkan puing-puing logam yang boleh membunuh. Kemudian tiga batang dinamit ngam-ngam meletup di atas jalan untuk menghalang pencuri daripada dikejar pengawal peribadi.

Di awal babak, sistem pemasa ditetapkan selama lima minit memberikan gambaran dua orang pencuri profesional ini memang badut. Apa terjadi jika misi mengambil masa lebih lima minit? Bukankah akan menyusahkan lagi kerja jika letupan berlaku. Kenapa tak gunakan alat kawalan jauh sahaja yang lebih masuk akal? Paling best selepas tiga batang dinamit meletup di depan muka, dua orang pengawal peribadi yang mengejar tadi langsung tak mati. Mungkin itu bukan dinamit tetapi tiga batang mercun Roman Candle yang anda sering mainkan ketika Hari Raya.

Dosa lebih besar ialah dua orang pencuri ini kerap kali membuka topeng ketika melakukan misi. Ingin mengopak peti besi? Buka topeng. Nak bercakap menggunakan radio? Buka topeng. Nak pasang letupan pada manga? Buka topeng. Sedang cuba larikan diri. Buka topeng lagi. Tidak hairanlah kemudian mereka dapat ditangkap oleh mangsa rompakan. Seperti aku katakan di awal tadi dua perompak ini serupa badut.

Sudah dekat 900 patah perkataan ditulis dalam ulasan ini dan aku masih belum bercakap mengenai watak M Nasir dan rompakan yang dipaparkan secara prominen dalam treler. Aku tak cakap kerana babak rompakan ini hanya dipaparkan di dua minit terawal sebelum semuanya flashback. M Nasir muncul sekejap seakan sebuah enigma di penghujung episod lengkap dengan monolog mengenai korupsi di Republik Tenggara. Tetapi pada waktu ini aku sudahpun hilang minat untuk meneruskan tontonan.

Hari Sabtu yang sepatutnya digunakan untuk membasuh seluar dalam, baju dan bermain video game telahpun dibazirkan menonton siri Special Force Anarchy serta menulis ulasan ini. Jangan jadi macam aku dan lakukan kesilapan yang sama. Baik tonton Spilt Gravy on Rice atau Mechamato yang lebih berkualiti. Kalau nak layan juga mungkin sekadar tontonan ironik hujung minggu. Sekali lagi aku ulang, Special Force Anarchy tiada daya anarki yang istimewa untuk membuatkan aku ingin menonton keseluruhan siri ini ke penghujungnya.

Sohor Kini