Ejen Ali adalah siri animasi tempatan yang mengisahkan Ali menjadi ejen perisikan untuk sebuah organisasi di bawah kerajaan Cyberaya – M.A.T.A. Beliau menjadi ejen selepas secara tidak sengaja memperoleh gajet I.R.I.S yang membolehkan beliau melakukan pelbagai aksi hebat dan melindungi penduduk Cyberaya daripada pelbagai ancaman jenayah.
Selepas dua musim disiarkan, Wau Animation iaitu studio yang menghasilkan animasi ini hadir dengan filem pertama Ejen Ali The Movie pada tahun 2019. Ia berjaya mendapat sambutan yang cukup hangat. Kini selepas tiga tahun (dari filem) dan lima tahun (dari musim kedua), Wau Animation hadir dengan musim ketiga untuk animasi ini.
Apa yang menarik dengan musim baharu ini adalah, dunia Ejen Ali kini digabungkan dengan dunia permainan video mudah alih mereka seperti Ejen Ali: Agent’s Arena. Sambil itu juga mereka meneruskan apa yang berlaku pada musim kedua dan juga sedikit daripada filem. Siri animasi ini juga menjadi siaran eksklusif pada Disney+ Hotstar di Malaysia, Indonesia dan Thailand serta melalui Disney+ di Singapura.
Pihak Disney+ Hotstar telah menjemput aku ke Dadi Cinema minggu lepas untuk saksikan dua episod pertama bagi siri animasi ini dan dalam artikel ini, akan aku kongsi pengalaman menonton dan pendapat bagi Ejen Ali musim ketiga.
Setakat dalam dua episod ini, plot bagi siri animasi ini adalah mengenai Ali yang perlu bertanding bersama-sama dengan Ejen MATA lain termasuk dengan Ejen MATA daripada luar di dalam MATA Arena. Pertandingan ini adalah untuk memilih satu ejen terbaik untuk menjadi Ejen rasmi di dalam organisasi perisikan MATA di Cyberaya. Sambil itu, musim ketiga ini turut akan menceritakan perkembangan kepada watak Rizwan yang kaki terakhir dilihat pada musim kedua dan adegan tambahan dalam filem.
Ejen Ali musim ketiga ini mempunyai penceritaan yang sangat ringkas, tetapi menarik setakat dua episod pertama. Ia mempertontonkan Ali yang semakin bersemangat berlatih untuk menjadi ejen terbaik dalam MATA selepas tahu akan asal-usul ibu beliau yang juga merupakan Ejen. Sedikit sebanyak kisah Dr. Ghazali turut didedahkan iaitu bapa kepada Ali yang bekerja sebagai jurutera komputer Cyberaya yang kini melaporkan tugas kepada majikan baharu Dato’ Hisham.
Ali yang kini tiba di lokasi rahsia MATA, iaitu Arena untuk bertanding dengan ejen-ejen lain seperti Jet, Chris, Rudy, Khai, Bulat, Alicia, Roza, Mika, Iman, Moon dan Zass. Mereka semua kemudian dikejutkan dengan kehadiran ejen-ejen luar MATA iaitu Rizka, Sam, Aleks dan Kim yang dilihat mempunyai skil hebat sebagai Ejen. Ada yang hebat dengan silat, ada yang boleh berlari pantas dengan gajet tersendiri dan pelbagai lagi.
Ejen Leon yang mengendalikan Arena ini turut cuba menaikkan semangat setiap Ejen, di mana jika mereka berjaya pada setiap aras pertandingan masing-masing boleh menaiktaraf gajet yang dicipta oleh Ejen Gheeta. Seperti biasa, Ejen Bakar kekal menjadi pelawak sepanjang dua episod.
Jujur aku katakan, aku tidak habis tonton Ejen Ali musim pertama dan musim kedua. Aku tergolong dalam geng yang hanya tonton filem dan baru minat itu hadir dalam diri untuk terus tonton semua siri animasi Ejen Ali. Bagi yang tidak menonton musim-musim awal, kisah Rizwan pasti akan membingungkan semua. Tetapi kisah Ali dan rakan-rakan di MATA Arena, pada aku sesiapa sahaja boleh tonton dan menikmatinya dengan rasa gembira dan puas hati.
