Ben Kingsley mula muncul dalam dunia MCU melalui filem Iron Man 3 sebagai The Mandarin. Tetapi beliau sebenarnya adalah seorang pelakon dungu Trevor Slattery. Beliau kemudian muncul dalam video pendek All Hail the King kisah di dalam penjara dan baru-baru ini dalam filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.

Nampaknya Marvel masih inginkan Ben Kingsley terus aktif dalam MCU, kerana Variety melaporkan beliau akan kembali berlakon sebagai Trevor Slattery dalam siri TV Wonder Man. Siri TV ini akan di arahkan dan diterbit oleh Destin Daniel Cretton yang turut bertanggungjawab untuk filem Shang-Chi. Penulis siri komedi Brooklyn Nine-Nine, Andrew Guest akan menjadi ketua penulis siri TV MCU baharu ini.

Sumber menyatakan Ben Kingsley akan memainkan peranan penting dalam Wonder Man. Wonder Man akan memfokuskan kisah Simon Williams yang mewarisi syarikat pesaing kepada Stark Industries. Simon kemudian menerima kuasa adiwira daripada Baron Zemo dan berubah menjadi Wonder Man yang menentang Avengers.

Selepas menentang dengan Avengers, Wonder Man berpaling tadah dan menjadi adiwira yang baik yang turut membina nama sebagai pelakon dan pelagak ngeri Hollywood. Seperti yang pernah kami laporkan sebelum ini, siri TV ini akan menjadi satu satira komedi kepada Hollywood – penglibatan Trevor Slattery yang lucu pasti akan menggelikan hati.

Siapakah Wonder Man? Bilakah ia berlaku? Adiwira mana lagi akan terlibat? Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini