Star Wars: Andor adalah siri TV prekuel kepada filem Rogue One. Seperti judulnya, siri TV ini akan memfokuskan kepada watak Cassian Andor iaitu orang penting dalam pasukan Rebels – cuma dalam siri TV ini ia menceritakan kisah lima tahun sebelum Rogue One. Kita semua sudah tahu apa yang berlaku kepada Andor dalam filem, tetapi bagi yang ingin tahu dengan lebih mendalam siapakah Cassian Andor sebenarnya siri TV ini akan menjelaskan kesemuanya.

Baca: Temuramah Bersama Adria Arjona, Watak Misteri Dalam Star Wars: Andor

Cassian Andor

Cassian Andor adalah seorang pencuri yang tidak berperikemanusiaan. Jadi bagaimana beliau boleh menjadi orang penting dalam Rebel? Apa yang membuatkan beliau berubah, semuanya akan diceritakan dalam siri TV ini. Perkara paling baharu dalam dunia Star Wars yang diceritakan dalam Andor adalah puak Kenari yang terdiri daripada sekumpulan kanak-kanak/remaja dan Cassian adalah salah seorang daripadanya. Ini mungkin satu permulaan untuk masa akan datang, di mana dunia Star Wars akan dikembangkan lagi.

Kisah Cassian Andor bermula dengan beliau yang cuba melarikan diri daripada seakan satu organisasi sekuriti yang menjaga planet Morlana One. Dengan melarikan diri inilah beliau terjebak dengan ahli-ahli awal pasukan Rebels. Hanya kerana melarikan diri ini membuatkan beliau menjadi adiwira, jadi persoalannya adakah beliau seorang yang ikhlas atau melakukan perkara berani hanya untuk kepentingan sendiri?

Bukan Siri Star Wars Yang Anda Kenal

Daripada tiga siri Star Wars yang sudah disiarkan iaitu The MandalorianThe Book of Boba Fett, dan Obi-Wan Kenobi, semuanya berlaku di Tatooine. Tetapi untuk Andor, sebutir pasir Tatooine pun tidak kelihatan yang membuatkan pengalaman menontonnya lebih segar dan rasa menarik. Ulasan aku ini adalah berdasarkan empat episod pertama yang telah Disney berikan akses awal dan sebenarnya tidak banyak yang boleh aku kongsi kerana empat episod daripada dua belas masih tidak cukup untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

Andor adalah sebuah siri TV sains fiksyen, perisikan, aksi dan pengembaraan yang lain daripada yang lain. Ia lebih kepada siri TV yang menceritakan setiap watak-watak penting yang akan terlibat dengan Rogue One lima tahun lagi. Dengan siri inilah kita boleh mengenali siapa Mon Mothma dan bagaimana beliau boleh menjadi ketua kepada Rebel Alliances. Apakah kaitan beliau dengan Luthen watak baharu lakonan Stellan Skarsgård dan turut akan memperlihatkan watak baharu seperti Bix Caleen lakonan Adria Arjona dan Syril Karn lakonan Kyle Soller.

Pada awal episod, aku sendiri tidak faham apa yang cuba disampaikan dan kenapa siri TV ini penting untuk peminat Star Wars sedangkan kita semua sudah tahu nasib semua orang dalam Rogue One ketika Battle of Yavin. Empat episod pertama ini pada aku hanyalah satu permulaan untuk cerita yang lebih mendalam dengan baki lagi lapan episod.

Ini adalah satu-satunya siri TV Star Wars yang sangat berbeza dengan penceritaan Star Wars lain. Ia lebih serius, tidak banyak hubungan dengan dunia Star Wars lain, tetapi masih menghormati konsep Rebel dan Emprie.

Perlu Ke Tonton?

Semasa aku tonton empat episod pertama, aku rasa sedikit bosan kerana ia sedikit meleret. Empat episod ini aku yakin sepatutnya boleh dimampatkan menjadi satu episod sahaja. Tetapi apabila aku termenung kembali memikirkan pengalaman menonton aku, Star Wars: Andor sebenarnya adalah satu siri TV yang menarik.

Ia mungkin tiada sebarang pertempuran Lightsaber yang anda kenal, watak-watak ikonik yang semua tahu dan lokasi yang sudah dibina awal dalam francais Star Wars. Tetapi, siri TV ini masih ada sedikit kaitan dengan beberapa petunjuk mengenai betapa besarnya dunia Star Wars ini. Pada aku, Andor ini wajib tonton jika anda ingin saksikan sesuatu yang baru dalam Star Wars yang tidak pernah Disney dan Lucasfilm lakukan sebelum ini.

Siri Star Wars Paling Berkualiti Setakat Ini

Andor tidak melakukan perkara sama yang dilakukan oleh siri TV Star Wars lain, iaitu penggunaan CGI StageCraft. Ia adalah teknologi daripada Industrial Light & Magic (ILM) yang digunakan pada The MandalorianThe Book of Boba Fett, dan Obi-Wan Kenobi

Andor menggunakan kaedah konvensional di mana kru produksi dan pelakon akan merantau ke luar negara ke lokasi yang unik untuk penggambaran. Salah satu lokasi yang mereka pergi adalah Pitlochry, Scotland – di mana mereka menghabiskan masa berjam-jam mendaki gunung untuk rakaman pemandangan yang nampak seakan planet asing hanya untuk adegan pendek.

Manakala jika di studio iaitu di Pinewood Studios, UK – mereka bina set lokasi praktikal sendiri seperti penggambaran filem besar dan bukan untuk jimat duit seperti siri TV lain. Ini secara tidak langsung menjadikan Andor adalah satu-satunya siri TV Star Wars yang mempunyai kualiti paling tinggi, nampak cantik, suntingan hebat, penggunaan kamera yang sedap mata memandang dan akan memberikan satu pengalaman menonton yang lain daripada yang lain.

Bagus Tak?

Masih awal untuk aku simpulkan sama ada adakah siri TV ini bagus ataupun tidak. Kerana masih banyak belum disampaikan dan belum didedahkan lagi. Ini adalah sebuah siri TV Star Wars yang serius dan mempunyai cerita yang sangat mendalam mengenai Rebel Alliances. Musuh utama pun masih tidak dapat baca lagi siapa, dan turut tidak boleh jelaskan kenapa Andor yang seorang pencuri boleh berubah menjadi adiwira.

Apa yang aku boleh katakan setakat ini adalah, prestasi lakonan watak-watak baharu dan Diego Luna sendiri sebagai Andor adalah mantap. Lakonan mereka yang memperlihatkan dengan jelas perwatakan masing-masing adalah sangat menarik dan membuatkan aku tidak sabar untuk saksikan apa yang berlaku lima tahun sebelum Rogue One dan bagaimana Rebel Alliance boleh berjaya.

Sohor Kini