Filem Pendatang oleh Kuman Pictures akan memulakan pengumpulan dana menerusi laman biayasama Indiegogo bermula 8 Ogos hadapan. Pihak Kuman Pictures telah mengemaskini maklumat mengenai filem ini menerusi laman media sosial mereka dan mendedahkan filem akan ditayangkan secara percuma menerusi YouTube pada 31 Ogos 2023.

Skrip Pendatang disimpan selama tiga tahun kerana subjek filem berkenaan isu perkauman dan fahaman melampau dipercayai sukar mendapatkan dana menerusi saluran sedia ada. Ia juga besar kemungkinan kemudiannya tidak boleh ditayangkan di panggung. Kuman Pictures juga berkata mereka memilih YouTube sebagai platform tayangan kerana ia boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tidak seperti platform penstriman lain.

Pendatang ialah filem thriler distopia yang membayangkan suasana Malaysia di mana setiap kaum dilarang bergaul dengan kaum lain, berikutan satu enakmen undang-undang yang digubal selepas rusuhan. Konflik wujud apabila sebuah keluarga Cina menemukan seorang gadis Melayu di kawasan Cina. Sekiranya ini diketahui pihak berkuasa keluarga ini boleh dipenjara 25 tahun.

Filem akan diarahkan oleh Ng Ken Kin yang pernah memenangi anugerah Filem Pendek Terbaik Festival Filem Malaysia 2011. Beliau pernah juga mengarah siri TV 5 Jingga, Geng Bas Sekolah dan Kapten Boleh.

[sumber] Sumber – Kuman Pictures [/sumber]

Sohor Kini