Bagi mereka yang membesar dengan Winnie The Pooh, kebarangkaliannya ialah anda akan mengenali mengenai siri tersebut melalui siri animasi Disney. Tahukah anda bahawa Winnie The Pooh sebenarnya ditulis oleh A. A. Milne dan diterbitkan pada tahun 1926, beberapa dekad sebelum Disney mengolah siri tersebut menjadi siri animasi mereka sendiri.

Kini, ia dilaporkan bahawa karya asal Winnie The Pooh tersebut sudahpun memasuki domain awam pada hari ini, dimana orang ramai boleh mula mengolah karya tersebut dalam apa-apa jenis medium yang dimahukan, samada video, audio, komik, novel mereka sendiri dan sebagainya.

Secara teknikalnya, Disney masih lagi memegang hak cipta terhadap siri animasi mereka sendiri dan juga runut bunyi siri animasi tersebut, termasuklah rekaan Winnie The Pooh dalam alam nyata melalui filem Christopher Robin, tetapi selagi orang ramai tidak menggunakan kandungan hak cipta syarikat tersebut, Disney tidak boleh menyaman mana-mana pihak kerana melanggar hakcipta mereka.

Isu saman-menyaman syarikat kerana “kebebasan kreatif” masih boleh berlaku walaupun apabila bercakap mengenai kandungan domain awam, seperti apa yang berlaku diantara estet Sir Arthur Conan Doyle dan Netflix apabila pihak estet menyatakan bahawa Netflix telah menukar karakter watak Sherlock Holmes terlalu banyak dalam filem Enola Holmes.

Walaupun begitu, langkah tersebut telah diselesaikan secara aman dengan Netflix mengatakan bahawa sekiranya ia berterusan, ia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

Sumber: The Verge

Sohor Kini