Skip to main content

PRISM+ adalah jenama produk paparan yang baru sahaja cuba membina empayar di Malaysia. Mereka menawarkan televisyen, monitor atau juga monitor mudah alih dan mempunyai banyak variasi seperti dengan paparan LCD, LED, IPS atau juga OLED. Ada yang melengkung, ada yang rata, ada yang besar dan ada juga yang khusus untuk gaming.

Di Aksiz, kami berpeluang menguji monitor gaming baharu mereka PRISM+ PG270 Ultra. Ia adalah monitor dengan skrin rata yang menyokong sambungan HDMI 2.1, resolusi 4K, kadar segar semula tinggi 144Hz dan menggunakan rekaan ringkas, bezel nipis dengan sistem kaki yang bagus.

Selepas beberapa minggu menggunakan monitor ini, saya boleh katakan ia adalah antara yang terbaik untuk gaming dan untuk hiburan seperti penstriman video. Tetapi untuk siapakah monitor ini dan adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Jemput baca sehingga tamat untuk jawapannya.


Spesifikasi dan Rekaan

Monitor ini hadir dengan skrin bersaiz 27-inci daripada panel IPS LED dengan resolusi sehingga 4K. Ia turut menyokong kadar segar semula tinggi 144Hz untuk permainan video, mod Adaptive Sync turut disokong tetapi bukan NVIDIA GSYNC atau AMD FreeSync yang rasmi dan keterangan mencapai 320 cd/m².

PRISM+ PG270 Ultra ini turut hadir didakwa menggunakan piawaian warna HDR400. Dalam semakan kami, HDR tidak disokong pada Netflix atau YouTube. Tetapi hanya menyokong paparan HD penuh dan tiada speaker terbina. Sokongan HDR dilihat tidak konsisten pada Windows dan juga konsol permainan, kadangkala jadi dan kadangkala boleh memaparkan warna yang sangat pudar.

Monitor ini mempunyai sambungan 2X HDMI 2.1, 1X DisplayPort 1.4 dan 1x USB-C 3.1. Dengan dua input HDMI 2.1, ia boleh menyokong komputer gaming dengan spesifikasi tinggi atau sekali dengan konsol permainan generasi baharu seperti PlayStation 5 atau Xbox Series X untuk paparan 4K 120FPS.

Untuk sambungan USB-C, monitor ini tidak menyokong Thunderbolt 4 tetapi masih boleh menggunakan satu kabel untuk paparan dan pengecasan USB-PD pada kuasa 65W. Tiada port USB-A disediakan dengan sokongan KVM, sedikit mengecewakan di situ.

Perkara mengecewakan yang lain adalah tiada sokongan Dolby Vision dan HDR10+ seperti yang ditawarkan pada televisyen mereka. Tetapi cukup bersyukur ia menggunakan rekaan bezel nipis yang tidak mengganggu penggunaan. Ia juga adalah skrin rata dengan kemasan kusam untuk tiada gangguan silau. Kecerahan juga tidak begitu terang, tetapi sepanjang penggunaan dalam pejabat – untuk penggunaan saya ia cukup memuaskan dan selesa pada mata saya.

Berbeza dengan model lagi satu iaitu PG320 Ultra yang saiz lebih besar, PG270 Ultra ini menggunakan sambungan VESA dengan kaki yang boleh melaras orientasi monitor sama ada menegak atau melintang. Kaki juga menyokong perubahan tinggi/rendah, toleh kiri/kanak atau ubah sudut pandangan ke atas/bawah. Turut terdapat lubang pada kawasan kaki untuk mengemaskan kabel dan wayar.

Baca: Ulasan Prism+ PG320 Ultra – Monitor 4K Pantas Untuk Gamer

Prism+ PG270 Ultra menggunakan sistem tersendiri, ini bermakna ia tiada sistem operasi seperti web OS, Tizen atau Android TV. Ia hanya menggunakan sistem OSD biasa dengan kawalan melalui butang fizikal. Model yang kecil ini turut tidak mempunyai speaker terbina seperti yang ada pada PG320.

