Permainan kad Pokemon TCG boleh dikatakan permainan kad yang sangat popular di kalangan kanak-kanak di serata dunia, walaupun di Malaysia apabila ia diperlihatkan di sini lebih sedekad yang lalu.

Pokemon TCG menyambut ulang-tahun ke-25 pada tahun ini, dan bersempena dengan itu, mereka dilihat telah mula memperlihatkan pameran Pokemon TCG bermula hari ini, 12 April dan akan berterusan selama dua minggu sehingga 24 April di pusat membeli-belah Aeon Mall Bukit Tinggi.

Pameran ini akan memperlihatkan pelbagai kad-kad Pokemon baru dan lama daripada pelbagai siri kad yang diperkenalkan, termasuklah kad-kad dari Pokémon TCG: Celebrations, Pokémon TCG: Sword & Shield – Evolving Skies, dan Pokémon TCG: Sword & Shield – Fusion Strike.

Pelawat yang merupakan peminat permainan Pokemon TCG juga boleh bertarung dengan peminat-peminat lain di Pokemon TCG Battle Corner, manakala mereka yang berminat untuk berjinak dengan permainan ini juga boleh mempelajarinya di bahagian tutorial pameran ini.

Pelawat juga berpeluang untuk bermain dengan permainan video Pokemon terbaru, Pokemon Legends: Arceus yang memperlihatkan corak permainan lain daripada permainan video Pokemon yang lain. Jerayawara jualan kad-kad Pokemon TCG dan juga pelbagai produk Pokemon juga akan dibuka untuk membolehkan peminat menambah koleksi produk Pokemon mereka.

Ini adalah acara ulang-tahun ketiga yang diadakan, dimana sebelum ini ia diadakan di MyTOWN KL dan juga Aeon Mall Metro Prima di Kepong, tetapi yang istimewanya untuk kali ini, ia juga merupakan salah satu daripada beberapa lokasi untuk acara kelayakan pertama Pokémon TCG Championships 2021-22 Malaysia (STAGE 1) yang akan diadakan pada 23 dan 24 April ini.

Acara kelayakan ini adalah yang pertama dari tiga acara kelayakan, dimana acara-acara kelayakan lain akan diumumkan di masa akan datang.

Sohor Kini