Di Malaysia kita sudah melihat pembikin filem Rompak menjual NFT untuk mengumpul dana penerbitan. Tetapi kini Kuman Pictures mengumpul dana menerusi Indiegogo bagi menerbitkan filem terkini mereka Pendatang. Kemudian selepas usai produksi, Pendatang akan ditawarkan secara percuma menerusi YouTube.

Cara pengumpulan dana yang dilakukan Kuman Pictures ini unik memandangkan subjek filem yang mungkin dilihat kontroversi yang menyebabkan ia sukar mendapatkan dana secara tradisional dan kemudiannya ditayangkan di pawagam. Kuman Pictures memerlukan dana RM300,000 untuk menerbitkan Pendatang dengan penyokong boleh menyumbang $10 hingga $10,000 dengan setiap tahap menawarkan ganjaran yang berbeza. Pengumpulan dana akan dibuka antara  8 Ogos hingga September 2022 kelak.

Pendatang ialah filem thriller distopia yang membayangkan suasana Malaysia di mana setiap kaum dilarang bergaul dengan kaum lain, berikutan satu enakmen undang-undang yang digubal selepas rusuhan. Konflik wujud apabila sebuah keluarga Cina menemukan seorang gadis Melayu di kawasan Cina. Sekiranya ini diketahui pihak berkuasa keluarga ini boleh dipenjara 25 tahun.

Filem akan diarahkan oleh Ng Ken Kin yang pernah memenangi anugerah Filem Pendek Terbaik Festival Filem Malaysia 2011. Beliau pernah juga mengarah siri TV 5 Jingga, Geng Bas Sekolah dan Kapten Boleh.

Sumber – Kuman Pictures

Sohor Kini