Pengalaman Penggunaan

Sebelum saya menggunakan Prism+ PG270 Ultra ini, monitor harian saya adalah PG400U Pro iaitu skrin rata bersaiz 40-inci. Perubahan ke saiz 27-inci adalah satu perubahan yang mengejutkan untuk saya, kerana semuanya terasa seakan mengecil dan memakan masa saya hampir seminggu untuk biasakan diri. Jika dulu selesa dengan empat tetingkap, monitor ini hanya selesa dengan dwi-tetingkap atau kadang-kadang tiga.

Baca: Ulasan PRISM+ PG400U Pro – Pengalaman Pro Tanpa Perlu Boros

Saiz yang lebih kecil ini juga membuatkan leher saya kurang sakit kerana tidak perlu kerap toleh ke kiri dan kanan. Ia berada dalam sudut pandangan saya yang selesa, dan saya juga tidak perlu kerap mendongak. Mod menegak nampak menarik untuk digunakan, tetapi saya jarang menggunakannya kerana rasa janggal dan tidak sesuai untuk diri saya. Jadi saya kerap menggunakan mod melintang.

Kemudian dengan kemampuan melaras ketinggian, bawah monitor boleh saya letak pelbagai barang seperti papan kekunci, komputer riba atau speaker. Disebabkan ia menyokong sambungan USB-C, saya kerap menggunakan satu kabel sahaja untuk mengecas komputer riba sambil memaparkan kandungan pada monitor. Jika menggunakan iPad juga tidak menjadi masalah, kerana iPad OS menyokong sambungan USB-C untuk dipaparkan ke monitor.

Kaki monitor adalah jenis tirpod yang lebar dan cukup stabil untuk diletak pada permukaan meja. Di kaki turut ada lubang yang mudah untuk saya susun kabel dan wayar agar meja kelihatan kemas. Agar sukar untuk saya sambungkan kabel/wayar ke belakang monitor kerana tidak nampak dan sehingga hari ini masih persoalkan kenapa pengeluar jarang menawarkan sambungan ke sisi yang lebih mudah.

Disebabkan ada banyak port sambungan, PRISM+ turut membolehkan pengguna menggunakan mod gambar-dalam-gambar iaitu paparan kecil untuk memaparkan kandungan dari peranti lain seperti konsol dengan komputer atau kotak TV dengan komputer.

Pada awal penggunaan, monitor ini dan juga PG320 Ultra mempunyai masalah untuk tidak dapat mengesan peranti yang telah disambungkan secara automatik serta tidak mampu memaparkan kandungan jika peranti tidak menyokong HDMI 2.1. Tetapan perlu diubah melalui menu OSD yang sukar untuk dikawal ke mod HDMI 2.0 barulah banyak peranti mudah dipaparkan. Sepatutnya mod HDMI 2.1 ini boleh memaparkan apa jua kandungan tidak kira jenis peranti asalkan ada port HDMI – tetapi pepijat dalam perisian monitor membuatkan masalah ini satu perkara yang menjengkelkan.

Tetapi jika konsol permainan seperti PlayStation 5 dan Xbox Series X yang memerlukan sambungan HDMI 2.1, monitor ini dengan pantas memaparkan kandungan. Jika peranti menyokong HDMI 2.0 sahaja, tetapi monitor dalam mod HDMI 2.1 kadangkala monitor tidak dapat ubah tetapan secara automatik. Menu OSD turut tidak boleh digunakan jika tiada peranti disambungkan.

Apabila saya bandingkan monitor ini dengan monitor yang ada di pejabat, menu OSD Prism+ PG270 Ultra adalah yang paling usang dengan monitor lain. Ia masih menggunakan kawalan satu butang ke satu butang, sudah untuk ke menu lain, susah untuk kawal dan tidak stabil. Monitor Asus dan Samsung lain yang kami ada siap ada sokongan alat kawalan jauh. Samsung turut hadir terus dengan Tizen terbina.

Pengguna kali pertama mungkin akan rasa aneh dan mudah untuk faham. Tetapi saya yang sudah banyak uji monitor Prism+ akan rasa berang dan tidak puas hati.

