Netflix melalui Geeked Week 2022 yang juga sebahagian daripada Summer Game Fest telah mengumumkan 12 permainan mudah alih yang akan tiba melalui bersama dengan langganan penstriman mereka.

Mereka telah mengumumkan pelbagai jenis permainan daripada genre berbeza dan ada permainan berdasarkan siri-siri mereka. Berikut adalah permainan-permainan yang diumumkan;

  • Shadow and Bone: Destinies – Permainan RPG yang memfokuskan penceritaan berdasarkan siri TV dan juga novel terkenal Shadow and Bone.
  • Too Hot to Handle – Berdasarkan siri realiti, permainan Too Hot to Handle akan tiba pada tahun 2023
  • Le Casa De Papel – Permainan aksi pengembaraan solo yang memerlukan pemain untuk merompak kasino di Monaco.
  • The Queen’s Gambit Chess – Seperti siri The Queen’s Gambit, permainan ini juga memfokuskan kepada catur, pemain boleh bermain melawan pemain lain ataupun melawan watak-watak daripada siri yang dikawal oleh AI.
  • Lucky Luna – Permainan platformer berdasarkan cerita rakyat Jepun
  • Desta: The Memories Between – Permainan ini menyertakan penceritaan kekeluargaan dengan menyertakan permainan elak bola (dodgeball) mengikut turutan.
  • Reigns: Three Kingdoms – Reigns iaitu permainan di mana pemain membuat keputusan dengan tatar ke kiri atau kanan seperti Tinder kali ini memfokuskan kepada kerajaan lama China.
  • Terra Nil – Permainan strategi membina bandar yang memfokuskan kepada masalah perubahan iklim. Ia diterbitkan oleh Devolver Digital dan akan tiba sekitar tahun ini.
  • Poinpy – Permainan menegak yang memerlukan pemain untuk bergerak ke atas dan mengelak daripada pelbagai halangan. Ia sudah dikeluarkan dan boleh dimuat turun oleh pelanggan Netflix.
  • Wild Things: Animal Adventures – Permainan tekaria match-3 yang memerlukan pemain untuk menyelamatkan binatang-binatang liar.
  • Raji: An Ancient Epic – Permainan aksi pengembaraan yang sudah dikeluarkan sejak tahun 2020 dan buat pertama kali boleh dimainkan di peranti pintar melalui Netflix.
  • Spiritfarer – Di dalam permainan ini, pemain perlu mengurus roh-roh yang berada di atas kapal, termasuk juga menambah-baik kapal. Ia sudah dikeluarkan sejak tahun 2020, tetapi buat pertama kali boleh dimainkan di peranti pintar melalui Netflix tahun ini.

Netflix sebelum ini mengumumkan yang mereka menyasarkan perkhidmatan mereka akan mempunyai sekurang-kurangnya 50 permainan pada tahun ini, dengan ia kini mempunyai lebih kurang 25 permainan, bersama dengan pengumuman terbaru ini kita boleh jangkakan mereka akan mengumumkan lebih banyak permainan tidak lama lagi.

Selain mengumumkan permainan, Netflix juga mengumumkan siri animasi Dragon Age: Absolution akan tiba akhir tahun ini.

Sohor Kini