Jamie Lee Curtis cukup terkenal sebagai Laurie Strode dalam francais filem Halloween. Filem terkini beliau adalah Halloween Ends yang akan ditayangkan pada minggu ini. Beliau turut terkenal dengan banyak filem komedi dan antara yang aku masih ingat adalah Freaky Friday yang ditayangkan pada tahun 2003, lakonan beliau bersama Lindsay Lohan mengenai mak dan anak bertukar badan.

Terkini, beliau telah menyatakan yang beliau berminat untuk kembali berlakon dalam sekuel Freaky Friday dan turut telah memberi idea kepada Disney. Menurut beliau, sekuel Freaky Friday ini boleh menceritakan kisah Tess Coleman kini sebagai nenek yang bertukar badan pula. Jamie Lee Curtis turut menyatakan minat untuk kembali berlakon bersama Lindsay Lohan.

Idea filem ini diberikan kepada rakan Disney beliau yang terlibat dengan filem Haunted Mansion, yang mana beliau akan berlakon sebagai Madame Leota. Buat masa ini, sekuel Freaky Friday hanyalah satu idea dan minat pelakon ini untuk kembali berlakon dalam filem komedi keluarga. Tiada sebarang pengesahan daripada Disney sama ada ia akan diteruskan ataupun tidak.

Saksikan Jamie Lee Curtis dalam Halloween Ends yang akan ditayangkan pada 13 Oktober akan datang.

Sohor Kini