Skip to main content

Tim Sweeney, CEO untuk Epic Games iaitu pembangun bagi permainan battle royale popular Fortnite telah mengeluarkan ciapan di Twitter “Tahun depan di iOS” dan disusuri dengan gambar sambutan tahun baharu di dalam Fortnite.

Ramai yang menjangkakan yang ia mungkin adalah pengumuman mengenai Fortnite akan kembali ke platform Apple selepas 3 tahun tidak ditawarkan. Fortnite pada tahun 2020 telah dibuang daripada App Store kerana menyertakan pembelian di dalam aplikasi secara terus tanpa melalui App Store.

Perkara tersebut telah mencetus pergaduhan di Mahkamah yang berlanjutan sehingga sekarang. Melalui keputusan pertama yang diperoleh, Mahkamah telah membenarkan untuk Apple mengharamkan permainan tersebut daripada App Store selagi kes ini berterusan.

Oleh itu agak mengejutkan jika Epic Games dibenarkan untuk membawa semula Fortnite ke dalam App Store, melainkan mereka membatalkan niat untuk melakukan rayuan terhadap keputusan Mahkamah tersebut. Namun, ada juga yang merasakan Fortnite akan kembali tetapi bukan secara terus melalui App Store.

Apple sebelum ini telah diarahkan oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk membenarkan pemasangan aplikasi tanpa melalui App Store ataupun sideloading. Oleh itu, ada kemungkinan yang Epic Games akan menawarkan Fortnite melalui fungsi ini berbanding melalui App Store. Fungsi sideloading ini dikatakan akan tiba melalui iOS 17 yang akan tiba bersama dengan iPhone baharu sekitar bulan September ataupun Oktober 2023.

Leave a Reply