Nostalgia ialah candu yang digunakan oleh studio filem sejak akhir-akhir untuk menarik minat penonton untuk kembali ke panggung selepas dua tahun pandemik. Dalam Spider Man kemunculan watak-watak dari alam lain menjadi pemangkin kepada kutipan filem yang mencecah RM8.3 bilion di peringkat global. Formula yang sama digunapakai pada Dr Strange 2 hanya beberapa minggu yang lalu dan ia turut berkesan.

Top Gun Maverick ialah sebuah lagi filem yang menggunakan nostalgia sebagai modal. Tetapi tidak seperti The Matrix, kami merasakan Maverick adalah filem yang berkali ganda lebih baik berbanding filem asal arahan Tony Scott pada tahun 1986. Candu yang diberikan ini disuntik sekali dengan satu tong minyak adrenalin dan dua peluru berpandu AIM-54 Phoenix yang dipenuhi testosteron.

Pertama sekali untuk menikmati filem ini anda wajib menonton Top Gun asal. Ia perlu kerana kesemua konflik, hubungan, jalan cerita dan fan service dalam Maverick adalah diambil dari filem asal. Anda boleh pergi ke wayang untuk menontonnya esok lusa tetapi anda mungkin akan hilang arah seperti mana menonton Avengers End Game tanpa menonton filem-filem MCU yang terdahulu.

Captain Maverick

Sekuel bersambung lebih 30 tahun selepas Top Gun. Pembikin filem tidak memberitahu tahun sebelum filem ini berlaku. Kita tahu ia 30 tahun ke hadapan kerana tiada lagi pesawat pejuang F-14 Tomcat yang telah dibersarakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) sejak 2006. Pada geladak kapal pengangkut ia digantikan pula oleh F-18 Super Hornet dan F-35 Ligthing II.

Filem bermula dengan Pete “Maverick” Mitchell (Tom Cruise) yang masih berpangkat kapten walaupun sudah tiga dekad bertugas dengan USN. Kerjaya beliau cemerlang dengan penglibatan dalam kedua-dua Perang Iraq dan misi pengaman di Bosnia. Tetapi kerjaya terbantut kerana perangai beliau yang masih enggan mendengar arahan pihak atasan berkali-kali. Kini beliau tidak kali bertugas sebagai juruterbang aktif tetapi melakukan misi menerbangkan pesawat eksperimen untuk Lockheed Skunkworks.

Dengan pengalaman beliau yang meluas sebagai antara sebilangan kecil juruterbang yang mempunyai pengalaman peperangan yang masih hidup, Maverick dipanggil semula untuk menyertai Top Gun sebagai jurulatih. Kepakaran beliau yang meluas diperlukan oleh USN untuk melakukan misi menyerang loji pemprosesan nuklear sebuah negara musuh yang tidak diberikan nama.

Konflik utama filem ialah adakah Maverick yang degil boleh menjadi jurulatih kepada generasi baharu juruterbang tempur Amerika Syarikat dalam masa yang singkat. Ia menjadi semakin sukar kerana antara yang perlu dilatih ialah Bradley “Rooster” Bradshaw (Miles Teller) yang merupakan anak kepada “Goose” yang meninggal dunia dalam filem pertama dalam pesawat yang diterbangkan Maverick.

Adakah misi akan rahsia ini berjaya? Adakah Maverick mampu melatih generasi baharu atau digantikan oleh dron seperti yang semakin kerap berlaku sekarang? Ini ialah antara soalan yang akan dijawab sepanjang filem.

Ace Combat The Movie

Melihat poster filem anda dapat melihat nama Tom Cruise, Miles Teller, Jon Hamm, Ed Harris dan Jenifer Connely. Nama pelakon yang cukup besar dan gah di Hollywood. Tetapi bintang sebenar filem ini ialah F-18 Super Hornet, F-14 Tomcat dan Sukhoi SU-57. Sebab utama anda akan duduk selama 131 minit (ya filem ini agak panjang untuk sebuah filem aksi) ialah kerana pesawat-pesawat pejuang melakukan tarian udara serta aksi akrobatik melawan graviti yang tidak pernah dipaparkan di mana-mana filem sebelum ini.

Maverick membuatkan saya terasa seperti sedang menonton Ace Combat The Movie kerana babak aksinya lebih menyerupai setpiece dari permainan video yang diterbitkan oleh Namco Bandai. Jika anda sudah menantikan filem Ace Combat sejak 1997, Maverick ialah sehampir mungkin kepada filem AC kerana mempunyai beberapa plot yang mirip dengan Ace Combat 5 : The Unsung War. Yang tidak ada hanyalah Kei Nagase.

