AMD telah mengumumkan dua kad grafik baharu oleh mereka iaitu AMD Radeon RX 7900 XTX dan Radeon RX 7900 XT yang menggunakan cip pemprosesan AMD RDNA 3. Ia juga merupakan dua kad grafik pertama mereka yang menggunakan rekaan chiplet.
Dari segi spesifikasi, kad grafik AMD Radeon RX 7900 XTX tampil dengan 96 unit pengiraan dan menggunakan 24GB memori GDDR6, manakala AMD Radeon RX 7900 XT hadir dengan 84 unit pengiraan dan 20GB memori GDDR6.
Kad-kad grafik ini juga menggunakan dua palam kuasa 8-pin PCIe untuk menguasakannya, dan memakan kuasa sebanyak 355W untuk kad grafik RX 7900 XTX dan 300W untuk kad grafik RX 7900 XT.
Dari segi prestasi, AMD mengatakan bahawa kad-kad grafik ini, khususnya RX 7900 XTX boleh menggerakkan permainan pada resolusi dan kadar segar semula yang tinggi. Untuk Apex Legends misalnya, ia boleh digerakkan pada resolusi 1440p dengan kadar segar semula 300FPS, 4K 300FPS untuk Overwatch 2, dan Assassin’s Creed Valhalla pada resolusi 8K dan kadar segar semula 96FPS.
Untuk prestasi Ray-tracing pula, Cyberpunk 2077 dilihat boleh digerakkan pada resolusi 4K dan kadar segar semula 62FPS. Dalam pada itu, AMD juga mengesahkan bahawa The Callisto Protocol akan hadir dengan sokongan untuk Ray-tracing melalui kad grafik AMD Radeon RX 7900XTX dan XT apabila ia dilancarkan kelak.
Kad grafik AMD Radeon RX 7900XTX dan AMD Radeon RX 7900XT ini akan mula dijual pada 13 Disember ini pada harga $999 untuk AMD Radeon RX 7900 XTX dan $899 untuk kad grafik AMD Radeon RX 7900 XT.