Selepas Halloween (2018) dan Halloween Kills (2021), francais Halloween dikatakan akhirnya akan ditamatkan dengan filem Halloween Ends sebagai yang terakhir. Filem ini dari awal lagi sudah disahkan akan menamatkan riwayat pembunuh bersiri mistik yang tak mati-mati ini iaitu Michael Myers. Filem ini sudah pun ditayangkan dan ia membawakan penceritaan yang aku sendiri tidak sangka.
Walaupun aku tidak sangka, permulaan filem ini sudah memberi petanda mengenai bagaimana penyampaian filem ini. Cuma adakah ini filem Halloween terbaik dan penamat yang dinantikan ramai?
Halloween Ends seperti yang aku katakan tadi, mempunyai penceritaan yang aku tidak sangka. Pertama sekali filem ini berlaku empat tahun selepas Halloween Kills di mana anak Laurie mati dibunuh oleh Michael Myers. Ia memperlihatkan Laurie yang sudah bahagia, tenang dan cuba hidup dengan gembira bersama cucu beliau Allyson. Tetapi selepas bertahun Michael melarikan diri, berlaku satu lagi tragedi yang tidak diingini melibatkan Corey Cunningham ketika mengasuh seorang kanak-kanak yang amat nakal.
Filem ini tidak memfokuskan kepada Michael Myers, tetapi kepada watak Corey dan Allyson serta melibatkan sedikit Laurie yang cuba membawa cerita Halloween ini agar sampai kepada semua penonton. Halloween Ends cuba membawakan penceritaan yang kononnya ingin memberi harapan yang filem ini tidak boleh tamat, tetapi filem ini benar-benar menjadi penutup kepada francais Halloween.
Sudah semestinya tidak! Halloween Ends bukanlah filem Halloween terbaik, tetapi lebih menarik berbanding Halloween Kills. Filem sebelum ini lebih kepada pembunuhan tanpa henti, kali ini ia mempunyai drama dan cerita yang lebih mendalam. Filem ini tidak mempunyai banyak pembunuhan berbanding sebelum, adakah ia menarik? Pada aku tidak, kerana filem ini terkenal sebagai filem slasher dan jika ia fokus kepada drama sahaja ia mungkin sukar untuk menarik perhatian orang ramai lebih-lebih lagi peminat Halloween.
Filem ini agak lama untuk hadam, dan mempunyai penyampaian yang agak perlahan. Apa yang membuatkan aku tertarik dengan filem ini adalah mereka cuba sampaikan seakan filem Halloween pertama. Filem ini seolah ingin memberitahu yang Michael Myers ada pengganti kerana tragedi silam yang sama berlaku kepada watak baharu. Walaupun banyak bercakap sehingga aku rasa mengantuk dan hampir lena tertidur, filem ini mempunyai konsep yang baik.
Apa yang aku tidak puas hati dalam filem ini adalah ia terlampau lama fokus kepada watak baharu berbanding menceritakan kisah yang sepatutnya iaitu Laurie dan Michael. Ini sudah pun filem terakhir, kenapa ingin fokus kepada pengenalan watak baharu yang mana sangat jelas ia adalah klise dan boleh dijangka apa yang akan berlaku? Pada aku penulis filem mungkin sudah kekurangan idea untuk mencari sudut penceritaan Laurie dan Michael, dan sebab itu watak baharu diberi fokus.
Penulis sudah pun mempunyai idea yang baik, tetapi apabila ia menjadi meleret dan tidak nampak seperti filem Halloween yang kita kenal ia akan menjadi lebih bosan. Kalau aku dan beberapa pengkritik lain yang minat akan filem ini berasa kecewa, apatah lagi orang awam yang hanya ingin tonton sebagai satu filem ngeri?
Apa yang membuatkan aku tidak puas hati lagi dengan filem ini adalah, semua – aku ulang SEMUA adegan pembunuhan yang kejam, ngeri dan menakutkan telah dipotong dan aku tidak nampak apa yang pembunuh sedang lakukan. Jika ingin potong semua, kenapa filem ini dibenarkan untuk ditayangkan di Malaysia? Tidak boleh nampak apa-apa kecuali selepas satu pembunuhan dilakukan memberikan satu pengalaman menonton yang mengecewakan.
Jika filem Halloween Kills aku katakan sebagai satu filem pembunuhan bersiri yang klise, filem Halloween Ends tidak – dan mempunyai cubaan penyampaian cerita yang menarik. Cuma sekali lagi, ia terlampau perlahan dan pada aku tidak dapat lihat Laurie dan Michael mempunyai masa skrin yang banyak – ia bukan satu filem Halloween. Pada hemat aku, mereka boleh pendekkan bahagian pengenalan dan perkembangan watak baharu dan terus beri fokus kepada pertempuran sebenar iaitu dendam Laurie Strode. Atau jika ingin beri watak baharu fokus, pastikan ia seimbang dengan watak asal.
Aku sedikit kecewa dengan Halloween Ends kerana tidak mampu memberi satu kepuasan dalam menonton. Aku lebih kecewa kerana kemuncak filem yang banyak dipotong. Aku masih tidak faham kenapa ada filem mgeri LPF boleh luluskan dan ada filem mereka perlu potong. Perkara ini hanya membuatkan orang akan muat turun cetak rompak berbanding ke panggung kerana ingin saksikan versi penuh.
Halloween Ends sudah pun ditayangkan di Malaysia. Jika ini adalah kali pertama anda tonton filem ini, anda mungkin tidak akan faham akan emosi pada Laurie dan keluarga terhadap Michael. Manakala bagi peminat lama, filem ini mungkin akan membuatkan anda kecewa, kerana tidak dapat nikmati versi penuh yang lebih mengerikan.