Kami sebelum ini telah menguji kad SSD Samsung 980 PRO di PlayStation 5 dan kini kami diberikan peluang oleh Samsung untuk mencuba pula Samsung 990 PRO yang menawarkan prestasi yang lebih pantas iaitu mengikut spesifikasi ia menyasarkan pembacaan data sehingga 7450 MB/s berbanding 7000 MB/s untuk 980 PRO. Selain itu, ia juga hadir dengan kapasiti 1TB sudah semestinya saiz yang diperlukan untuk memberi tambahan storan bagi PlayStation 5 yang hadir storan dalaman sebesar 825GB dan yang boleh digunakan adalah lebih kurang 670GB sahaja.

Oleh kerana cara pemasangan untuk SSD ini adalah sama sahaja dengan sebelum ini, kami sertakan semula cara pemasangan yang kami kongsikan untuk Samsung 980 PRO sebelum ini, dan boleh dikatakan ia adalah proses yang ringkas sahaja.

Cara Memasang M.2 SSD Di PS5

Sebelum kami teruskan dengan perbandingan prestasi, adalah lebih baik kami kongsikan cara untuk memasang SSD ini. Cara pemasangan adalah ringkas, di mana anda hanya perlu membuka cover bahagian belakang PS5 untuk terus mendapat akses kepada slot tambahan tersebut.

Slot tersebut mempunyai penutup yang memerlukan pemutar skru jenis #1 Phillips ataupun kepala pangkah untuk dibuka. Apabila ia dibuka, ia akan mempunyai satu lagi skru yang akan digunakan untuk mengetatkan SSD yang dipasang. Ia berada di 110 untuk SSD yang bersaiz 22110, ia perlu dibuka sebelum SSD di pasang dan boleh menggunakan pemutar skru yang sama.

Selepas penutup dan skru pengetat dibuka, SSD boleh dipasang dan diketatkan mengikut saiz yang bersesuaian. Selain 22110, PS5 juga menyokong SSD saiz 2230, 2242, 2260, dan 2280 dengan skru pengetat perlu diletakkan di mana-mana saiz yang bersesuaian dengan kad SSD yang anda gunakan.

Bagi Samsung 990 PRO ia menggunakan saiz 2280 oleh itu, skru pengetat akan digunakan di slot 80. Selepas ia dipasang, anda boleh menutup semula penutup dan juga memasang cover konsol. Jika ia dipasang dengan betul, apabila anda membuka PS5 buat pertama kali, skrin tetapan akan keluar yang akan meminta anda untuk format SSD tersebut, selepas format selesai ia terus boleh digunakan.

Di bahagian tetapan, anda boleh menentukan untuk menjadikan SSD tambahan sebagai storan lalai ataupun mengekalkan storan dalaman PS5.

Perlukan Heatsink?

Sony mengesyorkan untuk pengguna menggunakan SSD yang mempunyai heatsink, oleh itu anda boleh dapatkan SSD yang mempunyai heatsink terpasang ataupun membeli heatsink secara berasingan. Samsung 980 PRO di-tangan kami tidak mempunyai heatsink, tetapi di pasaran terdapat juga yang mempunyai heatsink terpasang yang anda boleh beli.

Jika anda mempunyai SSD yang tidak mempunyai heatsink, anda digalakkan untuk mendapatkan heatsink, akan tetapi ia masih boleh digunakan tanpa heatsink seperti yang kami lakukan untuk percubaan ini.

Adakah ia selamat?

Berdasarkan percubaan yang dilakukan oleh laman Tom’s Hardware, mereka mengatakan yang heatsink akan membantu untuk mengurangkan kepanasan bagi SSD, akan tetapi ia masih boleh digunakan tanpa heatsink dengan baik, di mana mereka mencadangkan untuk anda tidak memasang penutup bagi slot SSD.

Sejak kami gunakan SSD ini bermula pada bulan April yang lepas, kami tidak pernah mendapat sebarang masalah walaupun tidak menggunakan heatsink. Namun, seperti dicadangkan oleh Sony, kami juga mengesyorkan anda untuk mendapatkan heatsink yang bersesuaian.

Prestasi Samsung 990 PRO

Seperti kami nyatakan di atas, Samsung 990 PRO mengikut spesifikasi berkemampuan untuk mencapai kadar pembacaan data sehingga 7450 MB/s, dan kadar penulisan data sehingga 6900 MB/s, berdasarkan nombor yang dinyatakan oleh PlayStation 5 setiap kali pemasangan SSD baharu, ia mencatat kadar pembacaan data 6558 MB/s berbanding 5821.29 MB/s untuk Samsung 980 PRO sebelum ini.

Dengan mengikut spesifikasi untuk PlayStation 5, kadar pembacaan data bagi storan dalaman adalah 5,500 MB/s oleh itu, Samsung 990 PRO di atas kertas memberikan prestasi yang lebih baik berbanding storan dalaman. Pada percubaan kami, ia Samsung 990 PRO sekurang-kurangnya memberikan prestasi yang sama dengan storan dalaman dan beberapa bahagian adalah lebih baik.

