The Last of Us merupakan permainan terbaik pernah saya main, walaupun dikeluarkan lebih 9 tahun yang lepas, ia masih lagi satu permainan yang mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam diri saya. Walaupun begitu, saya tidak pernah mengharapkan ia menjadi satu siri TV ataupun filem. Namun, dengan perancangan Sony untuk mengembangkan lagi IP permainan mereka, tidak mengejutkan jika The Last of Us adalah antara yang diminta-minta oleh studio produksi.
Apabila mendengar yang HBO mendapat hak untuk menghasilkan siri TV berdasarkan permainan ini, secara jujur-nya saya menarik nafas lega dan mempunyai sedikit harapan yang ia mungkin satu adaptasi yang baik. Warner Bros dan HBO Asia telah memberikan saya peluang untuk tonton kesemua sembilan episod bagi musim pertama untuk siri ini, dan saya boleh katakan ia merupakan adaptasi yang baik, memuaskan dan mencapai apa yang saya harapkan akan tetapi sebagai yang menganggap permainan ini dengan aras yang tinggi, siri TV ini tidak mencapai aras tersebut.

Dengan kebanyakan episod masih lagi di dalam proses produksi terdapat banyak bahagian yang masih tidak disiapkan, ulasan ini saya akan memfokuskan kepada penceritaan sahaja yang bagi saya sudah diperlihatkan dengan jelas. Manakala bagi ulasan mengenai kualiti persekitaran dan CGI-CGI lain, ia adalah berdasarkan daripada episod-episod awal sahaja dan saya boleh mengatakan yang ia dilakukan dengan baik.
Berbalik kepada penceritaan, semasa siri TV The Last of Us diumumkan, saya mempunyai beberapa persoalan ataupun lebih kepada harapan yang saya akan jadikan sebagai perkara utama yang akan difokuskan di dalam ulasan ini. Soalan pertama adalah adakah ia akan mengikut permainan serta adakah ada banyak perubahan yang dilakukan?
Saya boleh katakan untuk kebanyakan bahagian di dalam siri TV ini, ia benar-benar mengikut permainan, terutama dari struktur penceritaan. Bagi yang tidak pernah bermain permainan ini, The Last of Us berlaku apabila pandemik yang membuatkan manusia menjadi zombi telah meruntuhkan tamadun kemanusiaan. Manusia pada waktu ini hidup sama ada di dalam kem ketenteraan, ataupun secara ‘liar’ di luar. Kerajaan seperti yang kita kenal sekarang sudah tidak wujud.

Penceritaan memfokuskan kepada Joel Miller lakonan Pedro Pascal dan juga Theresa Servopoulos lakonan Anna Torv telah diupah oleh sekumpulan anti-tentera iaitu Fireflies untuk membawa seorang kanak-kanak Ellie Williams lakonan Bella Ramsey ke satu sekumpulan Fireflies yang lain. Namun di dalam perjalanan ini terdapat pelbagai perkara yang berlaku, perubahan perancangan yang terpaksa dilakukan akan mengisi kesemua episod untuk musim pertama ini.
Susunan struktur penceritaan seperti yang saya katakan di atas adalah mengikut permainan, jika anda sudah bermain, anda akan tahu apa yang berlaku di dalam episod ini, dan apa yang akan berlaku di dalam episod seterusnya. Ini tidak bermakna tiada perubahan yang dilakukan, ada pelbagai perubahan sama ada besar dan juga kecil.
Antara perubahan besar dilakukan adalah cara jangkitan, seperti yang dikatakan di dalam beberapa temubual, mekanik permainan iaitu memakai topeng gas semasa memasuki kawasan yang berdekatan dengan zombi tidak lagi digunakan. Ini dengan kata lain ia tidak lagi menggunakan cara spora sebaliknya secara sulur. Ia mungkin satu perubahan yang penting daripada permainan, akan tetapi bagi saya ia adalah perubahan yang masuk akal dan lebih “realistik”.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi perubahan yang bagi saya menjadikan siri TV ini lebih masuk akal, tambahan pada itu, ia tidak terikat dengan elemen permainan video yang memerlukan pemain sentiasa mempunyai sesuatu yang dilakukan sama ada melawan zombi ataupun melawan manusia. Jika di dalam permainan, tidak akan lebih daripada beberapa minit sebelum Joel dan Ellie perlu melalui sesuatu kawasan yang berbahaya.
Di dalam siri TV, ia lebih kepada Joel dan Ellie melalui sesuatu kawasan, akan tetapi mereka akan melakukan sedaya upaya yang boleh untuk mengelak daripada berjumpa dengan zombi ataupun manusia lain. Ia adalah perubahan yang menjadikan siri TV ini ‘kurang aksi’, dan lebih banyak adegan sekadar Joel dan Ellie berjalan. Bagi memastikan ia tidak menjadikan sesuatu episod membosankan, setiap episod diberi ruang untuk mengembangkan lagi penceritaan dengan memfokuskan kepada watak-watak lain dan juga memperlihatkan apa yang berlaku di luar “Joel dan Ellie”.
Watak-watak yang sebelum ini mungkin hadir sekejap di dalam permainan video, telah diberikan penambahan penceritaan dan juga dikembangkan lagi bahkan menerima satu episod khusus untuk mereka. Ada juga watak yang sedikit diubah dari segi backstory dan saya boleh katakan perubahan adalah kearah yang lebih baik.

