Berbanding di Amerika Syarikat, Malaysia jarang mempunyai filem sarkastik atau filem yang bertemakan satira. Ini kerana filem seperti ini biasanya mengandungi elemen yang ngeri, bahasa yang amat kesat dan bukan apa yang LPF gemari. Tetapi dua minggu lepas, aku berpeluang tonton The Menu – sebuah filem satira mengenai pengkritik makanan dan cef hebat.
Filem ini diarahkan oleh Mark Mylod, iaitu pengarah siri TV Succession dan Amazing Stories. Ia ditulis oleh Seth Reiss (Late Night with Seth Meyers) dan Will Tracy (Succession). Antara pelakon yang terlibat dengan filem ini adalah Ralph Fiennes, Anya Taylor-Joy dan Nicholas Hoult.
Semasa aku menonton filem ini, aku banyak terdiam kerana terkejut dengan pelbagai adegan yang aku tidak sangka akan berlaku serta kerap tergelak kerana komedi yang mantap serta memberikan aku pengalaman menonton yang memuaskan. Pada aku, ia adalah antara filem yang sempurna pada tahun ini selepas Barbarian.
Filem ini memfokuskan kepada watak Margot (Anya Taylor-Joy) dan Taylor (Nicholas Hoult), pasangan pengkritik makanan yang berpeluang untuk mencuba masakan cef terkemuka Julian Slowik (Ralph Fiennes) di sebuah restoran eksklusif Hawthorn yang berada di pulau terpencil. Tema hidangan adalah gastronomi molekular di mana setiap makanan mempunyai maksud yang tersirat dengan seni kulinari yang dahsyat.
Tetapi dengan hos oleh Elsa (Hong Chau) yang mencurigakan, pelbagai perkara yang tidak diduga mula berlaku. Rahsia demi rahsia terdedah, pelbagai tragedi ganas dan ngeri berlaku, serta niat dan motivasi cef Jualian Slowik membuatkan ramai terpinga-pinga apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang sebenarnya beliau inginkan.
The Menu seperti yang aku katakan tadi adalah sebuah filem komedi, tetapi bukan komedi biasa – sebaliknya bertemakan satira yang mempersendakan pengkritik makanan dan memperlihatkan betapa berkuasa sebuah restoran jika diketuai oleh cef yang handal. Semasa aku tonton treler filem ini, aku dapatkan rasakan ia akan menjadi antara filem yang menarik – tetapi dalam treler tidak didedahkan perkara paling penting yang menjadikan filem ini seronok.
Ia adalah filem yang ringkas, penggunaan lokasi yang majoritinya berlaku di dalam restoran mewah sahaja. Filem ini secara perlahan mendedahkan setiap watak dalam filem ini dengan baik, dan memperlihatkan perkembangan watak masing-masing daripada selebriti, pengkritik makanan, penulis majalah, orang kaya kepada insan yang yang tidak berguna yang tiada siapa sangka tahu rahsia mereka dipegang oleh restoran tadi.
Filem ini bukannya filem untuk semua orang. Banyak juga terma makanan yang digunakan dalam filem ini aku tidak faham, tetapi ia disampaikan dengan sangat baik membuatkan aku boleh layan filem ini dengan penuh kepuasan. Setiap elemen komedi yang disertakan ditemani dengan runut bunyi yang amat sesuai dan sedap didengar – seperti nampak sedap setiap makanan yang dihidangkan. Komedi yang disajikan juga amat lucu membuatkan aku ketawa terbahak-bahak.
Perkara kejam dan ngeri yang dipersembahkan dalam filem ini berada di luar jangkaan aku. Cef Julian adalah seorang pakar manipulasi yang hebat dan segala tindakan beliau tidak klise dan membuatkan aku tertanya-tanya siapakah yang jahat sebenarnya dalam filem ini.
Menjadikan The Menu sebagai filem terbaik pernah aku tonton adalah prestasi lakonan yang mantap. Walaupun ada ramai pelakon seperti, Nicholas Hoult sevagai Taylor yang acah-acah hebat pakar dalam makanan, Hong Chau sebagai Elsa yang sentiasa menggerunkan sebagai hos, Janet McTeer sebagai Lillian iaitu penulis majalah berlagak bersama Paul Adelstein pembantu beliau yang sentiasa bersetuju dengannya, Reed Birney dan Judith Light sebagai Richard dan Anne pasangan kaya yang menggemari hidangan mewah, trio Arturo Castro, Rob Yang, Mark St. Cyr geng orang kaya yang lucu dengan pendirian sendiri serta John Leguizamo sebagai pelakon dan Aimee Carrero sebagai Felicity pembantu John sebagai selebriti yang sukakan makanan mewah.
Tetapi yang merampas skrin adalah Ralph Fiennes sebagai cef Julian dan Anya Taylor-Joy sebagai Margot. Julian sentiasa tidak berpuas hati dengan kehadiran Margot, kerana malam yang dirancang tidak melibatkan Margot yang kononnya telah merosakkan segala perancangan misteri beliau. Tetapi Margot yang cilik ini juga tidak asing hebatnya cuba menyelamatkan diri dari Julian yang sinis. Kedua-duanya adalah pakar manipulasi yang setanding.
Sesetengah orang mungkin akan rasakan penyampaian cerita dalam filem ini perlahan. Tetapi untuk aku, ia perlahan yang bermakna dan bukannya membosankan. Ia mengambil masa untuk membina suasana restoran mewah yang mencurigakan, pengenalan watak yang ramai serta secara perlahan membina suspens terhadap misteri yang bakal berlaku. Konsep filem ini adalah sangat menarik dan bijak. Aku tidak pernah tonton filem sebegini, kalau ada pun aku sudah lupa bila dan filem apakah.
The Menu bukan untuk semua orang, tetapi jika anda cuba tonton dan melihat arahan yang pengarah cuba bawakan serta cerita yang penulis skrip cuba sampaikan – ia sebenarnya genius. Sebuah filem komedi yang ringkas dengan elemen ganas dan ngeri yang mengejutkan.
Filem ini akan ditayangkan di Malaysia pada 17 November 2022, ulasan adalah berdasarkan tayangan eksklusif yang Disney berikan kepada Aksiz dua minggu lalu.