Selepas PlayStation 5 menerima kemaskini pada September tahun lepas, slot M.2 SSD boleh digunakan membolehkan pengguna konsol tersebut untuk menambah storan tambahan menggunakan kad SSD yang menyokongnya. Dengan PS5 menyertakan storan dalaman sebesar 825GB dan yang boleh digunakan adalah lebih kurang 670GB sahaja, sesetengah pemain sudah semestinya memerlukan storan tambahan.
Mana-mana kad M.2 SSD yang memenuhi saiz yang ditetapkan oleh Sony boleh digunakan sebagai storan tambahan, dan antaranya adalah Samsung 980 PRO. Samsung telah menyediakan kami satu kad dan kami memasangnya di PS5 untuk melihat prestasi bagi kad SSD ini. Kami akan membandingkan prestasi permainan yang dipasang di storan dalaman dan Samsung 980 PRO.
Cara Memasang M.2 SSD Di PS5
Sebelum kami teruskan dengan perbandingan prestasi, adalah lebih baik kami kongsikan cara untuk memasang SSD ini. Cara pemasangan adalah ringkas, di mana anda hanya perlu membuka cover bahagian belakang PS5 untuk terus mendapat akses kepada slot tambahan tersebut.
Slot tersebut mempunyai penutup yang memerlukan pemutar skru jenis #1 Phillips ataupun kepala pangkah untuk dibuka. Apabila ia dibuka, ia akan mempunyai satu lagi skru yang akan digunakan untuk mengetatkan SSD yang dipasang. Ia berada di 110 untuk SSD yang bersaiz 22110, ia perlu dibuka sebelum SSD di pasang dan boleh menggunakan pemutar skru yang sama.
Selepas penutup dan skru pengetat dibuka, SSD boleh dipasang dan diketatkan mengikut saiz yang bersesuaian. Selain 22110, PS5 juga menyokong SSD saiz 2230, 2242, 2260, dan 2280 dengan skru pengetat perlu diletakkan di mana-mana saiz yang bersesuaian dengan kad SSD yang anda gunakan.
Bagi Samsung 980 PRO ia menggunakan saiz 2280 oleh itu, skru pengetat akan digunakan di slot 80. Selepas ia dipasang, anda boleh menutup semula penutup dan juga memasang cover konsol. Jika ia dipasang dengan betul, apabila anda membuka PS5 buat pertama kali, skrin tetapan akan keluar yang akan meminta anda untuk format SSD tersebut, selepas format selesai ia terus boleh digunakan.
Di bahagian tetapan, anda boleh menentukan untuk menjadikan SSD tambahan sebagai storan lalai ataupun mengekalkan storan dalaman PS5.
Perlukan Heatsink?
Sony mengesyorkan untuk pengguna menggunakan SSD yang mempunyai heatsink, oleh itu anda boleh dapatkan SSD yang mempunyai heatsink terpasang ataupun membeli heatsink secara berasingan. Samsung 980 PRO di-tangan kami tidak mempunyai heatsink, tetapi di pasaran terdapat juga yang mempunyai heatsink terpasang yang anda boleh beli.
Jika anda mempunyai SSD yang tidak mempunyai heatsink, anda digalakkan untuk mendapatkan heatsink, akan tetapi ia masih boleh digunakan tanpa heatsink seperti yang kami lakukan untuk percubaan ini.
Adakah ia selamat?
Berdasarkan percubaan yang dilakukan oleh laman Tom’s Hardware, mereka mengatakan yang heatsink akan membantu untuk mengurangkan kepanasan bagi SSD, akan tetapi ia masih boleh digunakan tanpa heatsink dengan baik, di mana mereka mencadangkan untuk anda tidak memasang penutup bagi slot SSD.
Itulah yang kami lakukan dan sepanjang percubaan kami, ia tidak langsung memberi sebarang masalah dan boleh digunakan dengan baik walaupun untuk sesi bermain yang lama. Namun, seperti dicadangkan oleh Sony, kami juga megesyorkan anda untuk mendapatkan heatsink yang bersesuaian.
Prestasi Samsung 980 PRO
Mengikut spesifikasi, Samsung 980 PRO mempunyai kadar pembacaan data sepantas 7,000 MB/s dan kadar penulisan data sepantas 5,100 MB/s, namun di PS5 ia menggunakan kadar pembacaan data sepantas 5821.29 MB/s. Menurut beberapa pengguna, anda boleh kemaskini pemacu SSD dengan memasangnya terlebih dahulu di PC untuk mendapat kelajuan yang lebih baik, tetapi kami tidak dapat mengesahkannya.
