Skip to main content

Apakah perspektif anda terhadap keadilan bekerja dan cara majikan melayani anda? Adakah anda pentingkan keseimbangan gaya hidup dan kerja atau tidak kisah untuk kerja 24 jam? Mana satukah paling penting dalam hidup anda, adakah kerja atau kehidupan bersama keluarga? Akhir sekali yang aku nak tanya, keluarga kandung atau keluarga kerja – mana yang paling anda sayangi?

Dilema kehidupan dan bekerja ini berlaku dalam siri TV asli Apple TV+, Severance. Maksud judul ini adalah pemberhentian, tetapi watak-watak yang bekerja dalam siri TV ini bukan mahu berhenti pun – tetapi lebih kepada mencari keadilan dan kebenaran hidup mereka. Siri TV ini adalah satu kisah drama yang mendalam, mempunyai elemen seriau dan misteri dan penuh dengan persoalan. Tetapi kenapa?

Untuk bekerja di Lumon Industries, iaitu syarikat yang menjadi titik fokus dalam siri TV ini – seseorang pekerja perlu menjalani pembedahan otak yang mereka gelar Severance. Otak akan dipasang dengan sejenis implan di mana apabila pekerja bekerja atau masuk di kawasan pejabat segala memori di luar akan hilang. Manakala apabila mereka keluar daripada kawasan pejabat, segala memori bekerja akan hilang.

Perkara ini membuatkan setiap pekerja dalam Lumon mempersoalkan kisah kehidupan masing-masing di antara rakan bekerja, seperti sudah kahwin, ada anak, masih ada keluarga atau yang tersayang dan sebagainya. Kerana apabila memori ini hilang, sifat mereka juga berubah seperti hobi, perwatakan semuanya adalah berbeza. Boleh dikatakan dengan Severance ini, mereka yang terlibat atau ‘mangsa’ seolah mengklonkan diri masing-masing untuk menjadi dua agar boleh hidup bebas dan juga bekerja – tetapi pada masa sama masih berkait.

Lebih dahsyat dalam siri ini, pekerjaan daripada kumpulan yang diketuai oleh Marc dan di bawah jagaan beliau adalah Dylan, pekerja baharu Helly dan Irving agak mengerikan. Mereka perlu menguruskan data, di mana perlu melihat digit-digit pada komputer vintaj dan membuangnya. Mereka peru mempunyai rasa seakan seram, sedih dan takut untuk berjaya membuang data-data ini. Berkemungkinan besar perasaan yang mereka perlu rasa ini sebenarnya adalah rasa bersalah kerana data ini membabitkan nyawa orang – mungkin?

Cerita yang dibawakan oleh siri TV yang dicipta oleh Dan Erickson dan diarahkan oleh Ben Stiller ini amat unik dan menarik. Setiap episod akan membuatkan anda rasa tidak sabar untuk menantikan kehadiran episod lain kerana ingin tahu apakah yang akan berlaku dan apakah kesudahannya. Cerita yang disampaikan ini cukup mendalam dan membuatkan anda terfikir kembali adakah keseimbangan antara kerja dan kehidupan luar sekarang cukup seimbang dan sihat? Adakah anda hidup seperti mereka tanpa sedar atau anda sedar tapi anda cuba mengelak daripada tahu perkara sebenar.

Kisah dalam siri TV ini sukar ditemui di platform lain dan ia sememangnya asli dan dapat memberikan satu pengalaman menonton yang memuaskan serta mendebarkan. Setiap episod satu demi satu misteri terungkai, semakin banyak rahsia terdedah dan semakin banyak perkara yang tidak diingini boleh berlaku. Walaupun pada awal kelihatan konsep Severance yang mereka semua ambil ini baik dan stabil, lama kelamaan ia memakan diri kerana banyak yang disimpan dan tidak diluahkan sehingga memakan diri.

Prestasi lakonan juga cukup mantap. Marc dilakonkan oleh Adam Scott, anda yang tonton Parks & Recreation akan kenal beliau sebagai Ben. Lakonan beliau amat hebat dan meyakinkan. Beliau boleh bawa anda ke dalam dunia siri TV ini seakan ia berlaku dengan diri anda juga. Reaksi dan emosi beliau amat hebat dan memuaskan, apabila beliau rasa takut dan risau anda akan rasa gementar, apabila beliau rasa marah dan sedih anda juga akan rasa perkara yang sama. Beliau membawa watak utama yang cukup hebat.

Dylan lakonan Zach Cherry ada sedikit lucunya. Perwatakan yang nampak acah serius dan bersemangat ini membuatkan dia adalah watak yang meringankan keadaan yang sedang dalam rumit. Irving lakonan John Turturro juga cukup menarik dengan mudah membuatkan anda rasa gelisah dengan setiap aksi beliau. Helly oleh Britt Lower juga mantap, kerana beliau boleh dikatakan menjadi titik kesedaran untuk setiap warga Lumon Industries ini. Beliau juga adalah watak yang misteri yang penuh dengan rahsia yang akan membuatkan penonton terkejut. Tramell Tillman yang membawa watak Milchick adalah watak yang akan membuatkan anda rasa berang, tidak puas hati dan menyampah. Beliau adalah watak antagonis yang ada potensi menjadi baik, kerana apa yang majikan beliau lakukan Solveig lakonan Patricia Arquette agak biadab dan sudah memakan diri pun tidak ingin sedar.

Sinematografi dalam siri TV ini ringkas sahaja, tetapi dapat rasakan ia adalah suasana yang cantik, seram, mengerikan dan penuh misteri. Pasukan di sebalik siri TV ini cukup kreatif dan bijak menggunakan setiap lokasi, membuatkan adegan demi adegan mempunyai perasaan yang bercampur aduk. Lokasi pejabat juga penuh dengan teknologi vintaj, walaupun berada di dunia moden. Ini kerana Lumon banyak menyembunyikan sesuatu dan tidak ingin dunia luar tahu agenda sebenar.

Siri ini adalah untuk mereka yang inginkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang Netflix, Prime Video atau Disney+ tawarkan. Ia serius, mempunyai misteri yang membuatkan anda pening untuk cuba menyelesaikan sendiri. Jika anda ingin lihat konsep penceritaan keseimbangan hidup dan kerja yang lain daripada lain, bercampur drama, seram ngeri dan misteri – anda pasti akan sukakan siri TV ini. Walaupun ada adegan yang banyak bercakap seperti apabila Marc bersama keluarga atau perbincangan pekerjaan yang serius, setiap dialog yang mereka ucapkan itu penting untuk anda faham apa yang pencipta dan pengarah cuba sampaikan.

Siri TV ini sudah pun habis disiarkan dengan 8 episod untuk musim pertama dan akan bersambung untuk musim kedua akan datang. Anda hanya boleh tonton siri TV ini di Apple TV+.

Severance
Siaran di Apple TV+ 18 Februari
Cubaan mencari keseimbangan antara hidup dan kerja, pekerja di Lumon Industries mengambil pakej Severance untuk membedah otak dan mengasingkan memori ketika bekerja dan kehidupan luar pejabat. Namun Lumon ada banyak rahsia dan misteri, membuatkan pekerja mula memberontak.
Positif
Penceritaan yang unik, berbeza dengan banyak kandungan lain
Suasana siri TV ini yang penuh misteri dan ada rasa seriau
Lakonan mantap yang membuatkan pengalaman menonton penuh imersif
Negatif
Adegan bercakap yang mugkin tidak disukai semua
9
Skor Ulasan

Leave a Reply