Harta intelek Winnie the Pooh sudah pun memasuki domain awam sejak awal tahun ini. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh menggunakan watak-watak dalam francais Winnie the Pooh untuk diadaptasi dengan karya sendiri tanpa membayar lesen (kecuali Tiger).
Untuk itu Jagged Edge Productions dan pengarah Rhys Frake-Waterfield telah mengadaptasi semula kisah Winnie the Pooh kepada filem seram ngeri pembunuhan bersiri.
Watak utama dalam filem ini adalah Christopher Robin, iaitu sahabat kepada Pooh, Piglet dan banyak lagi haiwan lain yang hidup. Untuk berkongsi kisah hidup beliau bersama yang tersayang, Christopher dilihat kembali ke 100-Acre Wood untuk mendedahkan yang ketika kecil beliau mempunyai kawan-kawan yang merupakan haiwan hidup.
Namun, lokasi rahsia ini sudah terbiar dan kelihatan sudah berlakunya satu kecelakaan. Pooh dan Piglet kini memburu Christopher dan rakan-rakan dengan kejam serta tanpa belas kasihan. Adakah kerana dendam kerana ditinggalkan atau kerana ada sumpahan?
Winnie The Pooh: Blood And Honey akan ditayangkan tidak lama lagi. Tetapi filem sebegini biasanya tidak akan masuk ke pawagam tempatan, sama-sama kita nantikan platform penstriman mana akan filem ini disiarkan.