Paparan 90Hz dan HDR juga tidak konsisten. Apa yang saya pasti sambungan dengan kabel USB-C tidak menyokong kadar segar semula tinggi dengan HDR dan jika sambungan HDMI 2.0, Huawei MateBook 14s saya boleh mengesan 90Hz/HDR.

Kualiti paparan pada mata saya, ia bukanlah yang terbaik. Tetapi berbanding dengan PG400U, warna yang dihasilkan pada PG270 Ultra adalah lebih tajam, dalam, penuh butiran dan lebih terang. Mungkin kerana saiz kecil, densiti piksel lebih mampat membuatkan penggunaan lebih imersif dan menyeronokkan. Kesan kusam pada monitor turut memberikan anti-silau untuk penggunaan dalam pejabat tanpa gangguan.

Sepanjang penggunaan bersama komputer riba, ia adalah antara yang terbaik untuk penggunaan mudah pasang. Saya amat puas hati dengan warna yang dihasilkan dengan turut selesa menggunakan perisian suntingan seperti Photoshop dan Photoscape X. Penggunaan saya juga selesa untuk pelbagai multi-tugasan, walaupun janggal pada awalnya.

Untuk sokongan kadar segar semula tinggi, saya sedari sokongan 4K 120Hz berjalan dengan sangat lancar pada Xbox Series X. Beberapa tetapan dalam sistem konsol dan pada monitor perlu dilakukan terlebih dahulu untuk memastikan penggunaan mengasyikkan. Tetapan HDR apabila diaktifkan memaparkan warna yang sangat pudar, seakan kesan RAW. Tetapi jika dimatikan ia mula nampak lebih menyedapkan hati.

Kadar segar semula dilihat pantas dan lancar serta tidak menyebabkan sistem tergendala atau berlaku masalah yang tidak diingini. Monitor ini mesra dengan komputer, serta dengan konsol permainan generasi masa hadapan. Untuk fokus lagi pada permainan video, beberapa mod khas turut disediakan dalam menu OSD untuk keselesaan pengguna. Yang banyak saya gunakan adalah FPS dan mod Adaptive Sync.

Audio Dan Lain-Lain

Tidak banyak monitor yang ada speaker berkualiti terbina. Jika ada pun harga agak mahal, sementara jika mampu milik kualiti audio tidak menyenangkan. Agak aneh kenapa model besar disertakan speaker, dan model kecil ini hanya boleh ubah orientasi monitor sahaja. Audio pada PG270 Ultra ini adalah dengan sambungan ke port bicu audio 3.5mm sama ada terus ke set fon kepala atau dengan speaker. Pilihan lain adalah dengan sambungan Bluetooth terus ke komputer.

Untuk harga yang tidak mencapai RM3000, saya tidak mengharapkan ada sokongan hab USB seperti suis KVM agar komputer riba saya yang mempunyai port sambungan terhad boleh menggunakan tetikus dan papan kekunci luaran dengan lebih baik dan lebih banyak aksesori dapat digunakan. Sambungan USB-C pada saya sudah pun menjadi bonus, cuma harapnya akan datang USB-C boleh menyokong HDMI 2.1 untuk memudahkan lagi pengguna.

Kesimpulan

Prism+ PG270 Ultra dijual pada harga RM2,699. Ia adalah satu harga yang agak tinggi, tetapi jika anda pentingkan sambungan HDMI 2.1 dan memerlukan sokongan paparan 4 120FPS – ini mungkin monitor terbaik untuk anda. Warna paparan yang cantik, kadar segar semula yang pantas dan penggunaan keseluruhan yang memuaskan.

Selain untuk gaming, ia juga dibina untuk kesesuaian produktiviti. Empat peranti serentak boleh disambungkan pada monitor ini dengan pilihan tetapan paparan pada menu OSD. Monitor ini adalah satu jenama yang cuba menarik perhatian dan saya sendiri sudah tertarik dengannya. Mungkin ini akan menjadi monitor harian saya sehingga ada model baharu dikeluarkan.

Leave a Reply