Bagi tujuan untuk menguji prestasi di antara storan dalaman dan juga Samsung 990 PRO, kami menggunakan dua permainan iaitu God of War Ragnarok iaitu permainan yang baru dilancarkan dan juga Cyberpunk 2077 yang akhirnya boleh dimainkan dengan baik. Kami menguji pemindahan permainan dari storan dalaman ke SSD dan juga dari SSD ke storan dalaman.

Bagi khusus untuk permainan pula, bagi God of War Ragnarok kami menguji membuka permainan dari ruang depan ke menu utama, membuka fail simpanan dan juga mengulangi semula checkpoint. Manakala bagi Cyberpunk 2077, kami menguji membuka permainan dari ruang depan ke menu utama, membuka fail simpanan dan juga melakukan perjalanan pantas.

Pemindahan Permainan

Bagi pemindahan permainan dari storan dalaman ke SSD dan juga dari SSD ke storan dalaman berikut adalah masa yang dicatat;

  • God of War Ragnarok (84.12 GB)
    • Storan Dalaman ke Samsung 990 PRO – 1 Minit 13 Saat
    • Samsung 990 PRO ke Storan Dalaman – 6 Minit 7 Saat
  • Cyberpunk 2077 (57.25GB)
    • Storan Dalaman ke Samsung 990 PRO – 52.12 Saat
    • Samsung 990 PRO ke Storan Dalaman – 4 Minit 11 Saat

Keputusan ini adalah seperti yang dijangkakan dengan pemindahan dari storan dalaman ke Samsung 990 PRO adalah lebih pantas berbanding pemindahan balik ke storan dalaman. Oleh itu, bagi tujuan untuk menyimpan permainan adalah lebih menjadikan storan dalaman sebagai tempat lalai, kerana ia akan mengambil masa yang singkat sahaja jika anda ingin memindahkan permainan tersebut ke storan tambahan.

God of War Ragnarok

Bagi prestasi di dalam permainan pula, kami menguji tempoh masa yang diperlukan untuk membuka permainan dari ruang depan ke menu utama. Berikut adalah keputusan mengikut percubaan kami, ini turut mengambil kira menu logo yang disertakan;

  • Storan Dalaman – 24.80 saat
  • Samsung 990 PRO – 24.01 saat

Meneruskan permainan dari menu utama ataupun membuka fail simpanan adalah seperti berikut;

  • Storan Dalaman – 14.49 saat
  • Samsung 990 PRO – 13.89 saat

Kami juga menguji fungsi perjalanan pantas di dalam God of War Ragnarok akan tetapi oleh kerana ia mempunyai satu bahagian wajib sebelum perjalanan pantas selesai, ia menjadikan sedikit sukar untuk mengujinya. Oleh itu, kami gantikan dengan memulakan semula permainan dari checkpoint yang terakhir. Keputusan adalah seperti berikut;

  • Storan Dalaman – 7.27 saat
  • Samsung 990 PRO – 6.75 saat

Cyberpunk 2077

Untuk Cyberpunk 2077 pula, ia membawa prestasi yang sama dengan Samsung 990 PRO menawarkan prestasi yang sedikit lebih baik berbanding storan dalaman. Bagi tempoh masa yang diperlukan untuk membuka permainan dari ruang depan ke menu utama, berikut adalah keputusan yang kami peroleh;

  • Storan Dalaman – 33.77 saat
  • Samsung 990 PRO – 32.57 saat

Meneruskan permainan dari menu utama ataupun membuka fail simpanan adalah seperti berikut;

  • Storan Dalaman – 9.44 saat
  • Samsung 990 PRO – 9.39 saat

Manakala bagi melakukan perjalanan pantas, kami melakukannya di dua tempat yang sama untuk memastikan keadaan persekitaran tidak menjejas keputusan. Berikut adalah keputusan percubaan kami;

  • Storan Dalaman – 16.28 saat
  • Samsung 990 PRO – 16.28 saat

Rumusan

Seperti yang diperlihatkan melalui ujian kami, boleh dikatakan yang Samsung 990 PRO memberikan prestasi yang lebih baik berbanding storan dalaman, tetapi ia tidak memperlihatkan perbezaan yang ketara walaupun mengikut kadar pembacaan data adalah lebih tinggi berbanding storan dalaman. Ini sudah semestinya bergantung kepada permainan itu sendiri, jika permainan dapat menawarkan pemuatan yang lebih pantas, SSD yang lebih pantas akan memberikan prestasi yang lebih baik.

Namun boleh dikatakan yang, jika anda mencari storan tambahan untuk PlayStation 5, Samsung 990 PRO adalah pilihan yang baik dengan menawarkan prestasi yang sama dengan storan dalaman dengan mempunyai kemungkinan untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.

Samsung 990 PRO 1TB ditawarkan dengan harga sekitar RM770.

Sohor Kini