Di dalam permainan The Last of Us, selain zombi itu sendiri, kekejaman di antara manusia juga menjadi elemen penting, dan siri TV ini juga mengikuti perkara yang sama dan menyampaikan perkara-perkara tersebut dengan baik. Namun, di dalam kegelisahan hidup di zaman pasca-apocalyptic ini, ia masih menerapkan unsur-unsur kemanusiaan yang membantu untuk memberi lapisan tambahan dan juga jiwa kepada penceritaan.
Namun, di dalam perkembangan watak-watak lain ini, dengan beberapa episod dikhaskan untuk mereka ada masa saya merasakan watak Joel dan juga Ellie tidak berjaya dikembangkan dengan baik, yang juga menjawab persoalan saya seterusnya adakah watak Joel dan Ellie di bawa dengan baik?
Sebagai dua watak utama yang saya meluangkan masa berpuluh-puluh jam bermain, dan bertahun-tahun mengenai mengenai kedua-dua watak ini, Joel dan Ellie adalah dua watak yang bagi saya sukar untuk di bawa ke aksi nyata. Pedro Pascal dan Bella Ramsey membawa kedua-dua watak ini dengan sangat baik, setiap bahagian penting daripada permainan video, disampaikan dengan berkesan untuk memberi impak emosi yang sama semasa saya bermain.

Tambahan pada itu, Joel dan Ellie juga diberi ruangan tambahan untuk memperlihatkan sisi yang tidak diperlihatkan di dalam permainan video, sebaliknya hanya difikirkan oleh pemain. Walaupun begitu, saya merasakan tidak mempunyai ruang yang cukup untuk saya benar-benar menjiwai watak Joel dan Ellie seperti mana saya menjiwai watak daripada permainan video. Ia mungkin masalah kepada saya yang pernah bermain permainan ini, manakala bagi yang tidak pernah menonton, mungkin perwatakan ini sudah mencukupi.
Saya juga boleh katakan, jika anda seperti saya peminat untuk siri permainan The Last of Us, jangan mengharapkan ia adalah seperti Joel dan Ellie yang kita kenali, siri ini tidak melakukan perubahan yang besar akan tetapi Pedro Pascal dan Bella Ramsey membawa kedua-dua watak ini dengan gaya mereka tersendiri dan bagi saya itu sudah memadai walaupun mereka tidak akan menggantikan watak tersebut dengan versi permainan video masih lagi terbaik untuk saya.
Persoalan ketiga, saya serba sedikit sudah terjawab di atas iaitu bagaimana siri TV melakukan aksi-aksi melawan zombi ataupun manusia. Sebagai sebagai satu permainan aksi pengembaraan, The Last of Us adalah satu permainan yang ganas, pemain sebagai Joel perlu menggunakan segala senjata yang ada untuk melawannya tetapi di dalam filem ini, ia tidak dilakukan sebegitu, sedikit mengecewakan akan tetapi dengan apa yang mereka cuba bawa di dalam siri TV ini, ia adalah pilihan yang tepat.

Setiap perjumpaan dengan zombi ataupun manusia yang jahat, menjadi elemen hidup dan mati, di dalam siri TV tiada “continue” oleh itu, setiap perlawanan ini menjadi lebih berat dan sesuatu yang tidak akan masuk akal jika berlaku dengan terlalu kerap. Oleh itu, semasa ia berlaku, adegan tersebut adalah sangat mendebarkan dan jelas diperlihatkan, jika ada sedikit kesilapan berlaku ia akan menjadi pengakhiran untuk mereka. Ia juga dibantu dengan penggunaan bunyi yang berkesan dan atmosfera yang tepat untuk memberikan perasaan cemas tersebut. Namun, ia mungkin menjadikan siri ini sedikit membosankan, dengan kurangnya perkara yang berlaku untuk setiap episod.
Akhir kata, musim pertama siri TV The Last of Us adalah satu adaptasi yang baik untuk satu permainan video yang sangat berpengaruh di dalam industrinya. Ia membawa penceritaan yang menghormati penceritaan asal daripada permainan video, akan tetapi memberikan ruang yang mencukupi untuk menambah penceritaan bagi menjadikan ia lebih mendalam bagi yang sudah mengetahui mengenai penceritaan ini dan juga yang tidak.
Sebagai penonton yang tidak pernah mengetahui mengenai penceritaan The Last of Us, saya merasakan ia adalah satu siri yang menarik untuk diikuti dengan setiap episod mempunyai penawaran yang berbeza dengan nilai kemanusiaan diterap dengan baik sekali. Namun, adakah ia adaptasi permainan video terbaik? Saya boleh katakan tidak.
Penafian: Tontonan awal untuk The Last of Us disediakan oleh Warner Bros/HBO Asia untuk tujuan ulasan ini. Ia akan disiarkan secara rasmi melalui HBO Go pada 16 Januari 2023.