Beberapa minggu yang lalu, Microsoft telah mula menawarkan langganan PC Game Pass mereka melalui program Xbox Insider mereka di lima negara di sekitar Asia Tenggara sebagai ujian awal untuk memperlihatkan bagaimana langganan tersebut akan diterima dan boleh diakses di sini.
Bermula hari ini, langganan PC Game Pass diperkenalkan kepada semua pengguna secara rasmi, dimana harga langganan masih lagi kekal pada RM15 sebulan. Satu perbezaan utama ialah untuk langganan kali pertama, PC Game Pass ini akan hadir penawaran langganan RM5 untuk tiga bulan pertama sekaligus.
Microsoft Malaysia juga telah mengesahkan yang jika anda melanggan PC Game Pass untuk versi preview sebelum ini, akan turut layak untuk mendapatkan tawaran rasmi ini. Mereka akan menghantar email mengenainya tidak lama lagi.
Selain daripada penawaran lebih daripada 100 permainan komputer yang boleh dimuat-turun dan dimainkan, termasuklah permainan-permainan seperti Halo Infinite, Forza Horizon, Elder Scrolls V: Skyrim dan sebagainya, langganan PC Game Pass ini turut tiba dengan langganan untuk EA Play, yang merupakan langganan khusus untuk permainan-permainan komputer daripada EA Games.
Bagi mereka yang mahu bermain permainan komputer, tetapi selalu takut melihatkan tanda harga permainan yang terlalu mahal di pelbagai platform digital mahupun fizikal, langganan PC Game Pass ini boleh kami katakan perkhidmatan langganan permainan komputer yang paling berbaloi anda boleh dapatkan.