Kalau anda rasakan treler filem Maverick penuh adrenalin, filem penuh adalah berpuluh kali ganda lebih melampau aksinya. Pelbagai aksi yang dipaparkan di skrin di bawah arahan Joseph Kosinski akan membuatkan terasa seperti berada di dalam kokpit bersama juruterbang melawan diri dari pengsan keran G-LOC (G-force induced loss of consciousness).

Ini berjaya dilakukan kerana Tom Cruise berkeras tidak mahu menggunakan sebarang CGI untuk kesemua aksi yang dilakukan. Memang beliau dan pelakon-pelakon lain di dalam kokpit pesawat pejuang yang dipinjamkan oleh USN untuk merakamkan aksi di dalam filem.

Hasilnya ialah anda dapat melihat pipi Tom Cruise melondeh ke bawah kerana tarikan graviti yang tinggi. Terdapat satu babak Miles Teller terhantuk pada kanopi kerana tali pinggang tidak diketatkan dengan betul dan ia dikekalkan dalam filem oleh Kosinski walaupun ia sebenarnya blooper.

Realisme ini juga penting kerana tidak seperti Top Gun 1986, penonton sekarang lebih bijak dan tidak mahu diperbodohkan oleh aksi CGI yang terlalu melampau sehingga menjadi jenaka. Maverick ialah antitesis kepada Fast and Furious 9.

Fox-1! Fox-2!

Ini tidak bermakna skrip dan lakonan tidak diberikan tumpuan langsung. Hubungan cinta antara Penny (Jennifer Connelly) dan Maverick adalah realistik kerana kedua-duanya sudah berusia. Sebuah lagi babak yang membabitkan kematian watak utama juga berjaya menyentuh perasaan kerana tidak terasa seperti dipaksa hanya untuk mendapatkan reaksi penonton.

Motivasi Maverick untuk memastikan Rooster tidak menerima nasib yang sama seperti Goose juga ditulis dengan cukup baik. Mengalir air mata juga saya dibuatnya di penghujung babak ketiga filem.

Ini tidaklah mengejutkan kerana lakon layar menerima sentuhan Christopher McQuarrie yang sebelum ini terlibat dengan filem Edge of Tomorrow, Mission Impossible : Fallout, The Usual Suspect dan Jack Reacher. Penulis filem pula ialah Peter Craig yang terlibat dengan The Batman, The Town dan The Hunger Games : Mockingjay.

Winchester! Winchester!

Top Gun Maverick ialah sekuel yang baik dan perlu ditonton kerana ia tidak bergantung sepenuhnya kepada nostalgia untuk menghasilkan sebuah filem yang cukup kemas. Kosinski dan Cruise menyedari sebab sebenar orang menonton Maverick ialah untuk melihat jet pejuang melakukan aksi-aksi ekstrem yang kini pupus kerana penggunaan peluru berpandu jarak jauh. Filemnya mengimbangi keperluan testosteron dan juga membuatkan Maverick kelihatan seperti manusia sebenar bukan juruterbang muda yang poyo dari filem pertama.

Tetapi Maverick masih lagi sebuah filem yang memerlukan tontonan filem pertama untuk memahami apa yang dipaparkan di layar perak. Jika ditonton, Maverick akan terasa lancar seperti sedang terbang pada kelajuan Mach 3 menggunakan sebuah SR-71 Blackbird. Sebaliknya anda akan terpinga-pinga seperti mendengar pengumuman pesawat Airbus A320 Air Asia anda “ditukar jadual penerbangannya kerana masalah teknikal” jika filem asal tidak ditonton.

Oleh itu silalah strim Top Gun di HBO GO terlebih dahulu sebelum menekan butang after burner ke panggung menonton Maverick pada 26 Mei ini kerana ia filem aksi yang membuktikan kesan khas praktikal adalah ubat kepada filem-filem yang terlalu banyak menggunakan CGI sekarang.

Top Gun : Maverick
Akan ditayangkan pada 26 Mei
Maverick yang menentang sebarang bentuk autoriti kini menjadi jurulatih di Top Gun bagi menghasilkan juruterbang generasi baharu yang akan berhadapan dengan musuh yang dilengkapi senjata yang jauh lebih canggih.
Positif
Jalan cerita seimbang dengan nostalgia yang tidak melampau dan meneruskan legasi Maverick
Aksi yang menggunakan jet pejuang sebenar bukan CGI
Penuh arenalin tidak akan membosankan.
Negatif
Perlu menonton filem pertama.
Kehilangan beberapa watak utama tidak diterangkan.
9.1
Skor Ulasan

Sohor Kini