Aku juga tidak main mana-mana permainan mudah alih Ejen Ali, tetapi selepas tonton aku dapat rasakan kaitan antara permainan dan dunia animasi Ejen Ali. Banyak konsep permainan diintegrasikan terus, seperti yang menang pertandingan akan dapat menjadi Ejen terpilih, yang layak sahaja dapat menaiktaraf gajet atau senjata serta perlu pergi lokasi ke lokasi untuk mengumpulkan mata sambil menewaskan musuh atau pesaing.
Aku juga cukup teruja dengan kualiti animasi yang semakin baik berbanding musim lepas. Pergerakan kamera, pergerakan setiap watak dan rekaan dunia Ejen Ali ini jelas semakin baik dan mempunyai mutu yang tinggi. Namun aku tidak begitu gemar apabila ia tidak konsisten, tetapi masih boleh terima kerana faham adegan mana yang patut diberi fokus dan adegan mana tidak. Contohnya, jika adegan itu menggunakan fokus jarak dekat pada Ali – tekstur rambut kelihatan jelas, pergerakan amat realistik dan secara keseluruhan nampak mantap. Tetapi jarak jauh ia kelihatan seperti rekaan Ali dalam musim lepas. Ia tidak begitu jelas, tetapi boleh nampak.
Ini adalah satu isu yang kecil sahaja, kerana aku masih rasa seronok. Runut bunyi dalam musim ini juga cukup mantap dan hebat dengan rekaan kesan bunyi yang sedap seperti pada senjata dan aksi, muzim latar unik dan tersendiri serta bunyi tekno/elektronik Ejen Ali yang menarik.
Tidak banyak aku boleh kongsi kerana baru sahaja tonton dua episod. Tetapi dua episod ini juga sudah menambahkan keyakinan aku dan semangat untuk sambung tonton musim lepas dan menantikan episod tiga sehingga tiga belas nanti.
Aku gemarkan semangat Ali yang tidak lagi mempunyai IRIS, tetapi masih boleh beraksi dengan baik. Beliau mempunyai pendirian yang hebat untuk tidak mengalah dan sentiasa memperingati ibu beliau yang sudah pergi. Rakan-rakan Ali yang sentiasa membantu dan memberi semangat juga dapat dilihat, yang mana walaupun mereka pernah cemburu dengan Ali kerana IRIS, mereka masih berkawan walaupun dalam Arena ini mereka perlu berlawan.
Aku turut sukakan kehadiran watak baru yang mempunyai inspirasi daripada luar. Contohnya Rizka dengan slanga Indonesia, senjata seakan lightsaber bentuk kerambit dan ada skil silat. Kemudian Sam dengan slanga seakan orang barat dengan perwatakan berlagak, Aleks yang mempunyai perisai boleh laju lari dan menjadi adi-kuat dengan inspirasi seakan orang Rusia serta Kim dengan senjata keytar boleh menembak tenaga dengan rekaan seakan orang Korea.
Setiap watak baru ini mempunyai keunikan masing-masing yang menjadikan pertandingan dalam Arena ini semakin hangat dan mencabar. Ejen-ejen tempatan Mata dapat rasakan kehebatan mereka ini dan jelas sekali mereka semua takut. Tetapi semua ini masih tidak menghalang Ali untuk mempunyai semangat yang berkobar-kobar.
Wau Animation berjaya membuatkan aku kekal rasa teruja dengan karya mereka. Aku tidak sabar untuk saksikan Ejen Ali musim ketiga sehingga tamat dan lihat adakah SATRIA akan digunakan dalam siri animasi ini ataupun tidak seperti yang didedahkan dalam filem sebelum ini. Sudah semestinya aku juga ingin lihat ejen-ejen lain seperti Rizwan, musuh lain, Dato’ Hisham dam ejen-ejen baharu ini memberi impak mendalam kepada musim ketiga animasi perisikan ini.
Keunikan Ejen Ali ini mengimbau kenangan aku tonton filem-filem perisikan semasa kanak-kanak dahulu seperti Spy Kids atau Agent Cody Banks. Aku turut suka yang banyak elemen daripada pelbagai animasi dan filem barat diimplementasikan dalam siri animasi ini dengan rekaan dan gaya tersendiri.
Bagi yang tidak pernah tonton Ejen Ali, aku harapkan semua akan cuba tonton dan memberikan sokongan ke atas siri animasi tempatan untuk terus berjaya. Aku turut berharap yang suatu hari nanti, francais Ejen Ali boleh berkembang lanjut ke pasaran luar seperti Mechamato.