Ulasan Obi-Wan Kenobi – Ini Bukan Siri Yang Anda Cari

Aku mengambil masa beberapa hari untuk menulis ulasan untuk dua episod pertama siri Obi-Wan Kenobi di Disney+ Hotstar kerana selepas habis menonton perasaan ingin menumbuk skrin TV agak membuak-buak. Tambah membuak-buak apabila melihat ulasan dari laman lain yang memuji-muji siri ini seperti kedatangan semula Maverick ke Top Gun atau CM Punk ke sukan gusti tahun lalu.

Aku tak nampak apa yang dipuji sehingga membuatkan aku mula mempersoalkan sama ada perbezaan pendapat tentang “kesedapan” Obi-Wan Kenobi ini berlaku kerana aku sudah menjadi seorang tua yang jaded.

Obi-Wan Kenobi

Permulaan episod pertama Obi-Wan Kenobi adalah cukup mantap kerana memberikan peringatan semula apa yang telah berlaku dalam The Phantom Manace, Attack of The Clones dan Revenge of The Sith. Peringatan yang perlu kerana prekuel Star Wars ditayangkan 17 tahun yang lalu. Ya 17 tahun sudah berlalu dan plot Obi-Wan Kenobi bersambung 10 tahun selepas Revenge of The Sith.

Berita baik bagi peminat kasual Star Wars, anda tidak diperlukan (tetapi digalakkan) menonton 133 episod Star Wars : The Clone Wars atau mana-mana siri animasi Star Wars yang dihasilkan sejak 17 tahun yang lalu. Aku tergolong dalam kategori tidak pernah menonton siri-siri animasi kerana tiada akses kepada Cartoon Network atau mempunyai masa terluang untuk melakukan maratonton sejurus selepas Disney+ Hotstar dilancarkan di Malaysia tahun lalu.

10 Tahun Selepas Prekuel

Selepas 10 tahun, kita melihat dunia yang kini dikuasai oleh The Galactic Empire dengan kesatria Jedi yang terselamat dari Order 66 kini menyorong di seluruh pelosok galaksi. Tugas memburu Jedi jatuh kepada Inquisitor yang juga mempunyai kuasa The Force cuma dari sisi Darkside. Siapa yang pernah menonton Clone Wars akan mengenali beberapa watak Inquisitor yang diperkenalkan dalam Obi-Wan atau permainan video Jedi Fallen Order sebelum ini.

Inquisitor tiba ke Tatooine tempat tinggal Obi-Wan dan juga Luke Skywalker disorokkan. Kita melihat kehidupan Obi-Wan sebagai mantan Jedi yang tidak lagi boleh menunjukkan kemampuan sebenar beliau di Tatooine yang dipenuhi scum dan villainy.

Permulaan siri ini menarik kerana Ewan McGreggor kembali sebagai Obi-Wan dan kemampuan beliau mengajuk Sir Alex Guinness semakin mantap walaupun 17 tahun sudah berlalu. Kita akhirnya tahun apa yang dilakukan oleh Ben Kenobi antara The Revenge of The Sith dan A New Hope. Tiada spoiler di sini tetapi ia berbeza sungguh dengan ramalan kami selama ini.

Jedi diburu dan rahsia Obi-Wan menyorok dengan jayanya seperti Jho Low dikesan Inquisitor selepas kegagalan beliau untuk membantu seorang Jedi yang turut diburu. Bagi memancing Obi-Wan keluar dari Tatooine, Princess Leia telah diculik dari Alderaan oleh segerombolan penjenayah

Kitar Semula.

Di sinilah isu aku dengan Obi-Wan Kenobi bermua. Princess Leia diculik dan meminta bantuan Obi-Wan ialah plot asal A New Hope. Selepas 45 tahun kita kembali kepada plot lama yang dikitar semula cuma kali ini Obi Wan dan Leia adalah lebih muda.

Dinamik Lone Wolf and Cub karya Kazuo Koike dan Goseki Kojima yang menjadi formula kejayaan The Mandalorian dikitar semula juga. Tukar Din Djarin dengan Obi-Wan serta tukar pula Grogu dengan Princess Leia dan inilah kesimpulan yang aku dapat selepas menonton dua episod pertama Obi-Wan Kenobi.

Kitar semula satu formula mungkin boleh dimaafkan tetapi kitar semula dua kali aku rasakan dosa besar bagi Disney – sebuah syarikat gergasi yang mempunyai belanjawan tanpa had untuk mencari penulis dengan idea segar tersendiri.

Star Wars Galaksi Basi?

Apa yang aku sedari selepas “kegagalan” Solo : A Star Wars Story dan The Last Jedi ialah Lucasfilm menjadi penakut untuk mencuba sesuatu yang baru. Trope sama (yang dipinjam dari Lagenda King Arthur) kini dikitar semula seperti surat khabar lama, plastik dan tin aluminium ditambah dengan perencah nostalgia yang mencukupi. Anda mahukan cerita yang segar yang mengembangkan lagi lore Star Wars? Obi-Wa Kenobi bukan siri TV untuk anda.

Tetapi jika anda memang sukakan benda sama yang diolah berkali-kali dengan hanya perubahan sedikit dilakukan untuk memberikan perbezaan antara siri-siri TV Disney+ Hotstar, Obi-Wan Kenobi adalah cocok sekali untuk tontonan malam Rabu selepas anda masak selama dua jam di dalam kereta kerana tersekat dalam kesesakan jalan raya dalam perjalanan pulang dari pejabat.

Dari kaca mata peminat Star Wars sejak The Return of The Jedi, aku rasakan sudah tiba masanya Disney mencuba sesuatu yang baharu. Cukuplah bertaut pada nostalgia. Memang Solo dan TLJ gagal menerima kutipan tinggi tetapi sekurang-kurangnya ianya bukan cerita kita semula.

The Mandalorian berjaya bukan kerana Din Djarin ialah watak salin tampal Boba Fett tetapi kerana ianya space western terbaik di kaca TV sejak Firefly. Ada empat lagi episod Obi-Wan Kenobi selepas ini dan aku berharap benar klise-klise melampau dari dua episod pertama tidak diteruskan supaya Star Wars tidak menjadi galaksi yang basi.

kini di Disney+ Hotstar
Terlalu banyak elemen lama dikitar semula dengan perencah nostalgia sahaja membuatkan kami ingin terus menonton. Jika ini drama Melayu ia dihentam kerana tidak mempunyai idea asli.
Positif
Ewan, Hayden dan ramai lagi pelakon asal kembali.
Mengisi kekosongan cerita yang lama dinantikan.
Bijak memainkan nostalgia.
Negatif
Formula lama dkitar semula
Penuh klise dengan pengakiran yang boleh diagak.
Watak jahat tidak menakutkan akan menarik langsung.
6.5
Skor Ulasan

Sohor Kini