10 Filem Terbaik Bruce Willis Yang Boleh Distrim Sekarang

Bruce Willis bersara dari dunia lakonan kerana menghidap penyakit Aphasia yang menyebabkan masalah menulis dan memori. Pengumuman dilakukan oleh kesemua ahli keluarga Willis menerusi media sosial rasmi pagi tadi. Dengan pengumuman ini, kerjaya selama 42 tahun berakhir untuk antara pelakon paling popular dari Hollywood khususnya dalam genre aksi.

Sepanjang 42 tahun beliau membintangi 119 filem. Sebagai homage kepada Bruce Willis, berikut ialah 10 filem terbaik beliau yang boleh distrim sekarang. “Terbaik” di sini ialah pendapat peribadi dan hanya filem yang boleh distrim kami senaraikan dan ini bermakna tiada Pulp Fiction di sini.

Pentalogi Die Hard

Lima filem Die Hard dihasilkan tetapi mungkin hanya tiga (Die Hard, Die Hard 2 dan Live Free or Die Hard) yang perlu ditonton. Namun bagi peminat Bruce Willis kesemua filem perlu ditonton untuk melihat evolusi watak John McClane yang kini adalah antara watak yang paling bad as pernah wujud di layar perak.

Tidak seperti watak Dominic Toretto yang tidak boleh cedera, John McClane ialah watak yang lebih realistik kerana boleh cedera seperti manusia biasa. Malahan kerana filem Die Hard, Bruce Willis separa pekak di telinga kiri kerana letupan di set menyebabkan kecederaan kekal.

Strim – Pentalogi Die Hard di Disney+ Hotstar

Armageddon – Disney+ Hotstar

Meneruskan tema Bruce Willis ialah lelaki Alpha dan menyelamatkan umat manusia ialah Armageddon. Ini ialah filem yang kami kategorikan sebagai antara 10 terbaik pernah dibintangi beliau. Premisnya mudah Willis ialah Harry Stamper seorang penggerudi minyak yang tidak memakai lanyard di leher. Sebaliknya beliau adalah penggerudi minyak terbaik di muka bumi yang diperlukan pula untuk menggerudi minyak di permukaan asteroid yang akan menghapuskan kehidupan di muka bumi.

Filem ini sebenarnya bodoh gila jika plot dianalisis menggunakan kaca mata biasa tanpa perlu menggunakan mikroskop. Tetapi untuk filem aksi 90an, plot yang hanya memerlukan otak dipasang pada kemampuan 1% sudah memadai kerana Michael Bay menghasilkan antara filem beliau yang paling seronok ditonton selepas The Rock. Willis dibantu dengan barisan pelakon yang mantap Billy Bob Thornton, Ben Affleck, Liv Tyler, Steve Buscemi, William Fichtner dan Peter Stormare. Walaupun sepanjang 2 jam 30 minit filem penuh aksi ini seronok ditonton dari awal hingga habis.

Strim – Armageddon di Disney+ Hotstar

The Sixth Sense

Bruce Willis membuktikan beliau boleh melakonkan watak polis dan angkasawan merangkap penggerudi asteroid terbaik dalam sejarah manusia. Dalam The Sixth Sense beliau membuktikan beliau juga boleh berlakon dengan serius sebagai seorang doktor psikologi yang membantu kanak-kanak trauma. Filem inilah yang menjadikan M Night Shamalayan seorang pengarah terkemuka dan Haley Joel Osment hampir menjadi antara pemenang Oscar paling muda.

Plot filem ini tidak boleh dibincangkan tanpa secara tidak sengaja mendedahkan plot twist yang mungkin antara yang terbaik dalam sejarah layar perak. “I see dead people!” kata Haley Joel Osment dalam filem ini. Kami katakan pula “watch this film before you become a dead people!”.

Strim – The Sixth Sense di Disney+ Hotstar

Unbreakable

Selepas The Sixth Sense melonjakkan nama Shamalayan, beliau mengarahkan pula Willis dalam Unbreakable yang merupakan filem adiwira pertama beliau. Semasa dihasilkan, Unbreakable ialah sebuah filem stand alone sebelum Split dan Glass melengkapkan trilogi yang mengambil masa 19 tahun untuk dilengkapkan.

Willis melakonkan watak seorang penjaga keselamatan yang menjadi satu-satunya individu terselamat dalam kemalangan kereta api. Beliau bukan sahaja selamat tetapi langsung tidak mengalami sebarang kecederaan. Mengapa ini berlaku dan apakah putaran plot yang digunakan oleh Shamalayan di akhir filem?

