Lapan belas tahun selepas The Matrix Revolutions berakhir ramai pastinya tidak menyangka sebuah lagi filem akan dihasilkan untuk melengkapi sebuah kuadrologi. Dalam sejarah dunia perfileman, tidak ada lagi filem kuadrologi yang boleh dikatakan senonoh. Tak percaya? Lihat sahaja kuadrologi filem Alien, Terminator, Die Hard, Indiana Jones dan Lethal Weapon adalah contoh paling kukuh filem harus dihentikan sahaja selepas usainya sebuah trilogi.
Sebagai peminat siri trilogi asal aku teruja dengan apa yang cuba disampaikan oleh Lana Wachowski kali ini tanpa bantuan Lilly Wachowski. Pada waktu yang sama sumpahan kuadrologi menjadi sampah tergantung di atas kepala Resurrections seperti pedang Democles. Sukacita dimaklumkan Resurrections tidak sampah tetapi ia memerlukan penonton menonton kesemua filem yang pernah dihasilkan untuk memahami cerita yang ingin disampaikan.
Seperti dari trailer yang telah dikongsi oleh Warner Brothers, Resurrections berkisar tentang kehidupan Neo (Keanu Reeves) sekarang. Bagaimana Neo masih hidup sedangkan beliau telahpun mati dibunuh Agent Smith dalam filem yang terakhir. Maaf jika ini dianggap sebagai spoiler tetapi Revolution sudah ditayangkan di pawagam 18 tahun yang lalu. Tidak ada cara lain untuk memulakan ulasan tanpa menyentuh hal ini.
Neo yang kini lebih tua masih mempunyai persoalan sama kehidupan yang dinikmati sekarang adalah realiti dan sekiranya ya kenapa beliau kerap mempunyai memori lampau yang muncul secara rawak. Dalam dunia yang sama Trinity (Carrie-Anne Moss) juga wujud dengan kedua-dua watak utama mempunyai tarikan walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Resurrections cuba menjawab persoalan di kepala Neo dan Trinity dengan mengitar semula babak-babak lama dari filem trilogi asal tetapi dengan sentuhan teknologi moden.
Sampai di sini sahaja aku boleh bercakap tentang plot Resurrections bagi mengelakkan aku merosakkan misteri jalan cerita yang berjaya dirahsiakan sehingga ke hari ini tidak seperti yang berlaku kepada Spider-Man: Far From Home. Apa yang boleh aku katakan ialah kesemua teori peminat yang pernah aku baca di Reddit jauh menyimpang dari apa yang ditulis serta dirancang oleh Lana Wachowski, David Mitchell dan Aleksandar Hemon. Idea-idea baharu mengenai Internet, agen yang memburu manusia, dunia pasca Neo, perisian hasad, bot dan hubungan manusia dengan robot yang dipertontonkan adalah menarik. Lebih mudah difahami sekarang kerana kita semua mempunyai telefon pintar berinternet berbanding 2003.
Berdasarkan nama filem aku yakin ramai boleh mengagak apakah tema filem The Matrix kali ini. Segala persoalan mengenai kenapa hanya Keanu dan Carrie-Ann kembali juga diceritakan dengan baik. Aku juga cukup suka dengan puluhan callbacks, easter eggs dan babak-babak fan service yang disertakan di dalam filem. Jika anda menonton trilogi The Matrix berpuluh kali macam aku, kesemuanya dilakukan dengan cukup tasteful.
Satu elemen yang aku tak sangka ada ialah komedi. Resurrections mempunyai lebih banyak babak kelakar berbanding keseluruhan trilogi asal. Ada satu babak yang tersangatlah META sehingga menyebabkan keseluruhan panggung ketawa terbahak-bahak dan bertepuk dengan kuat kerana ia jenaka yang berjaya merobohkan tembok keempat.