5821.29 MB/s adalah kelajuan yang tinggi sedikit berbanding kelajuan storan dalaman yang mempunyai kadar pembacaan data sepantas 5,500 MB/s, oleh itu di atas kertas permainan yang dipasang di Samsung 980 PRO akan dimuat dengan lebih pantas, dan itulah prestasi yang kami peroleh melalui percubaan sendiri.
Sebagai perbandingan kami menggunakan dua permainan iaitu Horizon Forbidden West dan juga Genshin Impact. Kami membandingkan beberapa bahagian iaitu jumlah masa yang diambil untuk memindahkan permainan tersebut dari storan dalaman ke SSD, dan dari SSD ke storan dalaman. Manakala untuk permainan kami melihat kepada tiga aspek iaitu masa yang diambil untuk permainan dibuka dari Home, permainan dibuka dari menu utama dan juga perjalanan pantas.
Pemindahan Permainan
Bagi pemindahan permainan dari storan dalaman ke SSD dan juga dari SSD ke storan dalaman berikut adalah masa yang dicatat;
- Horizon Forbidden West (~99GB)
- Storan Dalaman ke Samsung 980 PRO – 2 Minit 51 Saat
- Samsung 980 PRO ke Storan Dalaman – 7 Minit 12 Saat
- Genshin Impact (~45GB)
- Storan Dalaman ke Samsung 980 PRO – 36 Saat
- Samsung 980 PRO ke Storan Dalaman – 3 Minit
Prestasi ini sudah dijangkakan kerana memindah permainan dari storan dalaman ke SSD adalah lebih pantas, mungkin kerana storan dalaman tidak mempunyai kadar penulisan data yang tinggi, kerana ia lebih mementingkan kadar pembacaan data untuk bermain permainan video.
Horizon Forbidden West
Bagi prestasi untuk membuka Horizon Forbidden West dari bahagian depan PS5 sehingga menu permainan untuk permainan dipasang di storan dalaman dan SSD adalah seperti berikut;
- Storan Dalaman – 19 saat
- Samsung 980 PRO – 18 saat
Meneruskan permainan dari menu utama sehingga permainan dibuka dengan sepenuhnya adalah seperti berikut;
- Storan Dalaman – 12.60 saat
- Samsung 980 PRO – 10.90 saat
Manakala untuk fungsi perjalanan pantas kami mencuba dengan menggunakan tempat asal dan tempat tujuan yang sama, dan berikut adalah adalah masa yang dicatat;
- Storan Dalaman – 9.31 saat
- Samsung 980 PRO – 8.48 saat
Seperti yang dijangkakan, Samsung 980 PRO memberikan kadar pemuatan yang lebih baik berbanding storan dalaman, ini adalah kerana kadar pembacaan data yang sedikit lebih pantas.
Genshin Impact
Bagi prestasi untuk membuka Genshin Impact dari bahagian depan PS5 sehingga menu permainan iaitu sehingga ‘pintu’ keluar adalah seperti berikut;
- Storan Dalaman – 37.83 saat
- Samsung 980 PRO – 37.07 saat
Meneruskan permainan dari menu utama sehingga permainan dibuka dengan sepenuhnya adalah seperti berikut;
- Storan Dalaman – 9.23 saat
- Samsung 980 PRO – 9.11 saat
Manakala untuk fungsi perjalanan pantas kami mencuba dengan menggunakan tempat asal dan tempat tujuan yang sama, dan berikut adalah adalah masa yang dicatat;
- Storan Dalaman – 3.33 saat
- Samsung 980 PRO – 3.30 saat
Seperti Horizon Forbidden West, Samsung 980 PRO juga memperlihatkan pemuatan yang lebih pantas berbanding storaan dalaman untuk Genshin Impact. Namun perbezaan adalah lebih sedikit, ini mungkin kerana Genshin Impact sendiri mempunyai pemuatan yang sangat pantas terutama apabila permainan sudah dibuka.
Rumusan
Kami boleh katakan yang walaupun pemasangan untuk Samsung 980 PRO bukanlah dengan keadaan terbaik, iaitu pemacu tidak dikemaskini dan juga tidak mempunyai heatsink, akan tetapi ia masih memberikan prestasi yang lebih baik berbanding storan dalaman, oleh itu kami boleh mencadangkan SSD ini jika anda ingin menambah storan, namun kami menasihatkan anda untuk membeli Samsung 980 PRO yang mempunyai heatsink terpasang dan juga storan yang lebih besar.