Strim – Unbreakable di Disney+ Hotstar

Looper

Looper unik kerana dalam filem ini anda boleh melihat Joseph Gorden Levitt mengajuk cara lakonan Bruce Willis. Hampir sebailk Travolta mengajuk Nicolas Cage dan Nicolas Cage mengajuk Travolta dalam Face Off. Dalam kerjaya beliau sebagai pelakon filem sains fiksyen terbaik Bruce Willis ialah The Fifth Element. Tetapi filem ini tidak ada di mana-mana platform penstriman sekarang.

Maka kami sarankan anda menonton Looper sebagai pilihan kedua terbaik. Willis ialah seorang “Looper” yang tugasnya membunuh manusia yang dihantar dari masa depan. Menarik melihat Bruce Willis berlakon dengan “Bruce Willis” dalam filem ini. Ia juga membuktikan Rian Johnson ialah pengarah yang bagus tetapi reputasi dimusnahkan oleh The Last Jedi. Jika anda mencari filem sains fiksyen dengan plot rentas masa ini ialah filem perlu ditonton.

Strim – Looper di Netflix

R.E.D

Sejak sedekad yang lalu semakin banyak pula filem aksi menampil hero yang sudah berusia. Trend yang dimulakan oleh Liam Neeson dengan Taken kemudian digunakan pula pada filem R.E.D. Willis ialah bekas ajen CIA yang secara tiba-tiba diserang oleh pasukan pembunuh upahan. Untuk mencari jawapan kenapa beliau diserang, Willis mendapatkan bantuan dari rakan-rakan lama yang juga sudah bersara.

Morgan Freeman, John Malkovich dan Helen Mirren menjadikan filem ini mempunyai barisan pelakon yang cukup berkaliber. Siapa sangka filem aksi dengan pelakon-pelakon warga emas masih boleh menghiburkan.

Strim – R.E.D di Netflix

The Expendables 2

Meneruskan tema kuda tua masih bertenaga ialah The Expendables 2. Watak Willis mungkin tidak begitu besar dalam filem ini tetapi ikni adalah satu-satunya filem yang berjaya menggabungkan Rambo, John McClane, Terminator, Wong Fei Hung, Ivan Drago dan Guile sekaligus. Casting yang hanya 20 tahun yang lalu dianggap mustahil kerana kos mendapatkan Arnold Schwarzenegger, Van Damme, Bruce Willis dan Sly Stallone sahaja boleh mencecah $70 juta sehingga tidak ada studio yang berani menerbitkan filem dengan kos yang melampau. Walaupun plot filem tidak begitu asli tidak ada siapa yang peduli kerana ini ialah filem yang dinantikan lebih 30 tahun oleh peminat filem aksi testosteron 80an.

Strim – The Expendables 2 di Netflix

Over The Hedge

Tak semua filem Bruce Willis hanya sesuai ditonton orang dewasa. Over The Hedge adalah satu dari beberapa kali sahaja Willis meminjam suara untuk filem animasi. Agak aneh juga kerana pada dekad 90an beliau mempunyai siri animasi sendiri sebanyak 36 episod. Over The Hedge bukanlah filem animasi klasik seperti Toy Story ini ialah filem yang paling selamat untuk ditonton bersama anak-anak bawah umur dalam senarai ini.

Strim – Over The Hedge di Netflix

Surrogates

Ok filem Surrogates ini tak bagus mana kerana lebih kepada kelakar secara tidak sengaja. Willis yang pada waktu ini sudahpun botak dipakaikan dengan rambut palsu warna perang yang kelihatan murahan. Kami sarankan lagi menonton Surrogates kerana premis filem yang agak kelakar pada 2009 kini tidak lagi nampak tidak logik kerana teknologi menyelam ke dalam dunia metamesta dan menggunakan robot sebagai pengganti tubuh di dunia sebenar sudahpun menjadi realiti di Jepun. Ada elemen seakan Ghost in The Shell cuma Major Kusanagi digantikan dengan Bruce Willis.  

Strim – Surrogates di Disney+ Hotstar

Tears of The Sun

Sekali lagi kami akui filem ini bukan yang terbaik pernah dibintangi Willis tetapi senarai ini hanya membenarkan filem yang boleh distrim sahaja boleh disenaraikan. Maka saranan filem terhad kepada apa yang ada sahaja. Oleh itu filem terakhir ialah Tears of The Sun yang diarahkan oleh Antoine Fuqua. Willis menjadi seorang Leftenan pasukan khas yang diarahkan menyelamatkan seorang doktor dari kawasan yang dilanda konflik penghapusan etnik. Jika anda tidak boleh bertahan dengan plot filem yang agak perlahan, jangan risau kerana watak doktor dimainkan oleh Monica Bellucci yang tidak jemu mata memandang.

Strim – Tears of The Sun di Netflix

Sohor Kini