Musim pertama Obi Wan Kenobi baru sahaja selesai hari ini. Enam episod yang kualitinya naik dan turun seperti nilai Bitcoin sejak empat minggu kebelakangan ini. Dalam ulasan dua episod pertama yang aku tulis sebulan yang lalu, aku menghadapi masalah dengan cerita yang klise, mengitar semula idea lama dan terlalu bertongkat kepada kekuatan nostalgia penonton.
Selepas enam episod aku masih berpegang kepada pendapat ulasan asal tetapi dengan beberapa penambahan kerana ada episod yang teruk dan ada juga episod yang mantap.
Permulaan episod pertama Obi-Wan Kenobi adalah cukup mantap kerana memberikan peringatan semula apa yang telah berlaku dalam The Phantom Manace, Attack of The Clones dan Revenge of The Sith. Peringatan yang perlu kerana prekuel Star Wars ditayangkan 17 tahun yang lalu. Ya 17 tahun sudah berlalu dan plot Obi-Wan Kenobi bersambung 10 tahun selepas Revenge of The Sith.
Berita baik bagi peminat kasual Star Wars, anda tidak diperlukan (tetapi digalakkan) menonton 133 episod Star Wars : The Clone Wars atau mana-mana siri animasi Star Wars yang dihasilkan sejak 17 tahun yang lalu. Aku tergolong dalam kategori tidak pernah menonton siri-siri animasi kerana tiada akses kepada Cartoon Network atau mempunyai masa terluang untuk melakukan maratonton sejurus selepas Disney+ Hotstar dilancarkan di Malaysia tahun lalu.
Selepas 10 tahun, kita melihat dunia yang kini dikuasai oleh The Galactic Empire dengan kesatria Jedi yang terselamat dari Order 66 kini menyorong di seluruh pelosok galaksi. Tugas memburu Jedi jatuh kepada Inquisitor yang juga mempunyai kuasa The Force cuma dari sisi Darkside. Siapa yang pernah menonton Clone Wars akan mengenali beberapa watak Inquisitor yang diperkenalkan dalam Obi-Wan atau permainan video Jedi Fallen Order sebelum ini.
Inquisitor tiba ke Tatooine tempat tinggal Obi-Wan dan juga Luke Skywalker disorokkan. Kita melihat kehidupan Obi-Wan sebagai mantan Jedi yang tidak lagi boleh menunjukkan kemampuan sebenar beliau di Tatooine yang dipenuhi scum dan villainy.
Permulaan siri ini menarik kerana Ewan McGreggor kembali sebagai Obi-Wan dan kemampuan beliau mengajuk Sir Alex Guinness semakin mantap walaupun 17 tahun sudah berlalu. Kita akhirnya tahun apa yang dilakukan oleh Ben Kenobi antara The Revenge of The Sith dan A New Hope. Tiada spoiler di sini tetapi ia berbeza sungguh dengan ramalan kami selama ini.
Jedi diburu dan rahsia Obi-Wan menyorok dengan jayanya seperti Jho Low dikesan Inquisitor selepas kegagalan beliau untuk membantu seorang Jedi yang turut diburu. Bagi memancing Obi-Wan keluar dari Tatooine, Princess Leia telah diculik dari Alderaan oleh segerombolan penjenayah
Masalah paling besar siri ini ialah namanya sendiri. “Obi-Wan Kenobi” nama siri diberi tetapi dua episod utama menumpukan perhatian kepada Princess Leaia. Dua episod tengah pula lebih menumpukan perhatian kepada Inquisitor Reva dengan pendedahan plot di episod pertengahan adalah agak menarik selepas empat episod pertama yang penceritaannya membosankan kerana mengitar semula plot asal A New Hope.
Hanya dua episod terakhir tumpuan sewajarnya diberikan kepada Obi-Wan Kenobi dan Anakin Skywalker. Sepatutnya siri diberikan nama lain seperti Star Wars Tales atau New Stories of Star Wars to Milk The Fandom. Nama kedua itu aku berikan sebagai jenaka tetapi keseluruhan Obi-Wan memang terasa seperti sekadar mesin merembeskan titisan terakhir nostalgia dari siri Star Wars kerana usaha Disney yang berjaya setakat ini hanyalah The Mandalorian dan Rogue One.
Tri-Kuelogi Star Wars, Solo dan Book of Boba Fett adalah tiga percubaan yang kurang berjaya sehingga boleh dikatakan merosakkan legasi siri yang cukup digemari ramai ini. Hanya peminat paling tegar dengan darah mempunyai molekul midichlorian sahaja boleh berkata ketiga-tiga usaha di atas adalah setanding dengan triogi asal George Lucas.
Dua episod pertengahan Obi-Wan terasa seperti episod filler anime bagi memanjangkan siri yang secara ikhlasnya hanya mempunyai cerita yang cukup untuk empat episod sahaja.
Tak ada masalah sekiranya episod-episod filler ini dipenuhi babak-babak yang menarik. Masalahnya ia dipenuhi dengan aksi-aksi yang tidak konsisten. Darth Vader ialah Sith Lord yang paling berkuasa. Dalam satu episod beliau bergerak perlahan dan boleh dihalang dengan api. Kemudian pada episod seterusnya dia tidak mempunyai masalah menghalang kapal angkasa dari berlepas.
Kemudian kita berhadapan pula dengan klise Star Wars Stormtroopers tak reti menembak. Segerombolan askar elit The Empire dengan baju perisau boleh dikalahkan sekumpulan Rebel yang terdiri daripada orang awam yang bukannya askar profesional. Tidak melampau untuk dikatakan Obi-Wan Kenobi ialah siri yang terasa seperti kartun pagi Sabtu dekad 80an dengan budget produksi CW!
Ini satu lagi perkara yang membingungkan mengenai Obi-Wan. Ia diterbitkan oleh Disney tetapi kesan khasnya tidak konsisten. Episod pertama cantik. Episod kedua ok. Episod ketiga murahan . Episod keempat macam Cicak Man dan dua episod terakhir MANTAAAPPPPP!!
Watak dalam siri tidak konsisten dengan penceritaan terdahulu dipadankan dengan CGI yang kualitinya seperti pemalar boleh ubah. Obi-Wan adalah siri yang konsisten tidak konsisten.
Selepas enam episod yang boleh aku katakan ialah siri ini hanya boleh dinikmati jika ditonton sekali harung. Dua episod teruk, dua episod ok dan dua episod mantap yang ditayangkan selang seminggu merugikan Disney. Perlu menunggu lima minggu untuk dua episod terakhir yang berbaloi. Berapa ramai penonton yang mempunyai kesabaran menonton empat episod 5/10 sebelum tiba ke dua episod 9/10? Rasanya tak ramai.
Jika tidak kerana perlu menulis ulasan ini aku rasa aku sudah ucapkan selamat tinggal selepas episod ketiga. Oleh sebab itu Obi-Wan Kenobi hanya boleh disarankan kepada peminat tegar sahaja dengan tahap kesabaran Master Yoda,