Langganan permainan komputer Xbox Game Pass dilaporkan mempunyai 25 juta pelanggan sejak awal tahun ini, dan dalam pengumuman baru, Satya Nadella, CEO Microsoft telah mengatakan bahawa perkhidmatan penstriman gaming awan mereka, Xbox Cloud Gaming kini mempunyai 10 juta pelanggan aktif menggunakannya.

Perkhidmatan ini hanya hadir bersama-sama langganan Xbox Game Pass Ultimate dan nampaknya sejumlah besar pelanggan yang melanggan pelan tersebut memanfaatkan perkhidmatan ini sebaik mungkin.

Satu kelebihan utama Xbox Cloud Gaming ialah pengguna tidak memerlukan komputer yang berkuasa untuk memainkan permainan-permainan kegemaran mereka, hanya sebuah komputer ataupun peranti pintar dengan sambungan internet pantas seperti jalur lebar ataupun gentian optik untuk menstrim permainan tersebut daripada mesin pelayan Microsoft.

Pengumuman ini dilihat sebagai satu petanda baik untuk Microsoft khususnya kerana Google dan NVIDIA sehingga kini masih lagi belum mengumumkan jumlah pelanggan Google Stadia dan GeForce Now mereka sehingga kini.

Sayangnya untuk rakyat Malaysia, Xbox Cloud Gaming ini tidak disertakan bersama-sama dengan langganan PC Game Pass yang diperkenalkan pada minggu lepas, dan kita perlu menunggu apabila langganan PC Game Pass diperluaskan ke Xbox Game Pass Ultimate, sekiranya ia berlaku.

Sumber: The Verge

Sohor Kini