Jumlah callbacks, easter eggs dan fan service ini mungkin akan disukai oleh peminat tegar tetapi menimbulkan masalah besar kepada mereka yang tidak pernah atau sudah lama tidak menonton The Matrix. Aku amat sarankan ketiga-tiga filem The Matrix ditonton semula bagi memudahkan pemahaman. Filem asal sudah berusia 22 tahun dan aku yakin ada yang sudah lupa dengan sebahagian dialog-dialog ikonik yang diucapkan oleh Neo, Trinity, Morpheus, The Oracle, The Architect dan banyak lagi.
Aku memuji usaha Wachowski untuk menggembirakan peminat dengan banyaknya rujukan kepada filem asal. Tetapi ia masih tidak menutup beberapa masalah dengan filem ini. Aksi berlawan dalam filem ini aku rasakan beberapa palang lebih rendah dari filem-filem asal. The Matrix mengubah dunia CGI dengan pengenalan bullet time dan menjadikan aksi yang selama ini hanya dilihat dalam anime menjadi realiti.
Maka aku mengharapkan Resurrections akan “membangunkan” kesan khas CGI yang akan sekali lagi mengubah landskap perfileman tetapi ini tidak berlaku. Kesemua aksi dalam filem adalah klise dan tidak original. Ingin dikatakan malaspun boleh kerana digunakan berkali-kali. Neo diserang? Halang peluru dengan kuasa The One sebanyak lapan kali. Kita semua melihat Keanu Reeves beraksi dengan bergaya di dalam siri filem John Wick lengkap dengan aksi kinetik ganas serta gunplay yang inovatif. Ini tidak berlaku dalam Resurrections.
Ini adalah kerana Yuen Woo-ping bukan lagi pengarah aksi. Sebaliknya digantikan dengan Scott Rogers yang mengarahkan aksi filem John Wick 3, Mulan dan Birds of Prey. Aksi kung-fu yang diarahkan tidak nampak asli dan hampir kesemuanya difilemkan dari jarak dekat. Penggunaan quick cuts yang melampau juga menyebabkan sukar untuk mengikuti aksi berlawan.
Teori aku ialah akibat Covid-19, pelakon-pelakon utama tidak dapat menjalani latihan intensif seperti empat bulan untuk The Matrix pertama. Scott Rogers ialah pengarah aksi yang berbakat seperti yang dapat dilihat dalam John Wick tetapi untuk Resurrections aku merasakan ia bukan kerja terbaik beliau.
Malahan Resurrections ialah filem yang paling kurang aksi dalam siri ini. Lebih banyak masa dihabiskan bercakap mengenai falsafah (oh ya masih banyak perbincangan falsafah seperti Reloaded), permainan video, kecerdasan buatan, dan impak Internet kepada masyarakat dalam filem ini. Secara peribadi aku merasakan ketiadaan aksi kali ini bukanlah perkara negatif kerana kelemahan utama Reloaded dan Revolutions ialah terlalu banyak aksi CGI melampau yang nampak seperti kartun Looney Tunes.
The Matrix Resurrections ialah kesinambungan dari trilogi asal yang aku rasakan lebih baik berbanding Reloaded dan Revolutions tetapi masih di belakang The Matrix dan Animatrix. Jika anda peminat filem asal anda tak memerlukan ulasan 10 bintang dari aku untuk menonton dan mungkin sudahpun memesan tiket di panggung.
Kepada mereka yang gemarkan perbincangan mengenai kesan teknologi kepada manusia serta apakah perbezaan The Matrix sekarang dengan penggunaan telefon pintar sudah menjadi norma biasa, filem ini juga aku sarankan. Untuk yang tak pernah tonton pula baik lupakan hasrat kerana anda hanya akan keliru seperti orang yang terus menonton The Avengers End Game tanpa menonton 22 filem MCU terdahulu.
Sebagai kesimpulan aku boleh katakan The Matrix Resurrections ialah seperti DLC permainan video yang anda sudah habiskan dengan trofi Platinum hampir dua dekad yang lalu. Kemampuan anda menikmati DLC ini adalah berkadar terus dengan bila kali terakhir anda memainkannya.